Seronok weh memandu di Eropah. Boleh tengok ladang yang luas terbentang, boleh berhenti dan golek-golek atas rumput menghijau. Boleh juga berhenti golek-golek atas snow. Boleh ikut jalan kampung, tengok ladang buah, tengok kambing dan lembu, tengok air sungai yang jernih ya amat dan macam-macam lagi.
Semalam ada orang tanya saya berkaitan kereta yang disewanya. Katanya setelah ambil dan memandu seharian barulah dia perasan yang tayar keretanya itu botak. Lalu ditanya kepada saya apa yang harus beliau lakukan. Jawab saya, pulangkan kembali kepada syarikat sewa kereta sekiranya boleh jika anda masih dekat dan minta diganti dengan kereta baru.
Alhamdulillah, mereka masih lagi di bandar yang sama lalu dihantar kembali kereta tersebut dan diganti dengan kereta yang baru dan siap “upgrade” lagi kepada kereta yang lebih best.
Itu adalah sebahagian daripada perkara yang boleh berlaku jika anda membuat keputusan untuk menyewa kereta dan memandu sendiri. Banyak lagi perkara lain yang boleh berlaku seperti kereta rosak, kereta yang tercalar, kemek dan sebagainya dan pelbagai kerosakan lain.
Berikut adalah beberapa tips untuk menyewa kereta dan juga perkara-perkara penting yang perlu anda ambil tahu.
A. Booking atau penempahan kereta sewa.
- Boleh tempah dari laman web seperti Expedia, Autoeurope, Europebycar atau terus melalui website rasmi syarikat berkenaan,
- Sewa kereta dari syarikat yang berkredibiliti – sebolehnya sewa dari syarikat yang besar dan terkenal seperti Europcar, Hertz, Sixt, Avis, Enterprise dan sebagainya.
- Syarikat yang besar dan terkenal biasaya memberikan kereta yang terbaik. Usia kereta biasanya tidak lebih 2 tahun dan kereta sangat-sangat jarang untuk rosak di tengah jalan.
- Tempah awal untuk dapat harga yang jauh lebih murah.
- Tempah kereta dari jenis manual dan diesel untuk harga yang lebih rendah.
- Ambil dan hantar di lokasi yang sama untuk harga yang murah.
- Pilih kenderaan dengan “Unlimited Mileage” sebab anda boleh pandu sejauh mungkin. Kalau limited biasanya 900km sahaja atau 1200km sahaja dan setiap km selepas itu anda akan dicaj sekitar €0.15.
- Perlu sewa bersama child seat dan booster seat jika anda anak kecil sehingga berusia 12 tahun. Wajib.
- Setiap orang ada seat masing-masing, jadi kalau 6 orang termasuk bayi dan kanak-kanak tak boleh squeeze masuk dalam kereta saloon biasa kena sewa 7 seater van. Bayi juga dikira 1 seat, setiap anak perlu seat masing-masing dan tak boleh diriba.
- Dapatkan perlindungan insurans. Sebolehnya ambillah insurans yang lebih komprehensif. Mereka akan bertanyakan dan menawarkan perlindungan insurans dengan caj tambahan selain insurans yang telah sedia ada. Anda boleh bertanya dan berbincang dengan mereka tentang perlindungan dan caj tambahan ini. Kalau taknak pun takpe, tapi risoko tanggung sendiri.
- Semua syarikat memerlukan kad kredit untuk pembayaran. Ada syarikat kecil yang menerima kad debit dan jarang sekali ada syarikat yang menerima bayaran tunai.
- Biasanya kad kredit hanya akan dicaj ketika kereta diambil.
- Lesen memandu Malaysia diterima pakai ketika mengambil kereta namun seeloknya anda mempunyai IDP (International Driving Permit) jika ingin memandu di Eropah. Ianya tidak perlu namun lebih baik sekiranya ada. Boleh buat IDP di pejabat JPJ berdekatan anda dengan bayaran RM150.
B. Ketika Mengambil Kereta
- Anda akan diminta mengemukakan bukti/resit atau nombor tempahan. Anda akan diminta mengemukakannya bersama passport, lesen memandu dan juga kad kredit.
- Sekiranya anda tidak mempunyai kad kredit, orang lain boleh menggunakan kad kredit mereka dan nama orang tersebut akan dimasukkan sebagai pemandu kedua dan beliau harus mengemukakan passport dan lesen beliau juga.
- Jika anda tiada kredit kad dan rakan atau pasangan anda tiada lesen maka anda boleh berunding dengan mereka untuk meletakkan nama rakan atau pasangan anda di kontrak (kerana kad beliau yang akan digunakan untuk membayar) dan anda sebagai pemandu. Atau sebaliknya nama anda di kontrak sebagai pemandu dan nama beliau sebagai pembayar. Ianya boleh dibawa berbincang dengan berhemah. InshaAllah tiada masalah – namun tidak boleh menggunakan kredit kad orang yang tiada bersama anda.
- Setelah diberikan kunci bersama kontrak – sila semak terlebih dahulu maklumat di kontrak dan pastikan ianya betul. Pastikan nombor kenderaan betul seperti di kunci. Pastikan nama dan butiran anda juga betul. Ada sesetengah syarikat memberikan gambarajah kenderaan (pre-rental inspection form) dan menanda di gambar tersebut kerosakan seperti calar, kemek dan sebagainya. Ada syarikat tidak memberikannya.
- Periksa kenderaan dengan teliti sebelum bertolak. Semak samada ada calar atau kemek dan jika ada sila ambil gambar. Periksa juga semua lampu samada berfungsi atau tidak. Jika ada yang tidak berfungsi sila maklumkan kembali kepada mereka.
- Periksa juga keadaan tayar. Sekiranya botak, mohon pulangkan kunci dan minta ditukar kereta lain. Kalau anda memandu ketika musim sejuk sila pastikan tayar yang diberikan adalah tayar winter. Pengecaman boleh dilakukan dengan melihat simbol gunung dan salji berserta tulisan M+S di sisi tayar tersebut.
- Periksa juga boot dan pastikan ada tayar spare, ada safety triangle, ada safety vest dan ada first aid kit. Kalau tak ada boleh minta dengan mereka.
- Pastikan tangki minyak adalah penuh.
C. Ketika Memandu
- Pastikan semua bagasi diletakkan dan disimpan dengan betul. jangan main longgok di belakang atau di cermin belakang sampai mengganggu penglihatan pemandu.
- Periksa dan tetapkan cermin pandang sisi dan pandang belakang.
- Hidupkan enjin dan biasakan diri dengan kedudukan suis lampu, signal, wiper dan sebagainya. Ingat di Eropah, semuanya terbalik. Stereng di sebelah kiri, gear di sebelah kanan, wiper di sebelah kanan, suis lampu di sebelah kiri. Kalau di UK maka ianya sama dengan di Malaysia.
- Pasang GPS dan masukkan destinasi anda. Jika ianya di dalam bahasa asing, sila godek-godek dan tukar bahasa terlebih dahulu. Kalau tak boleh minta bantuan pekerja syarikat sewa.
- Pastikan semua penumpang pakai seatbelt sebelum memulakan perjalanan.
- Jika kenderaan manual, gear undur biasanya perlu tarik tuil berbentuk gegelang di batang gear ke atas dan barulah boleh masuk gear undur yang biasanya ditolak ke depan seperti gear satu.
- Setelah bergerak dan bila berhenti di lampu isyarat, ada sesetengah kenderaan moden akan mati enjinya bila anda free gear. Jangan susah hati. Bila anda tekan clutch untuk masuk gear, enjin akan automatik hidup kembali.
- Pandulah berhati-hati. Ia mengambil masa diantara 30 minit sehingga 1 jam untuk anda merasa biasa memandu di sebelah kiri kereta dan di sebelah kanan jalan.
- Jangan jadi Malaysian, pandu tak reti bagi signal, cilok mencilok, potong que dan sebagainya. Lepas tu pagi-pagi start kereta terus jalan, tak payah panas-panas enjin yer. Kalau berhenti dan menunggu pun sila matikan enjin.
D. Minyak & Tol
- Harga minyak di Eropah adalah berbeza setiap hari dan ada syarikat yang harganya murah dari syarikat yang lain. Jadi pandai-pandailah anda pilih.
- Sebolehnya elakkan mengisi minyak di highway kerana harganya lebih mahal, isi di bandar yang anda berhenti.
- Pastikan jangan salah isi. Kalau sewa kereta diesel maka pastikan ianya minyak diesel. Bila buka penutup minyak tu selalu baca dahulu amaran atau jenis minyak yang ditulis di bahagian penutup tersebut.
- Biasanya minyak isi dahulu dan baru bayar. Sampai kat pam, terus isi dan selesai sahaja pergi ke kaunter dan nyatakan nombor pam dan bayar.
- Di Itali, ada stesen minyak yang tiada pekerja pada hujung minggu, jadi anda boleh bayar di mesin khas dan isi.
- Ada negara di Eropah yang tidak ada tol dan banyak juga yang ada tol. Ada tol yang macam atau sama seperti di Malaysia contohnya di Italy dan France. Ada yang anda kena beli sticker tol yang dipanggil vignette untuk Switzerland dan juga Austria. Sticker ini biasanya di jual berhampiran border. Sila google.
E. Parking
- Sekiranya di bandar tersebut anda akan menginap maka parkinglah di hotel atau berdekatan hotel dan seterusnya anda gunakan tren atau bas untuk berjalan dan bersiar-siar di bandar. Adalah tidak sesuai dan sukar untuk memandu setiap masa di bandar seperti Paris, London, Berlin, Barcelona, Rome dan sebagainya.
- Sekiranya berhenti lama atau bermalam di sesebuah bandar dan hotel anda tidak mempunyai tempat parking khas, cari kawasan parking berbumbung atau bawah tanah yang berdekatan.
- Elakkan parking di tepi atau bahu jalan yang memerlukan anda masukkan syiling. Kalau di bandar kecil tidak mengapa.
- Kos parking adalah lebih kurang sama seperti di Malaysia tetapi di dalam matawang Euro. Contohnya parking meter di bahu jalan sekitar €1 sejam, parking di basement sekitar €3.50 untuk jam pertama atau ada parking basement sekali masuk terus €30 untuk 24 jam.
- Pastikan bayar meter parking dan jangan sampai kena saman.
F. Saman & Had laju
- Standard hadlaju maksimum di negara-negara Eropah adalah 130kmj. Kecuali di Jerman, banyak jajaran lebuhrayanya yang dipanggil Autobahn tidak mempunyai hadlaju maksimum. Boleh pecut selaju mungkin. Namun bila ada hadlaju yang ditetapkan maka kenalah ikut.
- Standard hadlaju maksmimum di pusat bandar pula adalah 50kmj. Jangan lebih, banyak kamera perangkap hadlaju di dalam bandar.
- Standard hadlaju maksimum di kawasan perumahan adalah 30kmj. Jangan lebih, banyak kamera juga.
- Jika anda terlebih hadlaju maka saman akan sampai tak kira ceruk mana anda berada. Jika anda tidak terima maka syarikat sewa kereta yang akan menerimanya dan mereka akan caj di kad kredit anda, bersama caj lain yang entah apa-apa.
- Jadi, elakkan dari melanggar sebarang peraturan lalulintas. Sentiasa pakai seatbelt dan jangan gunakan telefon ketika memandu dan sentiasalah bagi signal yer, jangan bawak perangai Malaysia anda tu kat tempat orang.
G. Ketika Memulangkan Kereta
- Pastikan pulang pada tarikh yang ditetapkan dan jangan melebihi masa. Kalau ambil jam 10.00 pagi maka hantar juga pada jam 10.00 pagi atau sebelumnya. Jangan buat perangai gi hantar jam 11.00 pula. Anda boleh dicaj sehari lagi.
- Pastikan minyak diisi penuh kembali. Konsep di Eropah memang ambil penuh dan pulang penuh. Mereka ada alat untuk memeriksa tahap minyak dalam tangki dan akan caj anda jika tidak mencukupi.
- Seeloknya hantar kereta pada waktu bekerja iaitu dari pagi sampai jam 6 petang. kalau hantar lewat dari itu dan tiada orang menerima kenderaan dan anda hanya masukkan kuci ke dalam kotak yang disediakan. Tiada pekerja yang memeriksa kenderaan anda dan tup-tup seminggu kemudian anda dapat email yang anda akan dicaj sekian-sekian sebab kereta calar, kemek dan sebagainya. Susah nak selesaikan.
- Kalau hantar ketika ada pekerja yang menerima kenderaan tersebut, maka mereka boleh terus periksa on the spot dan jika ada sebarang pertanyaa dan keraguan maka anda boleh selesaikan terus di situ. Contohnya ada calar, maka anda boleh tunjuk bukti yang ianya memang ada sewaktu anda ambil lagi dan tunjukkan gambar sebagai bukti.
Tips-tips tersebut adalah berdasarkan pengalaman saya menyewa sepanjang saya tinggal di Jerman dan memandu ke seluruh Eropah. Semoga ia dapat memberikan idea dan sedikit pengetahuan kepada mereka yang ingin menyewa kereta dan membuat “roadtrip” menjelajah bumi Eropah.
Jika inginkan tips kembara ke Eropah yang lengkap, boleh baca artikel saya yang sebelum ini di sini atau dapatkan buku saya I’m A Backpacker Europe dan juga I’m A Backpacker Germany di mana-mana kedai buku berhampiran anda. Boleh juga hubungi saya untuk dapat versi yang bertandatangan.
Selamat mengembara!
Comment
International driving permit tu kalau tak de tak pe? or wajib ada sebenarnya?