Sekitar waktu ini pada 3 tahun yang lalu, aku mundar-mandir di koridor wad Hospital Putrajaya.
Badan dan otak dah penat yakmat. Cuba berbaring dan nak pejam mata, tapi takut kalau doktor telefon aku tak dengar.
Tidaklah jauh mana bilik menunggu dengan wad ICU tu. Tapi aku gusar.
Airmata dah kering.
Dah kontang.
Aku hanya mengharapkan miracle. Puas sudah berdoa minta diberikan keajaiban, namun aku tahu masanya sudah tiba.
Segala penerangan dari 4-5 orang doktor aku sudah hadam. Aku cuma perlu reda. Aku pasrah, aku pejam mata dan cuba mengenang sejarah aku dan dia. Aku terlelap.
Jam 4 pagi telefon berdering kuat.
Terus aku bangun dan bergegas ke ICU sambil menjawab telefon. Selesai bercakap aku sudah tercegat di pintu dan masuk berjumpa doktor.
Bila tengok wajah doktor, aku dah tahu. Tiada khabar baik yang bakal dia bagi pada aku. Takpelah, depa dah buat yang terbaik, bagi ubat yang terbaik, guna mesin dan peralatan yang terbaik namun orang yang di atas katil dengan segala tiub dan wayar yang berselirat itu tidak lagi memberi respons kepada sebarang rawatan yang diberikan.
Aku diberitahu terperinci segala yang telah dibuat, segala kemungkinan yang akan datang, apa prosedur yang akan dibuat, apa tidakan yang aku kena buat, apa consent yang aku kena beri dan macam-macam.
Dan akhirnya ayat yang aku tak ingin dengar.
“Encik maklumkanlah kepada semua ahli keluarga yer. Encik tak perlu keluar, duduklah di sebelah dia dan take all the time you want. No rush.”
Doktor pun berlalu pergi dan aku masih tercegat memerhati sekujur tubuh yang sangat aku sayang itu. Aku rapat dengan berhati-hati.
Aku pegang dan genggam tangan yang semakin menyejuk dan kaku. Tangan yang menyediakan makan dan pakai aku. Tangan yang membesarkan anak-anak aku. Tangan yang akan pergi jauh meninggalkan aku dan anak-anak selamanya.
Berbisiklah aku merungkai kembali kisah-kisah seawal kami bercinta. Melafaz kembali ayat-ayat cinta yang mungkin sudah tiada makna. Mengenang kembali saat suka dan duka hidup bersama. Mengadu bagaimana aku dan anak-anak akan hidup tanpanya.
Aku cuma berharap dia dengar. Aku berharap dia faham segala.
Perlahan-lahan aku reda.
Perlahan-lahan aku terima.
Masanya sudah hampir tiba, dan aku hanya perlu lepaskan sahaja.
Jeda.
1 Ogos 2018 jam 11.53am dia pergi meninggalkan ketika aku masih mengenggam erat tangan yang berbakti kepada aku hampir separuh umurnya itu.
Tangan itulah yang lincah mengurus 4 orang lelaki yang pernah mengkucar-kacirkan serta membahagiakan hidupnya.
Tangan yang tetap berbakti kepada suami dan anak-anaknya walaupun sudah tenat di hujung usia.
Semoga Allah memberikan ganjaran syurga buat Allayarhamah Marleena Binti Abdul Manaff atas segala kebaikan beliau kepada keluarga dan orang di sekelilingnya. Aamiin.
Yang,
Anak-anak miss you.
I miss you.
We miss you.
.
Al-Fatihah.