Kau Berikan Bahu Untuk Dia Menangis

Ramainya wanita yang tertekan di luar sana.

Ramai wanita yang kehilangan suami atau bercerai pm saya mengatakan yang saya beruntung.  Semua orang mendoakan yang baik-baik untuk saya.

Katanya mereka yang turut kehilangan, bukan sahaja tidak didoakan malah dikecam pula bila meluah rasa di FB tentang kesedihan serta perasaan dan tekanan yang mereka lalui.

Katanya mereka hanya nak raih simpati, nak tarik perhatian dan sebagainya.  Mereka juga dikecam oleh rakan dan saudara sendiri.

Akhirnya mereka tidak lagi berani meluahkan, lalu mengasingkan diri dan jadi kemurungan.

Ada yang memberitahu pernah cuba membunuh diri, ada yang berkurung sahaja di rumah, ada yang sangat depress dan macam-macam.

Allahuakbar.

Benar, saya mungkin bernasib baik.

Ramai mendoakan saya dan mungkin asbab doa kalian itu saya jadi kuat dan cekal.  Namun ramai di luar sana yang malang, tidak pandai meluah, tiada teman bicara.

Bila cuba meluah dikatakan tak boleh move on, dikatakan nak raih simpati dan perhatian.

Siapakah di dunia ini tidak mahukan perhatian?

Isteri berbuat segalanya hendak menarik perhatian suami.  Anak berbuat segalanya demi mendapat perhatian ibu dan ayah.  Guru mencuba sedaya untuk menarik perhatian murid.  Gadis mencuba sebaiknya bagi menarik perhatian teruna dan sebaliknya.

Kita ni spesis yang hidup bermasyarakat.

Kita dicipta untuk hidup bergantungan, berpasangan dan berkasih-sayang.  Kita memerlukan orang lain untuk hidup.

Hidup seorang diri boleh jadi gila.

Jadi salahkah mereka minta perhatian?

Kita yang bagi nasihat pun macam acuh tak acuh, yang nak membantu tak sepenuh hati, yang mengecam pun sampai lupa diri.

Kita ni ahli syurga.

Bagi nasihat arahnya ke syurga sahaja.  Kita minta dia berserah sepenuhnya pada Allah.  Sujudlah, berdoalah sepenuhnya.  Hanya Allah sahaja yang dapat membantu.

Benar, memang sepatutnya begitu.

Kita suruh bersabar.  Kita suruh bertabah.  Tabahlah, cekalkan hati, banyakkan berzikir kata kita.  Berserahlah, kuatkan jiwa, selalulah berdoa, tambah kita lagi.

Benar, memang sepatutnya begitu.

Namun, adakah akan selesai?

Seorang yang sangat lapar, kita suruh dia berdoa dan berserah kepada Allah.  Maka dia pun bersujud dan berserah.  Bersujud lagi dan terus berserah.

Adakah dia akan kenyang?

Tidak.

Tidak sama sekali.  Dia akan kebuluran.

Seterusnya mati.

Allah tidak menghantar jawapan dalam bentuk fizikal begitu.

Seharusnya setiap nasihat harus disertakan dengan jalan.

Jalan untuk memudahkan kalaupun tidak menyelesaikan.

Kau lapar?

Kau bersujud dan berdoalah.

Kemudian, kau ambillah telefon dan kau telefon Pizza atau McD dan orderlah apa yang kau terasa nak makan.  Kemudian kau berdoa lagi agar order kau tu sampai cepat, agar orang hantar tu tak sesat dan lalu barulah kau serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Atau kau telefon mak kau, adik kau, abang kau dan bagitau kau lapar.  Lepas tu kau doalah agar mereka datang bawa makanan kegemaran kau.  Lepas tu kau tawakal sahajalah.

InshaAllah mereka akan datang bawakan makanan kegemaran kau.

Begitu juga dengan wanita-wanita malang ini.

Bukan kau sekadar suruh dia sabar, tabah, cekal, kuatkan semangat dan sebagainya.  Dia sebenarnya sudah cukup sabar, sudah cukup tabah, sudah cukup cekal.  Mungkin lebih cekal dari kau pun.

Dia hanya mahu kau bantu dia.

Bukan sekadar suruh bersujud dan berdoa.  Itu wajib, dia harus tahu sendiri.  Atau mungkin dia sudah bersujud dan menadah tangan lebih seribu kali sehari.

Kau yang patut bantu beri solusi kerana di saat itu dia kebingungan, kebuntuan, tidak rasional, tidak ketahuan.

Seperti analogi orang lapar tadi.

Allah tak akan turunkan KFC dari langit selagi dia tak keluar pergi beli sendiri atau telefon delivery atau sesiapa untuk belikan pada dia.

Allah pasti memberi jalan, memudahkan.  Tapi masih perlu diusaha sendiri.

Allah tidak akan menghilangkan depress seorang wanita yang cuba membunuh diri kalau dia sendiri tidak berusaha untuk mengubati depress dia tadi.

Ada yang mengadu katanya sudah berbulan dia mengurung diri dan hanya bersujud dan berdoa, namun Allah belum menjawab doanya.  Dia juga sudah mencuba untuk membunuh diri.

Allahuakbar.

Dia sangat tertekan.  Tiada siapa yang faham dan boleh membantu.  Semuanya menyuruh menadah tangan berdoa sahaja.

Sepatutnya kau pujuk dan bawa dia berjumpa pakar, maka dari situ Allah akan jawab melalui memberi jalan serta kemudahan untuk dia berjumpa pakar dan mengubati tekanan yang dia alami.

Begitu.

“Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selain mereka sendiri tidak mengubahnya.”

Faham?

Jadi bila ada kawan kau kehilangan, atau kesedihan atau depress, kau jangan tambah depress dia dengan suruh bersabar, bertabah dan sebagainya.

Kau rapatkan diri, kau dengar dan kau bantu cari solusi.

Kalau dia tertekan, dia dah seminggu berkurung di dalam rumah merindu suaminya atau isterinya yang telah pergi.  Kau patut bantu bawa dia keluar dari bilik.

Kau tadah telinga kalau dia ingin meluah rasa.

Kau berikan bahu kalau dia ingin menangis supaya dilapangkan sesak dadanya.

Kau suruh dia bersujud dan berdoa agar dipermudahkan untuknya.

Kemudian kau cadangkan solusi buat dia.

Kau ajak ke hospital untuk berjumpa pakar kalau dia merasakan tekanan.

Kau ajak dia pergi shopping atau buat apa sahaja aktiviti kalau dia kebosanan.

Kau ajak dia makan-makan kalau dia kelaparan.

Kau bantu carikan jodoh kalau itu yang dia inginkan.

Bukan sekadar pandai menyuruh dia sabar, tabah dan berdoa.

Kemudian kecam pula kalau dia nak mencari jodoh baru.

Tak kena kat kau tak apa lah.

Kalau kena kat diri kau maka kau juga akan merasakan siksanya.

Tolonglah.

KHAIRUL ABDULLAH

#diariseorangsuperdaddy

Anda juga mungkin nak baca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *