Agak-agak best tak kalau orang ambil hak kita? Seronok tak kalau ada kereta lain parking di depan rumah kita atau di petak parking kita? Gembira ke kalau berduyun-duyun kereta parking dan menghalang jalan masuk ke kawasan rumah kita?
Best ke bila jiran anda sidai baju di koridor rumah apartment sampai tinggal ruang 2 kaki sahaja untuk anda berjalan mengereng sambil mengempiskan perut untuk balik ke rumah anda?
Amat sedih mengenangkan sikap orang kita yang tidak cakna langsung tentang keperluan dan kepayahan orang lain.
Sedih tengok orang yang menggunakan koridor di depan rumah apartment macam dia yang punya. Itu laluan awam untuk kegunaan bersama semua penghuni di situ. Awak letak ampaian, dan segala jenis “sampah” di depan tu.
Laluan sebesar 5 kaki dah tinggal 2 kaki sahaja. Orang nak lalu berulang-alik dari tangga atau lif ke rumah masing-masing terpaksa menarik nafas dan mengempiskan perut ketika lalu di hadapan rumah awak.
Bila ada orang berpindah atau ada lori datang menghantar barangan dan perabut maka sukar sangat kerja mereka nak lalu depan tu. Sudahlah berserabut mata memandang daripada tuala ke kain pelikat seterusnya bra merah dan seluar dalam berlubang-lubang, semuanya menyakitkan mata.
Tapi awak masih kool dan buat gaya “ada aku kesah?”
Itu yang ampaian. Ada yang letak segala mak nenek di laluan koridor daripada rak kasut, basikal, motorsikal, pokok bunga, tong sampah, sampah, alat ganti kenderaan, barangan lusuh dan sebagainya seolah-olah seluruh kawasan koridor berhadapan atau bersebelahan rumahnya itu adalah dia yang punya.
Di atas laluan pejalan kaki pula di parkir motor. Kesian pada orang nak tolak stroller anak ataupun ada orang kelainan upaya dan yang menggunakan kerusi roda yang nak menggunakan laluan tersebut. Sudah terpaksa bersusah payah berangkat atau pusing ikut laluan jauh.
Itulah yang sering dialami oleh kita yang tinggal di apartment terutamanya yang tinggal di apartment kos rendah. Kita jangan ingat senang kita sahaja, kena fikir juga kesusahan orang lain.
Ali bin Abu Talib berkata Nabi berpesan dengan 4 perkara, “Allah melaknat orang yang menyembelih bagi selain Allah; Allah melaknat orang yang melaknat kedua orang tuanya; Allah melaknat orang yang memberi perlidungan orang yang mengada-adakan sesuatu yang baru (bid’ah); dan Allah melaknat orang yang merubah tanda batas tanah.” (HR. Imam Muslim).
Merubah tanda batas tanah ni bermaksud mengubah atau menambah sempadan hakmilik. Hak kita adalah apa yang kita beli yang terkandung di dalam geran serta plan tapak yang diberikan kepada kita. Jadi kita berhak ke atas apa yang terkandung di dalam ruang tersebut samada di atas, di dalam tanah atau di udara.
Bila kita beli apartment, di dalam geran, milik kita adalah apartment sahaja yakni 4 dinding yang membentuk rumah kita tersebut dan segala yang lain kita berkongsi. Jadi sangat tidak molek dan salah untuk kita gunakan benda yang dikongsi ramai tadi dan jadikan hak kita.
Kalau yang ada rumah di atas tanah pula, kita tak boleh nak buat rumah keluar dari tanah kita. Tak boleh nak buat tambahan sampai masuk ke tanah orang. Kita tak boleh buat parking di kawasan lapang di depan rumah kita tanpa mendapat kebenaran dari tuan punya tanah iaitu Majlis Perbandaran.
Jalan di bahagian hadapan dan belakang rumah kita tidak boleh dijadikan hak milik kita walaupun sejengkal. Kita tanam pokok pun tak boleh masuk ke rumah jiran. Cucur atap rumah kita pun tak boleh melebihi sempadan dan tidak diharuskan menitik air masuk ke kawasan rumah jiran kita. Sampai macam tu sekali agama titikberatkan tentang hak pemilikan ini.
Ada kita peduli?
Saya faham kesempitan ruang yang di alami oleh mereka yang tinggal di apartment ataupun flat. Rumah sudahlah kecil dan sempit, barang banyak dan nak sidai baju memang kena kat luar lah. Namun itu tidak mewajarkan kita untuk menggunakan ruang awam sewenang-wenangnya.
Alangkah molek kalau awak berjumpa dengan semua jiran yang menggunakan laluan tersebut dan dapatkanlah persetujuan semua untuk menggunakan sebahagian darinya. Bila guna tu, berpada-padalah, jangan sampai menyusahkan jiran tetangga yang lain.
Takkan ruang seluas 5-6 kaki awak tibai lebih dari setengah dan tinggalkan kat orang lain sedikit dan sempit. Ambillah satu pertiga memadailah. Ruang 5 kaki awak ambil sekaki setengah, kalau ruang 6 kaki awak ambillah dua kaki. Saya rasa itu sudah memadai.
Kita selalu tidak mengambil peduli perkara sebegini. Oleh itu, kita guna sewenang-wenangnya. Kita parking pun main belasah sahaja ada sampai sebahagian kereta masuk ke petak parking milik orang. Ada orang yang belasah parking 2 petak terus. Ada yang parking kat petak OKU tanpa merasa sekelumit dosa pun akibat mengambil hak orang.
Yang parking motor jangan ceritalah. Asal boleh jer kita parking sampai menghalang laluan orang ramai berjalan masuk ke rumah mereka pun kita tak kisah.
Nabi bersabda “Barang siapa yang berbuat zalim (dengan mengambil) sejengkal tanah maka dia akan dikalungi (dengan tanah) dari tujuh lapis bumi.” (Muatafaqun ‘Alaih – Imam Bukhari, Imam Muslim)
Semua harta benda dan laluan awam adalah untuk kegunaan awam. Adalah amat salah untuk letak motorsikal di laluan pejalan kaki sampai menghalang orang kurang upaya melaluinya.
Semua benda dan perkara yang bukan hak mutlak kita tidaklah boleh kita ambil guna sesuka hati melainkan mendapat persetujuan atau kebenaran dari pemiliknya.
Awak kata awak bayar yuran penyelenggaraan, jadi awak ada hak menggunakan semua kemudahan yang ada. Habis tu awak seorang sahajakah yang bayar yuran tersebut? Orang lain duduk free sahaja?
Jangan begitu awak.
Saya sangat yakin yang pihak pengurusan dan semua jiran pasti tidak kisah untuk kita menggunakan sedikit bahagian koridor di hadapan apartment kita untuk tujuan peribadi untuk letak rak kasut, letak ampaian, parking basikal, tanam pokok bunga dan sebagainya namun janganlah sesekali sampai ianya menganggu dan menyusahkan orang lain.
Berpada-padalah.
Orang yang membantu membuang ranting atau pohon yang mengganggu laluan orang ramai beroleh pahala berlipat kali ganda, awak pula menghalang dan menyusahkan laluan orang ramai dengan segala macam harta pusaka awak mendapat apa?
Sedarlah.
Jangan ambil hak orang dan jangan jadikan hak awam sebagai hak kita.
Leave A Reply