Hari ini 31 Disember, di Jerman – mercun dan bunga api dihalalkan. Hanya satu hari setiap tahun, rakyat Jerman dibenarkan bermain bunga api dengan bebasnya.
Bunga api mula dijual beberapa hari sebelum di kedai-kedai dan pasaraya. Orang ramai akan mula berduyun-duyun memenuhi troli masing masing dengan bunga api dengan bermodalkan sekitar €20-€50. Anak-anak mula bersorak keriangan.
Bermula Jam 7 atau 8 malam maka ibu bapa mula menemani anak-anak kecil bermain di kawasan lapang di sekitar rumah masing. Namun dentum dentam bunga api dan mercun pada jam tersebut hanya sedikit sahaja.
Sekitar jam 10 hingga 11 malam maka berduyun-duyunlah manusia yang kebanyakannya remaja dan orang dewasa mula membanjiri kawasan-kawasan lapang atau dataran berhampiran kediaman masing-masing atau di pusat-pusat bandar.
Dentuman mercun dan bunga api sudah mula kedengaran di segenap pelusuk kampung dan bandar. Semakin lama semakin banyak dan kuat.
Menjelang detik 12 malam maka bermulalah dentuman-dentuman yang gegak gempita seumpama perang bunyinya. Segala jenis bunga api yang cantik dan juga yang memekakkan telinga menghiasi malam tahun baru di bumi Jerman.
Ianya berterusan sehinggalah sekitar jam 1 pagi yang kedengarannya semakin kurang.
Namun antara jam 12.30 hingga 3 pagi adalah waktu kritikal bagi pekerja keselamatan seperti ambulan, polis dan juga bomba. Bunyi siren bersilih ganti diantara kenderaan tersebut bagi membawa mereka yang cedera ke hospital atau meleraikan pergaduhan akibat lebihan alkohol atau untuk memadamkan kebakaran kecil.
Menjelang jam 7 pagi keesokan harinya, tiada lagi bunyi-bunyi tersebut. Kalau ada pun cuma sedas dua kedengarannya dan diikuti oleh bunyi siren kereta polis yang mencari punca dentuman tersebut.
Begitulah rutin 31 Disember bagi mereka yang tinggal di Jerman. Dua belas jam dentuman ala perang yang menghiburkan mereka setahun sekali.
Frohes neues Jahr 2017.







Leave A Reply