Saya menunggu hampir 10 tahun untuk menimang cahaya mata pertama. Itupun selepas berpeluang tinggal di Jerman dan selepas melalui proses perubahan gaya hidup yang amat ketara. Hasilnya anak sulung saya Khaleef dilahirkan di Frankfurt, Germany pada 10hb Januari 2014 yang lalu.
Ketika isteri menunjukkan kepada saya kit ujian kehamilan yang mempunyai 2 jalur merah usai maghrib di musim bunga yang indah, saya tidak bereaksi. Tidak tahu reaksi bagaimana yang perlu zahirkan. Percaya? tidak? terkejut? gembira? saya tidak pasti.
Cumanya saya menyarung jaket dan but lalu berlari anak ke stesen keretapi berhampiran rumah untuk membeli lagi kit ujian kehamilan yang dijual di vending machine. Tangan saya terketar-ketar memasukkan syiling dan 2 pek kit ujian saya dapatkan.
Sampai di rumah, saya minta isteri jalani ujian sekali lagi. Hasilnya positif. Saya tidur tidak lena malam tersebut. Keesokan paginya sekali lagi ujian dijalankan dan masih positif. Lalu kami bergegas ke klinik berhampiran.
Di sinilah bermulanya pengalaman baru dan pertama buat kami berdua.
Pengesahan kandungan.
Doktor keluarga kami (GP) menyambut kedatangan kami seperti biasa. Namun beliau tidak dapat menerima kes ini kerana katanya ia di luar bidang beliau. Walaupun dia boleh membuat ujian dan mengesahkannya namun beliau tidak mahu lakukan kerana beliau mahu ujian dibuat oleh doktor perbidanan sendiri. Lalu kami dirujuk ke klinik lain.
Di klinik perbidanan yang rupanya seperti galeri seni, kami diberi pilihan doktor mana yang kami inginkan. Ada seorang doktor pakar lelaki yang terbaik d Frankfurt atau seorang doktor wanita. Kami memilih doktor Catherine Trautmann yang juga seorang doktor wanita yang bagus.
Jumpa doktor di Jerman ni agak unik sebenarnya. Setiap doktor akan keluar dari bilik dan datang sendiri ke ruang menunggu dan memanggil nama pesakit. Usai berjumpa dan bersalaman doktor akan memberitahu namanya dan akan mejelaskan juga bahawa beliau adalah doktor yang akan mengambil kes ini sehinggalah selesai bersalin nanti.
Sama juga jika ke doktor gigi, doktor keluarga, jumpa nurse dan sebagainya, kami sentiasa dijemput sendiri oleh doktor, diperkenalkan nama dahulu kemudian mengiringi kami berjalan ke biliknya, dibukakan pintu dan dijemput duduk dan barulah ditanya tentang sakit atau rawatan dan sebagainya.
Doktor membuat pemeriksaan dengan teliti. Doktor Jerman ni terlebih concern, jadi segalanya di periksa dan diterangkan dengan teliti. Apabila selesai kami terus boleh pulang. Tak perlu bayar apa kerana bil akan dihantar nanti dan kami akan hantar pula kepada syarikat insurans.
—————-
Ketika mengetahui yang isteri saya mengandung ketika baru pulang ke Malaysia, kami bergegas ke hospital pakar bersalin yang paling dekat dengan rumah. Memandangkan itu adalah hospital bersalin, jadi kami yakin pasti akan menerima layanan yang terbaik di situ. Harapan atau expectation kami agak tinggi.
Namun setelah hampir 2 jam menunggu, barulah dapat berjumpa doktor. Ketika nombor giliran kami disebut dan dipaparkan lalu bergegaslah kami ke bilik doktor. Setelah masuk, kelihatan seorang doktor sedang duduk menanti ketibaan kami dan 2 orang nurse turut berada di situ. Usai saya memberi ucapan salam kami dijemput duduk. Doktor bertanya itu ini dan membuat pemeriksaan dengan dibantu oleh 2 orang nurse. Selesai pemeriksaan dan konsultansi sekitar 10 minit kemudian kami pun mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal lalu keluar dari bilik doktor.
Tunggu lagi sekitar 20 minit untuk membuat pembayaran sekitar RM200 termasuk ubatan dan barulah kami pulang.
Pemeriksaan berkala.
Di awal kandungan, setiap 2 minggu kami datang bersama-sama untuk berjumpa doktor. Setiap pertemuan adalah melalui temujanji. Biasanya temujanji bermula jam 7 pagi sehingga 5 petang. Kalau temujanji jam 9.00 pagi maka jam 9.00 atau 9.10 sudah boleh berjumpa doktor. Tidak perlu tunggu selama 2 jam. Setiap kali doktor akan membukakan pintu untuk kami masuk ke biliknya.
Di Jerman juga, doktor sendiri yang bantu baringkan si ibu. Saya si suami dipanggil untuk duduk bersama dan mendengar apa yang doktor ceritakan. Mula saja pemeriksaan maka doktor akan bercerita tentang setiap apa yang dipaparkan di skrin. Mana kepalanya, mana kakinya, mana jantungnya, mana aliran darahnya dan pelbagai maklumat lain.
Selesai pemeriksaan maka doktor juga akan mengelap sisa gel di perut isteri dan kemudian kami dijemput duduk di mejanya dan beliau akan membuka komputernya dan memasukkan data serta menunjukkan graf tumbesaran bayi, perkembangannya dan segala maklumat penting. Kami turut diberi nasihat tentang cara menjaga kandungan, cara pemakanan dan macam-macam lagi. Doktor juga berkali-kali bertanya samada kami ada soalan-soalan yang boleh beliau bantu bagi menerangkannya.
Doktor juga lazimnya akan mengiringi pesakit ke luar dan membukakan pintu. Pembayaran tidak diperlukan kerana semuanya akan dibilkan kepada syarikat insurans. Bil yang kami terima untuk claim dari syarikat insurans adalah sekitar €150-€270 untuk setiap kali pertemuan.
Begitulah selama 9 bulan pengalaman berjumpa doktor di Jerman sebelum malalui proses kelahiran di hospital pula.
———————————-
Di hospital bersalin berhampiran rumah saya di Malaysia pula, setiap kali pergi kami perlu menunggu sekitar 1-2 jam walaupun diberikan temujanji jam 9-10 pagi. Sepanjang tempoh awal kandungan, hampir 4-5 kali pergi ke hospital yang sama dan setiap kali pasti jumpa doktor yang berlainan. Semua doktor akan duduk di kerusi masing-masing dan bertanya kembali soalan yang sama. Percaya atau tidak, seorang doktor pun saya tidak tahu namanya. Kecuali doktor yang terakhir ada saya bertanya namanya ketika saya bangun untuk beredar. Barulah doktor tersebut memberitahu namanya.
Di hospital tersebut juga, setiap doktor pasti akan ada nurse yang membantu. Setiap kali hendak buat scanning, nurse akan bersiap sedia membantu ibu mengandung untuk baring di katil pemeriksaan, buka pakaian dan sebagainya. Dah selesai dan bersedia barulah doktor datang dan buat pemeriksaan. Doktor hanya kumat kamit mengatakan sesuatu kepada nurse dan apabila selesai doktor akan berkata “semua ok”. Itu sahaja yang saya dapat tahu sepanjang pemeriksaan anak kedua saya sehinggalah beliau lahir.
Cuma ada sekali ketika berjumpa pakar sonograf di hospital yang sama, beliau menceritakan dengan lebih terperinci apa yang dipaparkan di skrin walaupun sekejap sahaja.
Selesai pemeriksaan, doktor akan kembali ke meja dan mencatat sesuatu dan nurse pula membantu mengelap sisa gel di perut isteri dan membantunya. Kemudian doktor akan memberi nasihat tentang keadaan ibu dan bayi serta pesanan-pesanan tertentu sebelum dibenarkan pulang. Maka tunggulah lagi sekitar 15-20 minit untuk giliran membayar bil pula.
Di Malaysia, ketika kandungan berusia sekitar 4 bulan, saya dan isteri memilih untuk bertukar ke klinik kerajaan untuk membuat pemeriksaan. Ramainya manusia tidak dapat dibayangkan. Namun agak mengejutkan yang servis atau layanan yang diberikan adalah lebih baik dari yang kami terima di hospital swasta yang bayarannya sekitar RM170-RM300 setiap kali perjumpaan.
Namun sebagai suami, saya agak segan untuk masuk bersama isteri ke bilik pemeriksaan kerana saya dapati semua suami lain tidak masuk bersama. Kemudian saya dapati yang bilik pemeriksaan turut dikongsi oleh ibu lain juga. Mungkin kerana ruang yang terhad dan pesakit ramai, jadinya bilik pemeriksaan perlu dikongsi. Jadi agak tidak manis untuk saya bersama isteri dan ketika itu ada isteri orang lain juga bersama di dalam bilik tersebut.
Jadi sepanjang pemeriksaan di klinik kesihatan saya tidak pernah masuk bersama. Jadi saya tidak tahu apa-apa perkembangan ketika proses scan dijalankan cuma kata isteri saya doktor cakap semuanya ok. Kata isteri lagi, doktor dan nurse di klinik kerajaan ni lebih concern atau ambil berat mengenai kandungan bayi berbanding hospital swasta yang kami pergi sebelum ini.
Proses Bersalin.
Kami mendaftar untuk bersalin di sebuah hospital yang agak jauh dari rumah kerana tiada yang berdekatan. Kami disambut oleh seorang nurse yang memperkenalkan namanya kemudian mengajak kami masuk ke dalam sebuah bilik. Setelah berbual kecil kemudian isteri saya ditemuduga dan saya diarahkan untuk membuat pendaftaran. Kami juga diberi pilihan untuk bersalin di bilik mana dan juga menginap di wad mana.
Setelah selesai, kami kini perlu berulang alik ke hospital pula untuk membuat pemeriksaan seterusnya. Kami turut diperkenalkan kepada seorang dotor yang akan memeriksa dan melihat perkembangan kesihatan kandungan serta isteri saya.
Memandangkan isteri saya mengalami kenaikan tekanan darah yang mendadak sekitar 2 minggu sebelum due date maka kami dinasihatkan agar melahirkan kandungan dengan lebih awal.
Di Malaysia kami mendaftar di sebuah hospital lain yang agak jauh juga untuk melahirkan anak kedua. Mujur doktor dan nurse di hospital tersebut bagus-bagus belaka. Layanan yang diterima pun sangat memuaskan hati. Cumanya saya masih tidak mengetahui apa-apa perkembangan mengenai kandungan setiap kali pemeriksaan atau scanning dibuat selain daripada perkatan “semuanya ok”. Doktor kurang ingin bercerita kepada kami. PAdahal di Jerman ketika anak pertama dahulu setiap kali kami belajar benda baru dan tahu perkembangan bayi dengan sangat terperinci.
Seminggu lebih awal dari jangkaan, isteri saya mengadu sakit. Contraction dah kerap katanya.
Bersalin.
Kami tiba di Markus Krankenhaus sekitar jam 7 pagi dan terus dibawa ke bilik menunggu. Nurse masuk memperkenalkan diri dan mula memasang peralatan di tangan isteri untuk mengawasi perkembangannya. Bilik menunggu adalah seperti bilik hotel yang kecil. Lengkap segalanya. 12 jam berikutnya barulah kami dipindahkan ke bilik bersalin. Sepanjang hari saya sentiasa berada di sisi isteri. Nurse berulang kali datang menjenguk dan bertanyakan keperluan kami. Doktor juga sekali sekala masuk memeriksa.
Suasana sangat tenang. Nurse akan bercakap dengan suara yang paling halus begitu juga dengan doktor. Tiada langsung terasa seperti diganggu apabila nurse dan doktor keluar masuk. Saya sentiasa bersama isteri setiap kali doktor datang membuat pemeriksaan. Ada sekali ketika isteri saya mengambil suntikan epidural, doktor bertanya kepada saya adakah saya sanggup untuk melihat prosedurnya, jika sanggup boleh tunggu dan lihat jika takut boleh tunggu di luar seketika. Saya gagahkan diri untuk melihat namun ketika jarum ditusuk ke belakang isteri, saya lari keluar cepat-cepat.
Nurse juga sering datang melawat dan bertanyakan keadaan dan ada apa yang oleh mereka bantu. Nurse juga bertanya samada hendak gelapkan sedikit suasana bilik agar lebih rileks. Kami katakan ya dan nurse malapkan lampu dan buatkan kami seselesa yang mungkin. Jika nurse ingin bercakap dengan nurse lain atau doktor mereka akan keluar dan bercakap di luar bilik. Suasana sangat sunyi dan tenang.
Ketika hampir tiba waktu untuk bersalin, hanya seorang bidan membuat segala persediaan, saya erat menggenggam tangan isteri. Bila tiba waktunya doktor datang membantu. Doktor dan bidan memberi kata semangat dengan suara yang sangat lembut. Saya disisi mula bergenang airmata melihat kesusahan isteri. Seketika kemudian tepat jam 11.30 malam anak saya Khaleef dilahirkan. Doktor menawarkan kepada saya untuk memotong tali pusat bayi. Seketika kemudian saya iqamah dan azankan Khaleef di dalam bilik bersalin tersebut.
Selesai semua kami ditinggalkan di dalam bilik tersebut untuk berehat seketika sementara nurse menyediakan keperluan kami di wad. Kami dipindahkan ke wad selepas itu. Letih dan kelaparan setelah seharian tidak makan, saya dapati ada pantry kecil di ruangan wad. Kata nurse, ambillah makanan atau minuman yang ada disitu.
Wahhh, bagus. Ada mesin kopi, teh, sup cendawan segera, biskut air mineral, juice dan sebagainya lagi. Semuanya percuma.
Maka tidurlah kami di wad malam tersebut sementara menunggu hari esok untuk saya ke airport menjemput ibu saya yang baru tiba melalui penerbangan MH pagi tersebut.
————————————-
Untuk anak kedua pula, isteri saya sudah mula merasa sakit seminggu sebelum due date. Jam 2.15 pagi saya bergegas ke hospital yang jauhnya sekitar 40 minit pemanduan. Selesai mendaftar isteri saya di bawa masuk dan saya menunggu diluar. Hampir 3 jam kemudian saya dibenarkan masuk di bilik bersalin untuk menemani isteri. Sepanjang di bilik tersebut, saya boleh dengar dengan jelas setiap topik perbualan nurse di wad tersebut. Dari cerita mengenai nasi lemak sehinggalah aktiviti penjualan barangan dan sebagainya.
Saya meminta kebenaran nurse untuk mematikan satu lampu dan tinggal satu lagi lampu agar tidak terlalu terang dan bagi membuatkan isteri saya lebih selesa namun tidak dibenarkan. Nurse dan rakannya ketawakan saya. Katanya bilik bersalin mana boleh nak gelap atau malapkan. Saya akur.
Setiap kali doktor atau nurse masuk untuk buat pemeriksaan saya diarahkan keluar. Namun nurse dan doktor bagus-bags juga, sentiasa memberikan semangat dan peransang untuk isteri. Cumanya seringkali perbualan mereka di koridor agak mengganggu ketenteraman orang sakit.
Hampir 10 jam menunggu barulah doktor ambil keputusan untuk cuba melakukan proses bersalin. Saya diarahkan keluar seketika ketika mereka membuat persediaan. Kemudian saya dipanggil masuk. Ketika itu di dalam bilik bersalin tersebut terdapat kira-kira 7 orang termasuk kami. Seorang doktor dan 4 orang nurse.
Suasana agak kelam kabut dengan hiruk pikuk dan kebisingan ditambah dengan jeritan dan sebagainya. Ketika dalam proses “push push” itu saya dengar doktor meminta nurse memanggil seorang lagi doktor. Kemudian keadaan bertambah tegang. Doktor lain mula masuk dan seketika kemudian anak saya Khaleel dilahirkan pada jam 1.55 tengahri dalam keadaan biru gelap dan tidak bergerak.
Airmata saya menitis laju.
Bayi dilarikan dari kami dan dibawa keluar. Saya bingung seketika. Tiada siapa yang berkata apa. Isteri saya bertanya, “baby macamana?” saya katakan yang baby ok, walaupun sesungguhnya saya tidak tahu keadaan sebenar bayi saya ketika itu.
Kemudian nurse memanggil saya keluar. Lalu saya ditunjukkan seorang bayi lelaki di dalam bekas oksigen. Kata mereka semuanya ok. Alhamdulillah. Saya berjalan ke luar ke arah parking. Masuk ke dalam kereta dan saya menangis. Sebak sedih, syukur semuanya ada.
Seketika kemudian kami dipindahkan ke wad.
Keluar Wad.
2 malam juga kami tidur di Markus Krankenhaus. Layanan diterima sangat baik sekali. Nurse datang mengajar cara pengendalian bayi, cara penyusuan, cara mandikan bayi dan sebagainya. Maklumlah anak pertama, semuanya harus diajar.
Setelah pemeriksaan kesihatan dan sebagainya terhadap si ibu dan anak, kami dibenarkan pulang. Sebelum dibenarkan mengambil bayi dan keluar, nurse bertanya apakah cara kami pulang. Jika menaiki kereta, maka kami perlu tunjukkan child seat yang sesuai. Lalu saya tunjukkan car child seat yang saya bawa. Nurse menyuruh saya masukkan bayi ke dalam seat tersebut dan setelah memastikan yang semuanya ok, seatbelt dah dipasang barulah kami dibenarkan membawa pulang bayi.
Anak kedua pula, isteri saya tidur semalam di wad namun saya tidak dapat menemankan beliau kerana perlu menjaga Khaleef. Saya hanya menemani isteri di waktu siang sahaja. Memandangkan bilik kami di hadapan nurse station maka macam-macam cerita yang saya dengar dari perbualan mereka.
Di Jerman, nurse station semuanya di dalam bilik tidak terbuka atau berbentuk kaunter. Mereka juga jarang bersembang atau bercerita di koridor.
Keesokan harinya isteri menelefon saya dan memberitahu yang dia sudah dibenarkan pulang. Maka saya bergegas ke hospital untuk membawa pulang Khaleel dan ibunya. Saya disuruh menjelaskan bil terlebih dahulu kemudiannya pihak sekuriti datang memeriksa bayi dan memastikan saya membawa pulang bayi yang betul.
Usai segalanya maka saya membawa pulang Khaleel sepertimana saya membawa pulang abangnya Khaleef.
Apa perbezaannya?
Ini adalah cerita saya dari pengalaman saya. Saya pasti setiap orang ada cerita dan pengalaman yang berbeza, walaupun di klinik atau hospital yang sama. Pengalaman saya di Jerman hanya di satu klinik dan satu hospital. Pengalaman saya di Malaysia hanya di satu klinik kerajaan dan dua buah hospital. Jadi saya tidak pukul rata dengan mengatakan semua hospital atau klinik memberi layanan sebegitu samada di Jerman mahupun di Malaysia.
Secara ringkasnya, kemudahan perubatan atau kesihatan dari segi infrastrukturnya adalah sama sahaja di kedua-dua buah negara. Peralatan yang sama, mesin-mesin yang hampir sama. Bezanya hanyalah sistemnya serta orang yang bekerja di dalam sistem tersebut.
Layanan yang diterima ketika di Jerman adalah kelas pertama walaupun hospital yang kami pergi itu bukanlah hospital yang paling bagus. Antara yang paling murah sebenarnya. Semua temujanji untuk pemeriksaan doktor di klinik adalah tepat pada masanya. Tidak pernah terlalu lambat melebihi 10 minit. Sentiasa disambut dengan ucapan dan senyuman dari nurse dan juga doktor.
Para doktor dan nurse sangat berbudi bahasa dan beradab. Melayan kami orang asing tanpa perbezaan. Nurse akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi kehendak kami dan beri keselesaan kepada kami. Jika doktor yang lebih berusia, mereka melayan anda seperti anak, tangan dan bahu disentuh lembut ketika memberi nasihat atau cuba menenangkan ibu yang sakit hendak bersalin.
Tiada hiruk pikuk dan bising-bising. Semuanya aman dan tenteram.
Pengalaman melahirkan anak di Malaysia juga sangat berharga. Doktor dan nurse sangat professional cumanya kurang mesra sahaha sesetengahnya. Tidak memperkenalkan nama, tidak beramah tamah dahulu sebelum memulakan rawatan dan sebagainya. Ada doktor yang sangat bagus dalam PRnya namun tidaklah ramai.
Paling tidak seronok adalah masa yang dibazirkan sekitar 1-3 jam setiap kali sebelum dan selepas berjumpa doktor hanya untuk menunggu.
Bagi klinik kerajaan pula, saya kagum dengan dedikasi para doktor dan jururawat. Bukan senang nak handle pesakit yang sangat ramai dengan seribu satu macam kerenah.
Namun bagi hospital swasta yang mengenakan caj ribuan ringgit untuk satu kelahiran, servis yang lebih baik sangatlah ditagih. Tidak perlu melayan pesakit seperti anak raja, cukuplah senyuman mesra, tidak terlalu bising dan ketawa mengilai ketika bersembang dengan rakan sekerja.
Mungkin ada sedikit sebanyak pengajaran dari cerita saya yang boleh digunakan untuk menambah baik servis atau perkhidmatan perubatan di Malaysia terutamanya di klinik atau hospital swasta.
Adakah anda pernah rasa apa yang saya rasa?
ENTAHLAH, I dont know.
Penafian/Disclaimer
Tulisan ini adalah bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan juga untuk kita melihat perbezaan proses kelahiran anak di antara Malaysia dan Jerman. Pengalaman anda dan saya pastinya berbeza walaupun di hospital yang sama dan di negara yang sama. Saya bercerita tentang klinik/hospital swasta kerana di Jerman tiada klinik atau hospital kerajaan. Di Malaysia juga saya bercerita tentang hospital swasta dan menyentuh sedikit pengalaman di klinik kerajaan. Tulisan ini tidak sesekali bertujuan untuk membanggakan atau memburukkan antara satu sama lain. Yang mana baik kita jadikan tauladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.
7 Comments
Assalamualaikum. Tahniah saudara Khairul & isteri kerana telah mendapat anak ke-2. Tahniah juga kepada Khaleef kerana telah menjadi abang. Saya sudah membeli buku saudara Khairul di MPH Alamanda, Sungai Petani, Kedah. Buku yang menarik padat dengan informasi yang berguna khususnya buat para pelancong yang ingin melancong ala backpaker. Cuma, buku saya nak beli juga buku saudara Khairul yang ke-2 – Mentaliti Jamban. Setakat ini, saya belum pernah menemui buku bertajuk Mentaliti Jamban di mana-mana kedai buku khususnya di Sungai Petani. Selepas saya bank-in harga buku+postagem insya-Allah saya hubungi saudara Khairul melalui e-mel.
Cancel the pre-order. Saya tunggu buku itu dijual di Sungai Petani, Kedah 🙂
Bab bersalin ni memang saya gatal tangan betul nak komen. Saya sendiri dengan anak yang taklah ramai mana, alhamdulillah punya sedikit pengalaman pelbagai dengan hospital kerajaan dan swasta, beserta ‘pakej’ kaedah bersalin yang juga berbeza.
Bab menunggu yang lama itu, ya, saya alami juga walaupun di hospital swasta yang saya pilih untuk bersalin tahun lepas. Saya pilih kerana birth team yang saya lebih percaya selepas pengalaman yang tidak enak sebelum-sebelum ini. Entahlah mengapa sistem di Malaysia ini begitu.
Tapi kalau saya buat temujanji dengan osteopath, right on time terus dapat rawatan dan diingatkan untuk hadir 15 min lebih awal. Mungkin osteopath tu bukan Malaysian kot.
Bising di labour room itu pun, biasa. Jadi apabila nak bersalin tahun lepas, di hospital swasta yang saya pilih itu, saya siapkan rancangan kelahiran dan hanya seorang nurse yang tunggu di dalam LR bersama suami. Doktor datang sekali sekala, to check progress. Ketika proses bersalin berlaku pun hanya ada suami, doktor dan seorang jururawat itu sahaja.
Pengalaman tuan, pengalaman. 🙂
Assalamualaikum KA,
Lama sungguh tak menjenguk blog2 ni! Apa lagi nak tinggal comment.. hihi. Anyway diharap KA dan family sihat2 belaka. Tahniah juga atas kelahiran Khaleel.
Ni, saja la nak share ni kan, alang2 sedang pregnant anak kedua. Buat pemeriksaan kat klinik desa, kemudian kena rujuk ke klinik ibu dan anak di tempat lain pula utk pemeriksaan selanjutnya. Klniknya kecil, dari 7.30 pagi lagi dah penuh orang. Tempat duduk penuh dengan ibu2 mengandung. Dari satu bilik pemeriksaan ke bilik pemeriksaan lebarnya hanya muat seorang perempuan mengandung untuk berjalan. Di letak pula kerusi menunggu di situ. Nurse2 memang cekap, tapi menunggu giliran berjumpa doktor selepas semua pemeriksaan dibuat, adalah paling memakan masa. Paling kurang sejam setengah menunggu sahaja. Sebab, doktor hanya 2 orang melayan berpuluh2 wanita mengandung.
Kesian betul sistem pengurusan hospital sekarang. Kesian lagi dekat ibu2 yg nak bersalin ni.
Teruk, kan.
tahniah buat anda & pasangan atas kelahiran anak yang ke-2..semoga bertambah rezeki & kesihatan semua keluarga baik2 🙂
Perkongsian yg menarik
Saya juga pengalaman bersalin di-Malaysia dan Germany..Bersalin di -Germany, Best No1