Yang serabut dengan hutang, mohon baca ni.
Pernah dengar pasal AKPK?
Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah sebuah badan di bawah Bank Negara yang kerja dia adalah untuk bantu individu atau PKS yang ada isu dengan hutang melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) atau dalam Bahasa orang putih disebut Debt Management Programme (DMP).
Yang kena kejar sebab tak bayar hutang, yang hidup tak berapa nak aman, stress sebab hutang tu maka eloklah hubungi AKPK. Tapi ada juga mulut-mulut yang bercakap, jangan pergi AKPK, nanti bankrap, nanti kena blacklist, tak boleh buat hutang dah itu dan ini.
Jom aku nak cerita pasal 7 tanggapan salah dan stigma terhadap AKPK ni.
1. Terus jadi bankrap setelah menyertai AKPK.
AKPK adalah wakil untuk berbincang antara peminjam dengan penyedia kredit atau bank-bank untuk tolong struktur semula semua hutang agar peminjam dapat buat bayaran balik pinjaman ikut kemampuan.
Peminjam akan dapat manfaat di mana bayaran duti stem dikecualikan untuk perjanjian pinjaman, tindakan undang-undang akan ditangguhkan dan juga tidak akan diisytiharkan bankrap. Pembayaran yang perlu dibuat hanya setempat di AKPK dan tiada lagi gangguan dari agensi pemungut hutang. Tak bankrap okeh.
2. Disenarai hitam setelah menyertai AKPK
Ramai yang sarankan untuk elak serah diri ke AKPK kerana risau disenarai hitam? Hmmmm. Gais, masalah harus diselesaikan satu persatu. Kurangkan beban hutang yang menimbun sebelum tambah hutang baru.
AKPK tidak pernah menyenarai hitam peminjam dan AKPK tiada kuasa untuk menyekat permohonan peminjam. Status permohonan pinjaman adalah ditentukan atas budi bicara pihak bank.
AKPK membantu membaiki skor kredit supaya peminjam lebih dipercayai oleh pihak bank bagi memudahkan lagi kelulusan permohonan pinjaman di masa akan datang.
3. Kad kredit tidak dapat digunakan setelah menyertai AKPK.
Kita kena pulihkan kewangan dahulu. Belajar bagaimana untuk mengawal perbelanjaan dan urus hutang. Selepas tamat program AKPK, dah tak serabut dengan hutang, dah boleh urus wang dan belanja dengan bijak, boleh pilih lah kad kredit apa pun yang korang suka. Dah tak perlu risau sebab korang dah bijak menggunakannya.
Dalam program PPK, hutang paling tinggi distrukturkan adalah kad kredit. Sebabnya adalah membuat bayaran minima setiap bulan dan berbelanja melebihi kemampuan atau pendapatan.
Janganlah dah tercekik dengan hutang kad kredit tapi masih nak lagi guna kad tu. Kita stop sekejap, struktur balik dan dah selesai, bolehlah pilih kad kredit apa pun yang korang suka.
4. Malu sebab persepsi/tanggapan buruk orang.
Sebenarnya tiada istilah nama buruk setelah join AKPK.
Kita jer “in denial” kata orang putih. Kita jer dok anggap orang akan kata macam-macam pada kita. Padahal orang tak peduli pun.
Orang tunggu depan rumah sebab nak suruh kita bayar hutang. Itu lebih malu weh kalau jiran tahu. So kita kawal dan rawat sebelum parah, bertindak cepat sebelum terlambat.
Join AKPK untuk bantuan awal.
5. AKPK sediakan pinjaman untuk bayar hutang.
Takde weh. AKPK ni tolong ejas jer, dia orang tengah untuk ejas pembayaran balik hutang kita dengan bank. Kita tetap kena bayar sendiri. Cuma kita boleh bayar dengan jumlah mengikut kemampuan dan pendapatan kita.
AKPK akan bantu dan bagi khidmat nasihat melalui PPK. PPK ni adalah program penstrukturan semula pinjaman pada kadar kemampuan individu dengan terma dan syarat yang dipersetujui oleh pihak bank, peminjam dan AKPK.
6. Kena bayar untuk dapat khidmat AKPK.
FREE okeh. Free.
Perkhidmatan AKPK adalah percuma untuk individu dan PKS. AKPK juga tak pernah melantik mana-mana ejen atau pihak ketiga untuk mewakili depa. Jangan terpedaya dengan ejen yang kata depa boleh tolong selesaikan hutang melalui AKPK dengan bayaran tertentu.
7. AKPK bantu menyelesaikan kesemua jenis hutang peminjam.
AKPK hanya boleh bantu mereka yang ada pinjaman institusi kewangan dibawah kawal selia Bank Negara Malaysia dan juga lain-lain seperti PTPTN, AEON Credit, Tekun, Koperasi Ukhwah dan Aiqon Capital.
AKPK bantu ejas dan jadualkan semula pinjaman ikut kesesuaian dan kemampuan peminjam agar dapat membaik pulih aliran tunai dan hidup jadi lebih tenang.
Berdasarkan kaji selidik yang depa buat, 95% daripada 11,563 pelanggan PPK sedia ada setuju yang program ini berikan mereka ketenangan minda atau peace of mind bak kata orang putih.
*Kaji selidik “DMP Financial Behavior and Effectiveness Survey”
Haaa dah jelas kan?
Sekali lagi nak habaq mai, AKPK ni tak pernah melantik mana-mana ejen dan perkhidmatan AKPK adalah PERCUMA. AKPK ni agensi bawah seliaan Bank Negara Malaysia.
Waktu susah macam ni, ramai orang yang tawarkan bantuan itu dan ini untuk selesaikan hutang dan sebagainya. Hampa jangan mudah terpengaruh. Roger sahaja AKPK, pasti selamat dan tenang hidup hampa.
Nak faham lagi boleh check website rasmi: www.akpk.org.my.
Nak join program AKPK boleh klik di: services.akpk.org.my/
Begitulah.
Harap dapat membantu kita semua yang ada kesukaran membayar pinjaman ni untuk kita ejas balik bagi mampu bayar dan hidup kita lebih tenang tak berserabut.
MINDA TENANG, HATI SENANG.
Semoga dipermudahkan.