Sudah 5 bulan saya membesarkan anak bersendirian.
Kerap dibantu oleh adik-adik ketika hujung minggu. Sesekali emak datang dari kampung untuk membantu menjaga cucu-cucunya. Namun tidak boleh berlama-lama.
Selain itu saya bersendirian.
Rutin harian membesarkan 3 anak kecil adalah memenatkan dari segi emosi dan juga fizikal. Tidak mudah untuk memasak atau mengemas rumah sambil “berperang” dengan 3 orang hero yang sangat lasak.
Sementelah si kecil yang baru “dapat kaki” habis semua tempat dijelajahnya. Habis semua bangku dan kerusi dipanjatnya, habis semua rak termasuk buku diselerakkannya.
Belum dikira segala makanan terutamanya biskut yang ditaburnya di seluruh rumah. Belum lagi segala mainan yang berselerak di segenap ceruk.
Baju yang berlonggok tak sempat dikemas dan dilipat, lantai yang melekit-lekit, pinggan dan cawan bersusun di sinki adalah pemandangan biasa.
Kadang-kadang saya berdoa agar dihadirkan sepasang tangan untuk membantu meringankan segalanya atau diberikan saya masa yang lebih untuk saya dapat menguruskan semuanya.
Belum ditunaikan lagi.
Ada kalanya rasa seperti mahu “give up”. Ada bisikan berkata, serahkan sahaja pada datuk dan neneknya agar saya boleh sahaja lega dan tak perlu fikirkan semuanya.
Oh tidak.
Demi Allah, tidak akan sesekali saya serahkan anak-anak pada sesiapa sahaja walaupun datuk atau neneknya. Anak-anak saya, amanah saya, tanggungjawab saya. Biar penat, biar hilang nyawa, kedua-dua tangan ini yang akan membesarkan mereka.
Jadi saya buat sehabis daya.
Saya usaha berikan yang terbaik buat anak-anak seperti yang diamanahkan oleh arwah ibu mereka. Saya mahu mereka dapat apa sahaja seperti anak-anak orang lain juga.
Lelah dan lesu adalah perkara biasa. Airmata yang tumpah juga tidak terkira. Namun hidup perlu diteruskan. Jadi saya kentalkan diri untuk hadap apa sahaja.
Benarlah.
Allah menguji setakat kemampuan kita. Tidak terlebih, tidak terkurang. Selagi kita berani menghadapinya maka segalanya pasti dipermudahkan olehNya.
Sesungguhnya saya mampu.
Alhamdulillah.







Leave A Reply