Duhai anak.
Dulu nak dapat kamu punyalah lama kami tunggu. Dekat 10 tahun mommy dan daddy mencuba. Kami dah pasrah yang kami akan berdua sahaja sampai ke tua.
Tapi Allah ada perancangan lain.
Tak semena-mena kamu keluar menjengah dunia.
Memberi kegembiraan yang bukan kepalang buat kami. Mommy yang paling happy. Impiannya untuk bergelar ibu tercapai. Daddy cool sahaja namun mommy tak tau daddy bukan main menangis kegembiraan ketika kamu lahir.
Khaleef ketika berusia 3 bulan. Ketika ini kami masih di — in Frankfurt, Germany.
Mommy telah rancang perjalanan hidup kamu. Dia nak kamu buat itu ini, dia nak kamu jadi begitu begini. Dia sangat bahagia dan hidupnya ketika itu hanyalah untuk kamu.
Ketahuilah yang kamu dilahirkan bukan di bumi ini. Ketika cuaca di luar sejuk membeku, ketika langit lesu dan 12 jam mommy menahan kesakitan untuk melahirkan kamu di bumi yang asing sekali.
Walaupun jauh dari rakan dan saudara, kami sangat bahagia.
Kami berikan segalanya yang terbaik buat kamu. Tempat tinggal paling baik, makan minum paling bagus dan pakaian yang paling selesa. Hari-hari kami penuh bahagia dihiasi suara kecil tangis dan gelak kamu.
Cepatnya kamu membesar.
Dan secepat itu juga mommy pergi meninggalkan kamu.
Tidak ada rasa paling sedih dan gundah di dalam hati daddy mengenangkan kamu dan adik-adik yang ditinggalkan dalam usia sebegini. Masih terlalu kecil untuk kehilangan seorang ibu.
Daddy tahu kamu menahan sepi. Daddy tahu kamu menahan rindu. Tiada apa yang dapat daddy lakukan untuk menghilangkan rindu kamu pada arwah mommy.
Hanya masa yang berlalu pergi akan membawa bersama rasa rindu dan sepi itu. Daddy yakin kamu sudah mula menyedarinya kini. Yang dah pergi tidak akan kembali.
Tidak mengapa, daddy sentiasa ada di sisi selagi tidak dijemput Ilahi. Ketahuilah oleh kamu yang daddy tidak akan sama sekali meninggalkan kamu. Daddy akan sentiasa ada mengekori langkah dan menemani kamu.
Membesarlah duhai anak dengan menjadi seorang yang sentiasa memberi kebaikan kepada manusia di sekeliling kamu. Membesarlah menjadi seorang anak yang penuh dengan sifat kasih dan sayang.
Dan membesarlah menjadi seorang anak yang sentiasa mendoakan kedua-dua orang tuamu ini.
Gambar diambil pada petang hari sebelum birthday. Sedang berendam dalam pool depan rumah.
Hari ini usia kamu genap 5 tahun. Sesungguhnya daddy sangat berbangga dengan kamu.
Happy Birthday Khaleef.
KHAIRUL ABDULLAH
Ayahmu.







Leave A Reply