Nah, kita masak lagi hari ni, gulai rebung ayam pulak.
Nak guna ayam biasa pun ok, ayam kampung pun best, ayam pencen pun boleh cuma jangan ayam yang sedang berkokok sahaja. Bahaya.
Bahan yang perlu ada:
1 ekor ayam kegemaran kau. Potong kecil, cuci dan toskan. Kalau ayam kampung atau ayam pencen, elok direbus dulu dan lepaskan 2-3 helai daun nangka atau daun salam yang kering tu pun boleh supaya ayam jadi lembut.
1 bekas rebung, yang kau beli jeruk ke, yang fresh ke tak kisah lah. Basuh dulu dan toskan.
5 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 inci halia.
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 tangkai daun kari
2 peket serbuk kari daging
2 sudu kerisik
1 kotak santan
Cara pun mudah amat.
1. Bawang putih, bawang merah dan halia boleh racik halus atau tumbuk atau blend, ikut yang mana senang.
2. Panaskan minyak sekitar 5-6 sudu besar dan tumiskan bawang tadi bersama kulit kayu manis, bunga lawang dan daun kari sehingga naik bau dan kekuningan.
3. Kemudian masukkan rempah kari yang telah dibancuh dengan sedikit air. Kacau dan tambah suku cawan air lagi. Kacau lagi sehingga pecah minyak.
4. Masukkan santan dan tambah secawan air. Kacau dan tunggu mendidih.
5. Masukkan rebung dan kerisik. Tunggu mendidih.
6. Masukkan ayam dan tambah air sampai ayam semua tenggelam. Biar masak sekitar 10 minit dan masukkan garam secukup rasa. Biar sekitar 3 minit lagi dan siap. Tutup api.
7. Hidangkan bersama nasi panas. Makan bersama ahli keluarga, jangan makan sensorang, Tuhan marah.
Sekian.
P/s: Ini resepi saya. Resepi mak korang macam lain. Harap maklum.
Antara bahan-bahan yang diperlukan. Santan tiada dalam gambar.

Tumis sampai kekuningan.
Dah masuk rempah, tambah air dalam suku cawan nak bagi rempah masak elok.
Dah pecah minyak kemudian masukkan santan. Santan kotak tu campur dengan secawan air.
Dah mendidih baru masukkan rebung dan biar mendidih lagi.
Dah tu baru masukkan ayam dan tambah air. Dan biar sampai masak baru masukkan garam secukup rasa.
Cantik kejadian dia. Sedap pulak tu.
Close-up sikit biar korang terliur.







Leave A Reply