Hidup kita ini sentiasa diberikan pilihan.
Kita boleh pilih nak makan nasi atau spaghetti. Kita boleh pilih nak beli barang ori atau tiruan, boleh pilih untuk naik teksi atau naik grab atau nak naik Airasia atau MAS bergantung kepada keperluan dan kemampuan kita.
Boleh juga memilih untuk menghentam atau membantu, menderma atau mengutuk, peduli atau buat tak tahu.
Kita juga boleh pilih nak ke syurga atau neraka, nak buat jahat atau baik. Kita boleh pilih samada hidup kita ini memberi manfaat atau memberi kesusahan kepada orang lain.
Setiap pilihan yang kita buat semestinya memberi kesan kepada orang sekeliling. Melainkan kita tinggal di dalam gua seorang diri, namun tetap memberi kesan kepada dinding gua serta unggas dan serangga yang tinggal di dalamnya.
Jadi, buatlah pilihan yang tepat, yakni pilihan yang boleh mendorong kita ke syurga dan bukannya neraka. Pilihan yang tidak memudaratkan orang lain pasti diberi ganjaran kebaikan berlipat kali ganda.
Pilihan untuk mengemas meja selepas makan di restoran dengan niat untuk membantu meringankan beban pekerja serta berniat untuk memenuhi tanggungjawab bagi menjaga kebersihan sudah semestinya perbuatan yang baik dan mulia berbanding tinggal meja bersepah seolah baru dimakan oleh haiwan dan bukannya manusia.
Pilihan untuk memberi signal ketika hendak masuk simpang atau menukar lorong pemanduan semestinya memberi kesan dan membantu pemandu lain untuk berwaspada dan membuat keputusan mereka. Sudah tentu pilihan tersebut adalah pilihan yang lebih baik daripada tidak memberi signal dan memberi kesusahan dan boleh membawa kecelakaan kepada diri sendiri dan pengguna jalanraya yang lain.
Juga pilihan untuk tidak melanggar lampu merah walaupun ketika itu tiada kenderaan lain adalah pilihan yang lebih baik kerana ia mengajar kita membentuk dan menjaga intergriti di dalam hidup yakni tidak melakukan kesalahan walaupun tiada kamera atau polis yang memandang. Selain itu ia juga bakal menyelamatkan ramai nyawa daripada melayang akibat kemalangan yang sering berlaku berpunca daripada melanggar lampu merah.
Pilihan untuk tidak merokok di dalam restoran atau berdekatan orang lain yang tidak merokok terutamanya anak-anak kecil dan juga wanita yang mengandung adalah pilihan yang terbaik dan memberi impak kesihatan yang besar kepada individu lain berbanding merokok sesuka hati tak kira tempat, masa atau dikelilingi siapa sahaja.
Pilihan untuk menolak dan menyusun kembali troli pasaraya ke tempat yang dikhaskan atau diletakkan di tempat yang tidak menganggu lalulintas kenderaan atau pejalan kaki sudah semestinya pilihan yang lebih baik berbanding meletakkannya di belakang atau hadapan kereta orang lain atau di atas laluan pejalan kaki.
Juga pilihan untuk menjaga lidah dan jari dari mengeluarkan atau menaip perkataan yang tidak baik di media sosial adalah lebih baik dari segala carutan dan makian sehingga menjatuh maruah individu yang lain semestinya lebih baik dan disukai Allah SWT berbanding sebaliknya.
“Barang siapa yang memudah kesulitan seorang Mu’min dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, Allah akan memudahkan kesulitan-kesulitannya pada hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang dalam kesulitan nescaya akan Allah memudahkan baginya di dunia dan akhirat” (HR. Muslim).
Jadi, kalau di dalam hidup kita ini rasa selalu susah, ada sahaja perkara yang menyukarkan kehidupan seharian kita maka bermuhasabahlah.
Cuba renung balik, kita ni jenis menyusahkan orang atau memudahkan.
Pilihlah.
Leave A Reply