• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Anak Penoreh Getah

25/03/2019

“Abang bangunlah, dah nak cerah ni, kata nak tolong mak.”

Saya bingkas bangun, bersiap.  Mak sudah siap semuanya tunggu saya sahaja.  Saya hidupkan motor Honda C70 yang sudah buruk dan uzur tu lalu kami membelah sejuk pagi ke kebun getah.

Cuti-cuti sekolah macam ni memang seronok kalau dapat tidur sampai tengahari.  Rasa liat, malas semuanya ada.  Namun mengenangkan kami orang susah dan saya anak sulung, nak tak nak kena gagahkan diri bantu keluarga.

Biasanya saya dan emak siap menoreh sekitar jam 10.30 pagi dan berehat sekejap untuk menikmati nasi goreng dan teh O cap 888 sebelum mengutip hasil untuk hari tersebut.

Teringat sekali kami dah selesai semuanya.  Dapat 2 tong susu getah cair yang telah saya ikat kemas pada motor buruk yang sangat berjasa itu.

Saya tinggalkan emak lalu menunggang membawa hasil ke pusat pengumpulan.  Baru lepas selekoh pertama di jalan yang penuh lopak dan batu, motor terasa sangat berat tak boleh di kawal lalu terbalik.

Maka terhempaplah saya di bawah motor dan satu tong susu getah telah tumpah semuanya memenuhi badan saya.  Dari hujung rambut sampai hujung kaki.  Mujur pakai topi, tak kena sepenuhnya di kepala.

Gagahkan diri bangun, betulkan semuanya dan terus juga hantar baki satu tong yang masih ada ke pusat pengumpulan.  Dapatlah sekitar RM30 walhal kalau semuanya kami bisa dapat sekitar RM70-RM80 ketika itu.

“Takpalah, rezeki kita takat tu ja hari ni”, kata emak.

Di rumah, saya bertinggung di tepi kolah mandi dan emak menggosok keluar sisa susu getah yang melekat di seluruh badan sambil berpesan-pesan.

“Kita orang susah, abang kena kuat, kena rajin, kena tunjuk contoh untuk adik-adik, kena tolong mak dan abah.  Kami tak boleh tongkat langit.”

Setiap kali dipesan begitu, hati saya mudah terusik.  Semangat terus datang untuk memperbaiki taraf hidup keluarga.

Jadi, setiap kali cuti sekolah, masa saya banyak dihabiskan di kebun getah.  Menoreh di sebelah paginya, mencari ikan dan paku pakis bersama rakan-rakan sebaya di sebelah petangnya buat lauk untuk kami sekeluarga.

Saya buat sendiri segala benda.  Saya banyak bantu mak dan dia ajarkan segalanya kepada saya.

Ketika di sekolah rendah saya berniaga kerepek, maruku dan donat yang dibuat sendiri oleh mak dari darjah 1 sehingga darjah 6.  Tebalkan muka, gagahkan diri berniaga untuk membantu keluarga.

Di sekolah menengah saya berniaga rokok (jangan dicontohi) dan mee segera demi untuk tidak meminta wang daripada keluarga.  Bila cuti saya menoreh getah.

Di universiti saya bekerja jadi pelayan di hotel saban minggu demi untuk menampung kos pembelajaran yang lebih tinggi.  Bila cuti, saya masih menoreh getah.

Habis diploma saya menolak tawaran untuk menyambung ijazah demi untuk membolehkan adik-adik saya meneruskan pelajaran mereka.

Life is tough back then.  Really tough.

Namun kesukaran itu menjadikan kita lebih kuat, lebih berdaya saing dan lebih menghargai.  Kita tak akan takut dilambung ombak walaupun kita berumah di tepi pantai.

Kemahiran hidup menguruskan diri sendiri dan rumahtangga tidak akan datang begitu sahaja.  Ia perlu diasuh dan dididik.  Perlu dijadikan rutin perlu dijadikan budaya.  Kemahiran hidup menentukan tahap survival seseorang individu.

Buat anak-anak yang sedang bercuti, bangunlah, bantulah urusan keluarga anda.  Cuci pakaian sendiri, kemas bilik sendiri, cuci toilet sendiri dan basuh pinggan sendiri.  Bukan suruh pergi motong getah atau jual kuih.  Uruskan diri anda sahaja.

Sekecil-kecil perkara itu akan menentukan sikap serta siapa anda puluhan tahun dari sekarang.

Bangunlah.

KHAIRUL ABDULLAH
Anak Penoreh Getah

Share

Blog  / Experience  / Nostalgia

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved