Kali terakhir saya berada di dalam bilik kuliah universiti sebagai seorang pelajar adalah sekitar 24 tahun yang lalu.
Hari ini saya lakukannya sekali lagi.
Hasrat saya untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang paling tinggi tertangguh apabila terpaksa memberi peluang kepada adik-adik yang akan menyambung pelajaran ketika itu. Lalu saya lepaskan peluang yang datang.
Namun selepas sekian lama bertangguh, saya baru sedar yang hidup ini sangat singkat. Jika hendak berbuat sesuatu kita kena terus buat, tak boleh bertangguh-tangguh bila peluang datang. Juga tidak pernah terlambat untuk buat atau belajar sesuatu yang baru.
Lalu saya khabarkan pada anak-anak dan keluarga yang saya ingin sambung belajar. Bukan untuk kerjaya atau pangkat namun demi untuk cita-cita saya yang tertangguh, demi untuk membuktikan pada diri saya sendiri yang saya boleh melakukannya.
Lalu saya memohon dan berjaya mendapat tempat. Akan belajar benda baru, jauh berbeza daripada apa yang saya belajar ketika diploma dahulu. Namun benda yang saya selalu ingin untuk belajar.
Alhamdulillah.

Maka hari ini bermulalah satu episod dan perjalanan yang panjang untuk saya sebagai seorang pelajar. Hidup saya semestinya akan lebih sibuk berkali-kali ganda. Nak uruskan kerjaya, uruskan keluarga dan uruskan pelajaran.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Saya akan cuba yang terbaik bagi mencapai apa yang telah sekian lama saya impikan.
Semoga Allah mempermudahkan semuanya buat saya.
Aminn.







Leave A Reply