“Abang ipar saya, dah dekat 2 tahun dah kakak saya meninggal tetapi dia masih bengong dan tak boleh move on lagi bang.”
“Anak-anak dia pada siapa?”
“Anak-anak semua serah kat mak saya lah, nenek budak-budak tu.”
Begitulah cerita seseorang kepada saya.
Abang iparnya gagal melalui fasa kematian isterinya. Hidupnya tidak terurus dan kucar-kacir walaupun seorang diri dan tidak perlu menguruskan anak-anak.
Kenapa?
Sebab sumber kekuatan yang dianugerahkan kepadanya telah diberikan kepada orang lain. Sekarang yang dapat kekuatan itu ialah si nenek, kerana anak-anak kecil itu diberikan kepadanya.
Kenapa saya boleh melalui fasa kritikal ketiadaan isteri dengan membesarkan anak-anak seorang diri adalah kerana sumber kekuatan tersebut. Saya jadi kuat dan tabah sebab anak-anak ada dengan saya. Tak diberikan kepada sesiapa walaupun diminta.
Begitu juga yang kita selalu lihat terjadi kepada kaum wanita. Bila kehilangan samada kematian atau bercerai, majoriti (bukan semua) mereka membesarkan anak-anak sendiri, sebab itu mereka kuat dan sangat cekal.
Kebanyakan lelaki (bukan semua) pula akan menyerahkan anak-anak kepada ibu bapa atau paling mudah adalah berkahwin dengan segera.
Boleh sahaja hendak diserahkan kepada ibu bapa untuk membesarkan anak-anak namun kemanisan dan keberkatan membesarkan anak-anak seakan tiada dan akan hilang terus.
Ada yang cuma beberapa bulan pertama kerap balik menjenguk anak-anak. Semakin lama cuma sebulan sekali dan akhirnya jarang-jarang sekali.
Anak semakin besar, semakin jauh dari bapa. Perasaan sayang dan hormat semakin lama semakin menipis. Dah tua esok anak-anak pun dah tak peduli siapa bapaknya. Alah, bapak aku nak datang jenguk aku setahun sekali pun payah katanya, dah tua-tua ni baru nak terhegeh.
Begitulah.
Buat bapa-bapa sekalian, membesarkan anak dengan tangan sendiri ini lain perasaanya. Lain kemanisannya, lain keberkatannya. Cubalah belajar buatkan susu untuk anak, belajar tukar lampinnya, belajar basuh beraknya.
Bangunlah di tengah malam uruskan anak yang bangun hendakkan susu atau yang dah basah tilamnya.
Mandikanlah mereka setiap hari, pakaikan mereka pakaian yang kita gosok sendiri, sikatkan rambut dan wangikanlah mereka.
Masaklah sesekali untuk anak-anak. Goreng nugget pun ok, goreng telur pun ok, buat pancake lagi ok. Kalau kerap dan rajin maka akan jadi pandai masak untuk semua.
Isteri pun bertambah sayang, ringan sikit beban dia menguruskan anak-anak. Tambahan yang punya anak ramai. Penat wehhh uruskan budak-budak kecil ni.
Sesungguhnya kau takkan menyesal walaupun penat kemain. Demi Allah, lain betul perasaan “achievement” tu bila kau boleh uruskan semuanya sendiri.
Anak-anak rapat dengan kau, anak-anak kagum dengan kau dan kaulah role model paling bagus untuk diorang. Anak-anak sayang kau rapat-rapat, isteri pula sayang kau ketat-ketat.
Bukan apa, aku sedang membesarkan 3 orang anak kecil seorang diri. Berkat waktu arwah isteri ada dulu aku belajar buat semuanya. Bergilir uruskan anak-anak dan uruskan rumah. Jadi bila dia tiada aku boleh uruskan sendiri semuanya.
Tak perlu aku bagi anak-anak kat nenek dia.
Anak-anak tak terpisah kasih dari ayahnya. Sentiasa ada aku untuk bertanya dan mengenang tentang ibunya dan masih ada atuk dan nenek untuk menumpang kasihnya.
Institusi keluarga kami tetap utuh walaupun tidak lengkap.
Aku harap kau juga boleh bersedia macam aku.
Sayangi anak-anak melebihi segalanya dan tidak sesekali berikan anak kepada orang lain walau apa pun yang terjadi.
.
KHAIRUL ABDULLAH
#DiariSuperDaddy







Leave A Reply