“Maknya tak ikut ke encik?”
“Maknya tak ada nurse, dah meninggal.”
“Maafkan saya yer encik.”
“Eh takpe nurse.”
Kalaulah maknya ada, sudah tentu dia yang paling risau sekarang ini. Habis dipesannya macam-macam kepada saya. Esok datang bawa itu, bawa ini. Jangan lupa buat itu dan ini dan seribu satu pesanan.
Malangnya dia dah tak ada.
Kali ini saya kena uruskan semuanya seorang diri. Mujur juga ada adik-adik yang tinggal berdekatan yang boleh diminta bantuan untuk menjaga Khaleef dan Khaleel sementara saya bawa baby Khaleed ke hospital.
Sudah hampir 4 hari dia demam on and off, bermula hari Isnin lepas lagi. Hari ini hati saya rasa sangat tidak sedap. Petang tadi cikgu Whatsapp bagitau yang dia demam balik.
Selepas ambil semuanya dari sekolah saya terus berkemas. Saya pack semua pakaian dan barangan penting. Saya rasa macam nak kena bermalam di hospital kali ini.
Perasaan sama ketika menghantar arwah isteri ke hospital buat kali terakhir.
“Ya Allah, berikanlah kesembuhan kepada anak kecil ini Ya Allah.” Doa saya berulang kali di dalam kereta menuju ke hospital.
Baby disahkan terkena jangkitan Influenza A dan harus dikuarantin.
Maka bermalamlah kami di hospital.
Jam 2 pagi dia terjaga dan mula menangis. Tangisan semakin kuat dan dia mula meraung. Itulah tangisan dia yang paling kuat saya pernah dengar, sambil kakinya dilunjur keras setiap kali dia menjerit. Dia tidak pernah begitu.
Allah, Allah. Anakku sedang menahan sakit pastinya.
Saya hanya mampu memeluk dan mendakap erat sambil memujuk. Kalaulah ibunya ada, pasti kesakitan segera hilang dek usapan dan dakapannya.
Perlahan-lahan tangisnya hilang dan akhirnya, dia tidur bersama esakan.
Kuatlah wahai anak, daddy perlukan senyuman dan gelak tawamu.
Semoga lekas sembuh.
Aminn Ya Rabbal Al’amin.







Leave A Reply