Operator 999

Tangan saya dah mula kena darah.

“Allah, Allah, Allah” berterusan perkataan tersebut disebut tanpa henti.

“Sabar dik, sabar yer, sikit lagi jer ambulan nak sampai.”

Saya masih memegang kaki dan belakangnya agak tidak terlalu bergerak-gerak.

Pesan orang ambulan ketika saya telefon tadi agar jangan dialihkan mangsa dan jangan biarkan dia bergerak terlalu banyak, kekalkan posisi dia.

Darah sudah mula berhenti mengalir keluar dari hidung dan mulut.  Namun sudah membasahi hampir keseluruhan kepala hingga kebelakangnya.

Darah merah pekat, likat dan berketul.

Ketika saya mula-mula berhentikan kereta, kelihatan seorang lelaki terbaring di atas jalan dan beberapa orang mula berjalan ke arah beliau.

Seorang lelaki bermotorsikal kemalangan dengan sebuah kereta.

Kelihatan juga seorang wanita keluar dari kereta menggigil teruk sambil cuba mendail sesuatu di telefonnya.  Saya cakap tak apa, biar saya telefon, puan bertenang dahulu.

Ketika itu, darah membuak keluar seperti air paip dari hidung dan mulut mangsa. Beliau tak sedarkan diri cuma sesekali nampak ada pergerakan kecil.

Saya mula nak marah dengan telefonis 999 kerana jenuh nak terangkan lokasi tempat kejadian.  Bila saya maklumkan Jalan utama depan simpang Perdana Lakeview West, Cyber 5, Cyberjaya, dia tanya saya pula daerah mana, Sepang ke Dengkil ke.

Aduhhhh..

Saya rasa dekat 3-4 minit juga dihabiskan dengan telefonis tu hanya untuk sahkan tempat kejadian, padahal saya dah cerita detail lokasi tu.  Barulah disambungkan kepada hospital pula.

Saya hanya cakap tolong cepat, tolong cepat, berulang kali.

Saya tidak mahu lelaki tersebut habis nyawanya di atas jalan apatah lagi ketika saya sedang memegangnya.

Ramai yang berhenti membantu.  Ada yang jaga trafik, ada yang membawa tisu tolong lapkan darah yang keluar dari hidung dan mulut.  Ada yang longgarkan pakaiannya agar dia lebih selesa, ada yang ajar mengucap dan sebagainya.

Ramai juga cuba membantu di dalam mencari waris mangsa terutama isterinya.  Ada yang post di Whatsapp, ada yang post di FB.  Mujur ada yang jumpa kad insurans yang menunjukkan mangsa bekerja di MCMC.

Mujur ada yang boleh tolong maklumkan kepada majikannya.

Saya cuba buka handphonenya di bahagian emergency dan mencari contact yang boleh dihubungi.  Malangnya di bahagian emergency tu tiada nombor dimasukkan.

Saya tetap berbisik kepada beliau, sabar dik, mengucap dik sambil menyebut Allah, Allah, Allah.

Ketika dia mulai sedar memang kalimah Allah tidak putus dari mulutnya.  Matanya tertutup rapat, hanya mulutnya kedengaran berbisik Allah, Allah, Allah.

Ambulan sampai 10 minit kemudian dan membawa mangsa ke hospital Putrajaya.

Terus bergegas saya ke pejabat sambil berdoa agar Allah panjangkan umur lelaki tersebut kerana ada keluarga yang sedang menanti di rumah.

Marilah kita semua doakan agar lelaki berusia 31 tahun saudara Norshahaszalin Bin Mansor selamat dari kemalangan pagi tadi dan diberikan kesembuhan segera.

Aminn Ya Rabbal Al’Amin.

#superdaddytakutdarah

Anda juga mungkin nak baca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *