Sehari dua ni kecoh dan viral lagi pasal isu ambil paket gula/krimer berlebihan di IKEA Malaysia Cheras. Bila dah viral maka ramailah yang komen. Ada menyokong, ada membantah, ada yang tidak kena mengena dengan topik, ada yang jual ubat dan sebagainya.
Kenapa sampai begitu?
Setiap kali kes di Ikea pasti akan viral. Saya juga pernah menulis isu pasal Ikea ni sebanyak dua kali (boleh dibaca di sini dan di sini) dan kedua-duanya turut viral (harap-harap yang ni pun korang share sampai viral jugak). Ini menunjukkan memang rakyat Malaysia suka dengan Ikea ni di mana apa yang berlaku di Ikea akan sedikit sebanyak memberi kesan kepada mereka.
Ketika di Jerman, saya kerap berkunjung ke Ikea untuk membeli perabot dan sebagainya. Namun sepanjang hampir 4 tahun, tak pernah pula viral segala macam isu mengenai Ikea Jerman.
Korang tahu tak yang di Jerman sahaja ada 50 buah Ikea? Di negara asalnya Sweden hanya 20 buah dan di USA yang sangat besar itu pun hanya ada 42 buah Ikea. Kalaulah ramai orang yang bermentaliti jamban ke Ikea di Jerman, pasti setiap hari ada sahaja isu yang boleh diviralkan.
Namun, kenapa tiada isu?
Sebabnya tiada (atau sangat minimum bilangannya) pengunjung bermentaliti jamban ke premis yang sebanyak 50 buah tersebut. Kalau yang buat perangai pelik ni biasanya orang luar. Kalau jenis yang tak kemas balik meja, tak simpan balik tray ni pun semuanya orang luar.
Sepanjang ke Ikea, tak pernah saya tengok orang makan bersepah sampai ke bawah meja dan tinggalkan begitu sahaja. Setiap kali saya ke restoran Ikea, tak pernah saya tidak dapat tempat duduk walaupun orangnya sangat ramai ketika musim perayaan seperti Krismas.
Usai sampai, orang yang sudah habis makan akan menawarkan tempat duduk mereka kepada anda. Apatah lagi jika anda membawa anak, lagi cepat diorang habiskan makan, kemas meja dan tawarkan tempat kepada anda.
Tak pernah saya nampak orang genggam paket gula banyak-banyak dan masukkan ke dalam beg atau poket. Tak pernah saya tengok orang ambil paket teh atau kayu pengacau dan masukkan ke dalam beg atau poket.
Biasanya kalau ada lebihan selepas minum maka paket gula tadi akan dikembalikan balik ke tempatnya.
Di Malaysia lain ceritanya.
Pensel yang diberikan untuk membuat catatan itu pun digenggam masuk ke dalam poket atau beg untuk dibawa pulang. Tidak kisah lah kalau nak ambil dan bawa pulang sebatang dua untuk digunakan di rumah tetapi takkan sampai segenggam? Nak bagi kat orang kampung ke? Atau nak berniaga?
Saya tidak membantah sekiranya anda hendak mengambil gula walau 100 paket sekalipun, namun syaratnya anda hendaklah duduk dan minum dan gunakanlah gula tersebut sebanyak mungkin sampai dapat kencing manis pun tidak mengapa.
Ini kerana anda bayar untuk minum di situ. Anda bayar harga minuman dan diberikan gelas atau mug. Anda boleh minum sebanyak mungkin tanpa had. Jadi duduk dan minumlah sampai muntah.
Jangan diambil dan dibawa pulang kerana itu sudah dikira salah. Walaupun pihak Ikea tak marah, tak kisah dan kita yang sibuk-sibuk nak marah orang, anda kena ingat yang benda tu masuk perut jadi darah daging.
Ada yang kata saya dah bayar untuk harga minuman. Saya dibenarkan minum sebanyak mungkin, namun sebab saya minum segelas sahaja jadi adillah untuk saya ambil gula atau krimer sebagai ganti kepada bahagian yang saya tidak minum.
Hmmm..macam-macam cara dan alasan diberikan.
Ingat, matlamat tidak menghalalkan cara.
Ada yang kata makcik tu orang susah, kita kena faham masalah dia. Sekali lagi, matlamat tidak menghalalkan cara. Sesusah mana pun beliau semiskin mana pun beliau, sikap seperti itu adalah seperti mencuri. Lagipun orang susah rasanya tak pergi Ikea kot.
Ada pula yang sokong atau backup katanya mencuri adalah mengambil benda yang dilarang. Benda free macam paket gula atau krimer tak dikira mencuri. Ikea pun tak sibuk nak dakwa, kita pula menghukum.
Ingatlah, kita hanya membeli segelas atau secawan minuman, paling kuat kita boleh minum sekitar 3-5 cawan. Kalau setiap cawan kita guna 2 paket gula maka kita ambil 10 paket. Itu yang halal bagi kita di atas apa yang kita bayar.
Ini ambil macam nak bawak balik buat kenduri tu kenapa?
Kalau pun Ikea bagi, diorang tak kisah, ambil lah banyak mana pun, korang nak ke bawak beg dan kaut sebanyak mungkin dan bawak balik bagi anak bini makan?
Kau pergi dusun Pak Ali dan bayar RM25 dan dia cakap makanlah selagi mampu dan bawak balik pun boleh. Sanggup ke kau lahap cukup-cukup lepas tu kau tapau seguni bawak balik untuk kaum kerabat kau makan??
Padankah RM25 dengan apa yang kau makan dan seguni yang kau bawak balik?
Usahlah sikap begini kita sokong dan backup. Sikap begini memudaratkan diri, tidak mengajar diri ke arah kebaikan bahkan memudaratkan diri kerana biasa mengambil hak orang secara berlebihan.
Lepas tu ramai marahkan pulak orang yang tegur tu kononnya mengaibkanlah, tak husnuzonlah dan macam-macam lagi. Inilah dilema untuk menegur sikap orang kita. Tegur salah tak tegur pun salah. Kalau ditegur katanya kita tak beradablah tak husnuzon, kalau tak tegur semakin menjadi-jadi perkara sebegini.
Last-last disuruhnya kita pindah duduk di negara lain.
Hmmmmm…
ENTAHLAH, I don’t know.
4 Comments
ntah bila nak berubah pemikiran ambil barang percuma ni..kalau kita kata mereka tu ada attitude problem, kita juga yang salah…
Nak menegur pun kena bijak juga menegur dengan tutur kata bijaksana dan penuh dengan hikmah. Kalau tidak ditegur menjadi-jadi pula. Nanti semua orang ingat benda salah ramai orang buat adalah perkara betul..kan pelik tu..
Salam ukhuwah.. Masyarakat kita masih jauh untuk berfikir, berdisiplin dan berubah mengikut cara rakyat di negara maju.
Mencuri secara tak sedar