About

Khairul Abdullah dilahirkan di negeri Kedah, beliau menerima pendidikan di Sekolah Sains Perlis, kemudiannya melanjutkan pelajaran ke UiTM Shah Alam di dalam bidang Perancangan Bandar. Setelah bekerja di dalam industri pembinaan selama hampir 7 tahun beliau telah berhenti dan bekerja sendiri sebagai seorang pereka dan jurugambar bebas bagi memenuhi minat mengembara.

Mula menjelajah Benua Asia ketika berusia 20an dan seterusnya benua-benua lain seperti Australia dan Eropah sehingga sekarang. Dengan minat terhadap kembara dan juga pengalamannya di dalam bidang fotografi, beliau berpeluang untuk tinggal dan bekerja di luar negara seperti di China, Thailand, Jepun dan juga di Jerman. Peluang tersebut digunakan dengan sebaiknya untuk menimba pengalaman serta menjelajah benua yang didiaminya. Semua pengalaman yang dilaluinya dikongsi melalui laman blog beliau yang kini sudah dikunjungi oleh 8.8 juta pelawat.

Mula menulis di laman blog tentang pengalaman kembara serta sikap-sikap manusia pada tahun 2007 yang kini dilayari oleh 45 ribu orang setiap bulan. Dengan jumlah trafik ke laman web yang banyak dan tulisan-tulisan yang sering viral maka beliau mula menerima tawaran untuk menulis buku.

Buku pertama beliau berjudul I’m A Backpacker: Europe yang merupakan sebuah buku panduan kembara. Buku tersebut dipilih oleh MPH sebagai “10 Best Book of 2016” dan turut memenangi “Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2017”.

Buku kedua beliau Mentaliti Jamban yang berkisar tentang sikap manusia boleh didapati di mana-mana rangkaian kedai buku utama di Malaysia dan sering menduduki carta-carta “bestsellers” di MPH, Popular, Borders dan Kinokuniya. Buku tersebut jug turut tercalon untuk Anugerah Pilihan Pembaca Popular-Berita Harian 2017.

Beliau turut menghasilkan dua lagi buku berjudul I’m A Backpacker: Germany yang juga sebuah buku panduan kembara dan Untunglah Malaysia Masih Aman, sebuah buku sindiran sosial. Buku terbaharu beliau berjudul Mentaliti Masih Jamban, iaitu sambungan kepada buku laku keras beliau kini dicalonkan pula untuk Buku Terbaik MPH 2018 di dalam kategori buku bukan fiksyen.

Selain menulis beliau juga adalah seorang penceramah bebas yang sering dijemput ke sekolah dan universiti serta institusi lain di seluruh negara untuk berkongsi tentang pengembaraan dan juga memberi motivasi serta berkongsi pandangan dan pengalaman beliau di dalam mengubah mentaliti rakyat Malaysia.

Beliau yang kini sedang melanjutkan pelajaran di dalam bidang Komunikasi di UiTM Shah Alam adalah seorang bapa tunggal yang sedang membesarkan 3 orang anak yang masih kecil bersendirian setelah kematian isterinya.

Sekiranya ingin menghubungi beliau, sila gunakan butang Contact Me di menu utama.