• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Badai dan Serpihan Kapal

13/09/2018

Begini.

Kesedihan akibat kehilangan seseorang itu datang seperti ombak besar yang menghentam dan menenggelamkan sebuah kapal.

Bila kapal yang dinaiki karam, kita akan terkapai-kapai kelemasan bersama serpihan kapal disekeliling.

Semua serpihan itu akan mengingatkan kita bentuk asal dan keindahan atau kecantikan kapal yang pernah kita naiki seketika.

Kini kapal itu sudah tiada lagi.

Tenggelam.

Kita pula tercampak dan perlu terapung untuk terus hidup.  Kita akan cari dan capai serpihan yang ada untuk berpaut supaya kekal terapung.

Kita berpaut pada serpihan itu agar dapat berenang ke tepian.

Namun laut bukanlah tempat yang tenang.

Badai pun datang.

Badai yang awal adalah sangat besar.  Mungkin setinggi gunung dan menghentam kita tanpa belas.  Berulang-ulang tanpa henti kita dihentam, dihempas dan terkapai kelemasan.

Kita cuba berenang namun terus dihempas lagi dan lagi.  Kita hanya mampu untuk terus berpaut pada serpihan yang ada dan kekal terapung untuk terus hidup.

Bila ia reda, kita terus berpaut dan cuba berenang ke tepian.

Namun badai akan terus datang.

Kali ini mungkin ia datang dengan ketinggian yang sama namun tidak sekerap sebelumnya.  Kita akan dapat bertenang dan menghela nafas seketika sebelum dihentam badai berikutnya.

Hari berlalu dan kita terus berenang.

Badai tetap datang, namun kali ini lebih kecil.  Kita akan terus dihempas dan kadangkala terkapai kelemasan namun ia sudah tidak lagi kerap.

Kita sudah berenang jauh ke tepian.

Menghampiri pantai, badai tidak lagi sebesar dan setinggi di tengah lautan.

Sekali-sekala ia tetap akan muncul bila ada peristiwa yang kita ingati dan raikan bersama.  Tetapi kita sudah boleh menjangka yang badai akan datang pada tarikh-tarikh tertentu di dalam kalendar hidup kita.

Kali ini kita sudah mampu bersedia.  Kita tetap akan dihempas, mungkin akan terkapai seketika namun pasti tidak akan kelemasan lagi.

Ingatlah, badai tidak akan berhenti.

Ia akan datang dan terus datang.

Dan kita sebenarnya mahu ia terus datang kerana bersama badai itu datang juga serpihan-serpihan.  Itulah serpihan memori kasih sayang kita bersama mereka yang telah pergi untuk kita kekal berpaut.

Walau berapa banyak kapal yang kita naiki telah karam, walau sudah beribu kali kita dihempas badai dan terkapai kelemasan, kita pasti akan terus berpaut dan terapung bersama serpihan yang ditinggalkan.

Bersamanya kita akan terus berenang dan berenang ke tepian.

.

#diariseorangsuperdaddy

Share

Blog

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved