Hari ini hari ulangtahun kelahiran saya.
Sebolehnya saya ingin biarkan hari ini berlalu. Saya cuba untuk tidak mengingati tarikh ini kerana bersamanya datang pelbagai kenangan.
Namun tengah malam tadi terpandang notifikasi di handphone arwah bertulis “Hubby’s Birthday” membuatkan saya teringat semuanya dari mula.
Ulangtahun ini biasanya hanya disambut dengan ucapan dan ciuman dari arwah isteri. Kadangkala berserta hadiah walaupun selalunya saya berpesan agar tidak diberikan.
Keberadaan beliau di sisi ketika susah dan senang sudah memadai buat saya.
Berlainan sungguh perasaannya kali ini. Tiada lagi suara manja yang membisikkan ucapan tersebut di telinga usai tengah malam berulang-ulang sehingga habis hari esok.
Asal terserempak jer “happy birthday sayang” akan keluar dari mulut dia. Seharian begitulah.
Rindu.
Sepanjang hidup, arwah isteri hanya sekali sahaja pernah bertanya apa harapan atau wish saya sempena birthday. Itupun ketika awal perkahwinan dulu.
“Saya inginkan anak yang ramai dan juga kebahagiaan selamanya” jawab saya.
Dan dia tak pernah tanya lagi.
Saya pun, punyalah tamak nak anak ramai sampai terus tak dapat anak langsung. Satu pun Tuhan tak beri.
Padan muka.
Maka teruslah berusaha dan menunggulah kami sehingga 10 tahun barulah anak pertama dilahirkan. Lama sungguh menunggu namun kemudian berderetlah yang lain.
Alhamdulillah.
Harapan dan keinginan saya telahpun tertunai sejak lahirnya Khaleef, Khaleel dan Khaleed.
Saya bahagia.
Jeda.
Sempena ulangtahun kelahiran saya hari ini, saya cuma inginkan agar sentiasa diberikan kesihatan yang baik supaya dapat saya membesarkan anak-anak kecil yang diamanahkan ini.
Itu sahaja.
Aminn Ya Allah Ya Mujib.







Leave A Reply