Resepi Gulai Rebung Daging Cara Superdaddy Khairul Abdullah

Mak datang minggu lepas bawakan rebung. Dia kalau jumpa rebung mesti teringat kat aku. Buat gulai rebung dengan daging memang meleleh ayaq mata kalau makan.
Punyalah nikmat.
Malangnya dia tak sempat nak buat. Dah seminggu terbayang gulai rebung, maka hari ini aku merajinkan diri. Nah aku share cara buat gulai (kari) rebung bersama daging cara Superdaddy Khairul Abdullah.
Bahan diperlukan untuk projek ini:
Bahan tumis.
5 ulas bawang putih – di tumbuk atau blend.
1 inci halia – ditumbuk atau diblend bersama bawang putih.
1 biji bawang besar – dimayang halus.
1 batang kayu manis + bunga lawang + buah pelaga.
2 tangkai daun kari.
Bahan lain.
300-500gm rebung – yang telah siap diproses. Kalau rebung fresh tu kena cuci dan rebus dengan air garam dulu okeh.
½ kg daging – tak kisah bahagian mana pun. kalau bertulang dan berlemak lagi best. Potong ikut saiz 2 jari.
1 pek rempah kari daging dibancuh dengan sedikit air, ikutlah brand apa pun.
1 sudu kecil pes asam jawa.
1 cawan santan.
2 sudu besar kerisik.
Garam secukup rasa.
Cara nak laksanakan projek gulai rebung ini:
1. Panaskan 6-7 sudu minyak masak dan tumiskan bahan tumis sehingga naik bau. Kemudian masukkan kerisik dan kacau sekejap.
2. Masukkan rempah kari dan tumiskan sehingga pecah minyak.
3. Masukkan daging, kacau sebati dan masukkan air asam jawa, santan dan sedikit air ikut kepekatan yang disukai. Orang kata kena letak sudu atau garfu dalam tu nak bagi cepat empuk.
4. Bila daging dah empuk masukkanlah rebung tadi. Perasakan dengan garam sampai ngam. Masak lagi sekitar 5 minit dan siap.
Aishhh mudah sangat kan?
Kata orang rebung ni angin, makan banyak nanti siaplah, menyucuk sampai ke ulu hati. Jadi aku biasanya makan sikit-sikit sampai habis seperiuk. Hahaha, memang tetap menyucuk rasanya.
Pedulikan.
Rebung ni macam makanan asasi aku jugak waktu kecik dulu. Maklumlah duduk ceruk ulu dalam hutan, rebung antara benda yang mudah dapat. Jadi tiap kali suap rebung masuk mulut, maka memori zaman kecik dulu menerpa-nerpa masuk.
Demi kesyahduan dan memori zaman kecil dulu, aku baham jer.
So, esok pagi pergi pasar kalau jumpa rebung sila beli okeh.
Bagi yang belum pernah cuba, maka cubalah.

Anda juga mungkin nak baca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *