• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Sisi Yang Tidak Akan Pernah Hilang

12/04/2019

Sedang seronok melayan anak-anak berbual ketika menghantar mereka ke tadika pagi tadi tiba-tiba saya menjadi hiba.

Terkenangkan jodoh kami yang pendek dengannya.  Tinggallah kami berempat meneruskan hidup tanpanya.

Tiada hari yang saya tidak letih, penuh segalanya hari saya dari pagi sehingga ke tengah malam dan diulang-ulang rutin yang sama seorang diri hampir 8 bulan lamanya.

Namun, Allah Maha Kaya. Tiga orang anak yang dihadirkan kepada saya itu bukanlah beban namun hadiah yang tak ternilai harganya.  Jadi peneman kepada kesunyian dan jadi sumber kepada kekuatan untuk terus menempuh hari-hari mendatang.

Riang ketawa anak-anak kecil itu membuatkan saya terkenang ibunya.  Terkenang gelak tawa gembiranya apabila tercuit hati oleh keletah anak-anaknya.

Gelak tawa yang sesekali saya rasa “annoying” sangat kadang-kalanya.  Dan gelak tawa itulah yang sangat saya rindu selamanya.

Anak-anak adalah cermin kepada sosok ibunya.  Di dalam mereka itu ada sisi ibunya yang sentiasa mendamping untuk mengingatkan saya yang amanah itu harus saya jaga dan besarkan sebaiknya.

Terima kasih kerana tinggalkan mereka kepada saya.

Ia mengajar saya erti kesabaran, mengajar saya erti tanggungjawab, mengajar saya erti bahagia dan mengajar saya erti cinta yang sebenarnya.

Jeda.

Anak-anak adalah kesinambungan kehidupan dua orang manusia yang pernah berjanji setia.  Menjadi tali pengikat kasih sayang walaupun jasadnya sudah tiada.  Menjadi jambatan pahala buat bekalan untuk ke syurga.

Anak-anak juga adalah jambatan penghubung buat mereka yang pernah berjanji setia namun terpaksa berpisah akhirnya.  Berpisah hidup kerana terpaksa, kerana sudah tidak seia dan sekata.

Namun, demi anak-anak rungkailah kekusutan, damaikanlah pertelingkahan dan sambunglah kembali ikatan.  Ada kasih sayang yang perlu dicurahkan dan ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Bangunlah dan beranilah memikul amanah dan tanggungjawab yang pernah ditinggalkan.  Buanglah ego dan ketepikan persengketaan.

Walaupun baik mahupun buruk, sesungguhnya di dalam diri anak-anak itu terpatri sebahagian dari sisi manusia yang pernah seketika berkongsi hidup dengan kita.

Sisi yang tidak akan pernah hilang selamanya.

#diarisuperdaddy

Share

Blog  / Nostalgia

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved