Jika perlu bekerja atau out-station pada hujung minggu, saya biasanya bangun sangat awal.
Saya mengemas rumah secara ala-kadar agar tak menyakitkan mata, memasak sarapan dan makan tengahari seterusnya mengemas dapur.
Kalau tak sempat maka saya akan mengemas lebih kurang lalu keluar membeli makanan cukup dari sarapan sehingga ke petang atau malam.
Kemudian barulah saya tinggalkan rumah serta anak isteri dengan perasaan lega.
Saya tak mahu isteri tertekan dengan beban menjaga anak-anak kecil yang banyak kerenah dan beban menyediakan makan minum dan sebagainya.
Arwah isteri lain pula.
Dia kalau nak tinggalkan kami pada hujung minggu lagi dasyat dia punya persediaan. Cukup lengkap disediakan, dari A sampailah Z.
Malam sebelumnya lagi dia akan ketika kami nyenyak tidur dan mengemas rumah dan membasuh pakaian. Awal pagi dia dah siapkan makanan cukup untuk seharian dari sarapan hinggalah ke makan malam.
Pakaian kami anak beranak juga telah siap digosok dan diletakkan di atas drawer masing-masing. Siap set dari pagi hingga ke malam. Isteri saya pantang kalau baju dipakai tidak bergosok walaupun pakaian harian di rumah. Semuanya wajib bergosok.
Sebelum ditinggalkan, berbakul-bakul pula pesanan. Makanan itu di situ makanan ini di sini, baju anak untuk pagi itu baju anak untuk petang, ubat di situ, vitamin di sini dan segala-galanya.
Jadi, kami yang ditinggalkan tak perlu kelam kabut. Semuanya telah tersedia dan perlu rilek-rilek sahaja.
Begitulah.
Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul. Tidaklah saya mahupun arwah isteri hadap sendiri semuanya bila salah seorang tiada. Sekurang-kurangnya kami tahu orang yang kami tinggalkan itu sempurna makan pakainya.
Itu dulu.
Kini, hujung minggu saya lain sikit namun rilek-rilek begitu juga.
Hari Jumaat saya tidak bekerja. Saya mengemas, saya membasuh dan mencuci, saya mengasingkan baju-baju dan kalau rajin terlampau maka saya akan gosok kesemuanya. Biasanya tidaklah, cuma asingkan mengikut bakul masing-masing sahaja. Nak pakai nanti baru gosok.
Hujung minggu saya cuma perlu masak sahaja. Apa sahaja anak nak makan saya tunaikan. Kalau malas kami keluar atau biasanya tapau sahaja.
Waktu selebihnya saya hanya perlu melayan kerenah anak-anak walaupun tanpa sosok seorang ibu dan juga isteri.
Pun begitu, kami bahagia seadanya.







Leave A Reply