Saya tiba di rumah menghampiri jam 12 tengah malam. Penat teramat sangat. Naik ke bilik tetapi kosong. Lalu saya ke bilik tamu di bawah.
Nah, kesemuanya tidur bersama maktok yang saya import khas bagi menjaga mereka sepemergian saya ke Dungun. Saya bersihkan diri dan siapkan tempat tidur lalu diangkut satu demi satu anak-anak saya ke dalam bilik.
“Eh, nak angkat semua sekali?”
“Aah, biar mak rehat.”
Hakikat sebenarnya, saya tak boleh tidur berseorangan. Saya nak anak-anak ada di sekeliling saya. Tak ingin ada ruang untuk saya terasa sunyi.
Saya rindu wajah kesemuanya. Saya rindu ngigau si adik, saya rindu rengek si baby. Saya rindu juga dengus si abang memarahi adik yang selalu meletakkan kaki ke atas mukanya.
Jadi walaupun penat, walaupun saya ada pilihan untuk tidur nyenyak seorang diri tanpa gangguan, saya tetap memilih untuk bersama anak-anak, walaupun pastinya akan ada tangisan, rengekan dan dengusan yang akan menganggu tidur saya.
Semuanya hanya kerana rindu.
Sekali tu saya out-station ke Penang, semalam sahaja pun. Namun esoknya dah berjurai airmata rindukan anak-anak. Tisu sangat. Dulu sewaktu arwah masih ada ianya tak terasa begini. Tinggal dua tiga hari pun masih ok sahaja.
Namun sekarang ni tak boleh. Saya jadi super sensitif dengan kelibat anak-anak kecil.
Jadi, kalau perlu out-station, sama ada balik hari atau saya harus angkut semuanya sekali.
Begitulah tisunya saya.







Leave A Reply