Saya seorang patriot.
Maksudnya saya sayangkan negara ini. Saya mahukan sebuah negara hebat yang rakyatnya juga hebat. Sebab itu saya selalu menulis dan mengkritik sikap rakyat Malaysia.
Mengkritik sikap rakyat bukan bererti saya mengkritik negara. Mengkritik sikap pemimpin atau pemerintah juga bukan bermakna saya bencikan negara.
Demi kerana kasih dan sayang, saya kritik agar kita semua menjadi lebih baik, lebih hebat.
Janganlah kita hanya sayangi Malaysia apabila parti atau pemerintah yang kita sokong itu menang sahaja. Sokongan, kasih sayang terhadap negara tidak perlu berbelah-bahagi tak kira parti mana pun yang memerintah.
Negara dan parti pemerintah adalah dua entiti yang berbeza.
Tidak kena dan tidak patut jika kita hanya lebih sayangkan Malaysia setelah diambil alih oleh kerajaan baru. Memalukan kalau begitu. Kita sepatutnya sentiasa sayang Malaysia sepanjang masa.
Oleh itu, marilah kita menjadi warga yang membantu memperhebat dan memperkasa negara di dalam apa jua aspek dan kebolehan kita.
Tak perlu menjadi kaya, tak perlu menjadi bijaksana. Cukup sekadar patuh kepada undang-undang, jangan buang sampah merata, jangan langgar lampu merah serta menjaga adab dan tatsusila sudah memadai.
Itulah sekecil-kecil sumbangan yang boleh kita lakukan bagi menjadikan negara ini sebuah negara yang hebat.
Jadilah warga yang menyumbang, bukannya parasit yang menumpang dan menghancurkan.
Sayangi Malaysiaku.
Merdeka, merdeka, merdeka!
KHAIRUL ABDULLAH
31 Ogos 2018







Leave A Reply