Sedang saya menyiapkan nota dan slide untuk bengkel menulis di UiTM Dungun minggu hadapan terdengar Khaleel menangis.
“Daddy, my mommy die, my mommy die. I miss my mommy..”
Lantas saya pergi dan peluk dia. Matanya masih terpejam, hanya kedengaran esakan kecil. Mimpi ibunya barangkali. Atau betul-betul rindu sampai terbawa ke dalam tidur.
Khaleel sangat ekspresif bila rindukan ibunya. Dia akan menjerit, mengamuk-ngamuk, menangis-nangis. Abangnya pula memendam. Tidak pernah langsung menangis. Paling kuat hanya mata berkaca menahan airmata agar tidak menitis. Katanya dia lelaki, dia tidak boleh menangis.
Saya pula banyak juga memendam, sesekali bila sarat maka saya menangis.
Teringat saya di hari saya mengebumikan isteri kesayangan saya. Pada detik dia pergi meninggalkan, saya tidak menangis langsung kerana pada Subuh itu saya sudah menangis semahunya. Saya cuma senyum tawar bila nurse dan doktor mengucapkan takziah.
Saya melangkah berat keluar dari ICU menuju ke pintu dan memberi perkhabaran duka kepada semua pelawat dan ahli keluarga di luar. Saya tenang-tenang sahaja.
Saya sambut semua salam dan pelukan. Saya balas semua ucapan terima kasih dan saya aminkan semua doa. Saya balas semua senyuman yang diberikan kepada saya.
Saya tenang-tenang sahaja.
Saya hanya luluh dan rebah ketika memegang baby Khaleed untuk ditunjukkan pada ibunya yang telah siap dikafankan. Terbang semua kekuatan saya apabila melihat bayi sekecil itu merenung wajah ibunya buat kali yang terakhir.
Apakah dia akan ingat wajah seorang ibu yang bersusah payah mengandungkan dan melahirkannya saya tidak pasti. Namun dia masih terlalu kecil untuk kehilangan seorang ibu.
Lalu saya tewas. Rebah.
Namun ada kawan menopang jatuh saya, ada kawan yang sudi menangis bersama saya. Saya gagahkan diri uruskan semuanya hingga ke akhir. Saya santuni semua yang menziarah.
Malamnya, masih ramai tetamu di rumah.
Saya minta izin untuk berehat awal. Saya terlalu penat, saya terlalu letih. Sebenarnya saya terlalu sedih. Saya baring bersama anak-anak sehingga semuanya tidur.
Saya bangun ke bilik air, buka shower, duduk di atas lantai yang sejuk itu lalu menangislah saya semahunya. Tidak pernah saya menangis sebegitu di dalam hidup saya. Tidak pernah.
Lepas segala sedih dan duka. Lepas segala rasa pedih yang masih tersisa.
Esoknya, semuanya baru buat saya. Semuanya baru buat kami anak-beranak. Sehingga ke hari ini, seakan semuanya masih baru dan asing buat kami.
Kadang-kadang anak-anak masih tersasul memanggil ibunya. Saya juga kadang-kadang masih terasa yang seolah dia akan pulang esok lusa.
Begitulah.
Namun sesungguhnya kami baik-baik sahaja.
Terima kasih semua kerana sering mendoakan.







Leave A Reply