Anak-anak baru tidur semuanya.
Saya hela nafas panjang. Buka laptop dan tengok album gambar. Tengok satu persatu, tenung lama-lama sambil imbau semua kenangan yang ada pada setiapnya.
Sambil lihat wajahnya, sambil nak bagitau yang anak-anak semuanya okay dan ada buku baru yang telah siap saya tulis dan dedikasi khas untuk dia.
“Daddy, that is my mommy.”
Jerit si adik sambil bangun dari tidurnya dan menghampiri saya. Maka diangkat dan diriba anak kecil yang macamana boleh terjaga lalu diusap kepalanya sambil melihat gambar-gambar dia dan ibunya.
“Daddy, that is me and mommy. I want my mommy.”
“Adik tahu mommy dah tak ada kan?”
“Yes. But, I want my mommy. Please…”
Permintaan demi permintaan dijawab dengan jujur.
Kemudian permintaan bertukar menjadi rengekan dan seterusnya bertukar pula jadi esak dan tangisan. Berkali-kali meminta agar dipulangkan ibunya sambil menumbuk-numbuk dada ayahnya.
Saya tidak kuat untuk menjawab lagi. Dibiarkan setiap tumbukan dan rengekan yang dilepaskan sesungguhnya.
Biarlah.
Abangnya pula terjaga, mungkin terdengar tangis adiknya.
Dia bangun dan datang menghampiri juga. Dia tenung gambar ibunya, dipujuk adiknya, mommy dah tiada katanya. Lalu saya memeluk keduanya dengan penuh hiba.
“I miss my mommy too, daddy.”
Ujar si abang dengan wajah ditunduk merenung lantai.
Jauh dan sepi.
Saya cium keduanya, saya cuba menahan sesak di dada, cuba membendung empangan mata. Tidak mahu melayan emosi sendiri yang juga tidak tentu arahnya.
Namun empangan pecah jua takkala keduanya membalas pelukan dengan erat diikuti esakan-esakan penuh kerinduan.
Biarlah, biarlah.
Lalu menangislah kami malam ini kerana rindu.
Biarlah, air mata itu yang bisa melegakan rasa rindu si kecil pada ibunya. Biarlah, air mata itu juga melegakan rasa rindu suami pada isterinya. Biarlah, moga air mata itu membawa pergi segalanya.
Biarlah.
Semestinya, esok kami akan baik-baik sahaja.







Leave A Reply