My Khaleef

Anak sulung saya Khaleef lain sikit orangnya.

Diagnosis awal oleh doktor pakar di HUKM menunjukkan yang dia ada ciri-ciri Asperger’s Syndrome, salah satu spektrum Autism.

Dia ada dunia dia sendiri.  Bersendirian, bercakap-cakap dan bergelak-tawa atau menjerit-jerit dengan figura-figura bayangan adalah perkara biasa buat dia.

Dia sangat memilih kawan dan sangat kurang bergaul dengan rakan sebaya.  Dia lebih gemar bergaul dengan orang dewasa.  Jadi tidak hairan jika tutur kata serta ayat yang digunakan di dalam pertuturan harian lebih “advanced” dari biasa.

Ketika mengambil report card tempoh hari, Alhamdulillah keputusan ujiannya lebih baik dari sebelum ini.  Ketika ada arwah ibunya semua matapelajaran dapat A.  Ketika ibunya meninggal hampir semua dapat C.  Kali ini meriah, ada A, B dan C.

Kata cikgu dia tidak pernah beri tumpuan di kelas.

Cikgu tunjukkan buku latihannya yang kosong tidak bersentuh walhal pelajar lain dah penuh.  Langsung tidak boleh disuruh buat atau dipaksa untuk buat.

Namun dia pandai Matematik, kata cikgu.  Walaupun tidak beri perhatian namun dia boleh menjawab segala soalan.  Dia paling pandai melukis.  Setiap hari sekitar jam 11 pagi dia akan minta kertas dan pensil untuk melukis.  Tak kisahlah kelas apa yang sedang berlangsung ketika itu, dia mesti melukis.

Sama juga di rumah, bila dia minta hendak melukis maka haruslah diberikan kertas dan pensil segera.  Jika tidak dia akan tantrum, mengamuk ataupun merajuk sakan.

Dia juga seorang yang sangat kuat ingatan.  Boleh ingat momen sejak dia berusia sekitar 2 tahun.  Boleh ingat segala perincian tentang ibunya, perincian tentang benda kegemarannya.

Paling penting dia ingat setiap kata-kata atau janji saya padanya.

Khaleef sangat menguji kesabaran saya.

Dia seolah seorang anak yang sangat keras kepala.

Setiap pesanan atau teguran saya tidak diendahkan.  Apa yang dia rasa nak buat, dia akan buat.  Walaupun sudah berkali-kali dipesan jangan itu jangan ini kerana jika buat juga akan berlaku itu dan ini.  Semua baik buruk serta cause and effect saya terangkan.

Dia sentiasa akan mengangguk dan menjawab tanda faham.  Namun beberapa ketika kemudian dia tetap juga akan buat.

Dia kerap menghilangkan diri.  Pernah beberapa kali hilang ketika di shopping complex.  Pernah sekali hilang ketika di Chatuchak Market, Bangkok.  Dia akan menonong berjalan pergi tidak endahkan sekeliling.  Nak takut ni jauh sekali.

Sabtu lepas hilang ketika di tandas sebuah petting zoo di Serdang.

Minta saya temankan dia ke tandas untuk kencing.  Bila dia selesai maka giliran saya.  Saya pesan tunggu depan pintu dan jangan ke mana-mana.  Berulang kali saya pesan, tunggu di sini jangan kemana kerana bahaya.

Saya tutup pintu separuh dan sambil panggil dia.  Panggilan pertama dan kedua dia sahut.  Panggilan ketiga senyap sunyi tak berjawab.  Saya keluar sahaja dia sudah lesap di pandangan.

Berderau darah.

Mujur zoo tersebut kecil sahaja dan mudah saya nak cari.  Dia telah kembali ke lokasi terakhir sebelum kami ke tandas di mana adik-adik dan pakciknya sedang menunggu.

Bila ditanya kenapa langgar pesan daddy, dia hanya senyum sahaja.

Dia adalah seorang anak yang perlu diberi perhatian yang lebih.  Lebih sukar untuk menjaga dan membesarkan dia berbanding dua lagi adik-adiknya.

Apa yang keluar dari mulut dia samada pernyataan, pertanyaan, ataupun jawapan kadang-kadang sukar untuk saya brained.  Dia jarang sekali bercakap atau bertanya tentang kartun yang biasanya ditonton oleh kanak-kanak sebayanya.

Ketika usianya 3 tahun lebih, dia sudah bercakap tentang Northern Light atau Aurora Borealis, sudah kenal semua monumen dunia, sudah tahu planet mana yang panas atau sejuk, sudah tahu jenis-jenis kapal terbang dan keretapi.

“How on earth you know all this thing, Khaleef?”

“I just know, daddy.”

Begitulah.

Dulu saya sering marahkan dia.  Saya ingat dia jenis bebal.  Jarang sekali dia menyahut panggilan saya.  Berpuluh-puluh kali panggil pun dia buat bodo sahaja.  Kena pergi dekat dan sentuh dia atau menjerit macam Tarzan baru dia sahut.

Bukannya dia tak dengar tetapi dia fokus kepada sesuatu dan diabaikan segala benda yang lain.

Semoga saya terus diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi di dalam membesarkan anak yang seorang ini.

Doakan saya.

KHAIRUL ABDULLAH
#SuperDaddy

Anda juga mungkin nak baca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *