“Kalau 5 ringgit dapat berapa cucuk yer?” tanya seorang suami kepada isterinya.
“Mungkin 6 kot. Kita beli 4 cucuk sudahlah” jawab isteri yang sedang menggendong bayi.
Si anak sedang memerhati sate yang terhidang di atas meja sedang pekerja membungkus cucuk-cucuk sate yang sedang dipesan pelanggan lain.
“Mau lembu atau ayam?” tanya ayah pada si anak.
Si anak senyap tanpa menjawab, hanya tunduk melihat bumi.
Anak kecil yang barangkali usianya sekitar 7-8 tahun itu pasti mengerti ketidakcukupan ibu dan bapanya. Hendak diminta serba salah, takut harga salah satunya lebih mahal dari yang mampu diberi bapanya.
Melihat kepada keadaan mereka sekeluarga, sudah pasti duit RM5 boleh dibelanjakan pada benda lain dan bukannya sate.
Anak kecil tadi sekadar melihat sate yang sedang dibungkus dan sekali sekala tunduk terpaku melihat bumi dan kerikil tanpa berkata apa.
Dada saya mula terasa sempit. Terkenang anak-anak di rumah yang boleh makan apa sahaja yang dihajati. Kalaulah anak saya di dalam keadaan yang demikian, pasti sedih.
Teringat ketika kecil di zaman susah dahulu. Sate adalah sesuatu yang mewah walaupun harga pada ketika itu cuma 5-10 sen secucuk di kampung (sekitar lewat 70an).
Ada sekali abah bawa saya dan adik ke gerai dan belanja sate. Kata abah makan sampai puas. Saya ingat lagi yang abah pesan 10 cucuk. Saya dan adik seronok dapat makan sate.
Abah hanya melihat anaknya gembira. Ditanya lagi hendak tambah atau tidak. Kami tidak menjawab. Takut kalau nanti mahal pula abah kena bayar. Namun abah tak kisah, ditambah lagi 10 cucuk untuk kami.
Teringat mak di rumah, saya tak mahu makan, dengan harapan dapat nanti bawa pulang untuk emak. Namun abah berkeras suruh habiskannya, nanti dibelikan yang lain untuk emak.
Gembira sungguh masa tu sebab dapat makan sate sampai puas.
***********
Saya faham rasa anak kecil tersebut.
Rasa sempit di dada mula naik sampai ke kerongkong. Saya memikirkan bagaimana harus saya lakukan. Samada harus beli dan beri, atau berikan wang atau sebagainya. Saya tak mahu airmata bergenang mengenangkan anak kecil tadi seperti melihat saya sendiri ketika kecil dahulu.
“Nah bang, semuanya RM21” ujar penjual sate sambil menghulurkan bungkusan kepada saya.
Cepat-cepat saya mengeluarkan wang dan membayar harga sate saya dan segera mencapai sejumlah wang lagi dan terus berikan kepada anak kecil tadi tanpa berfikir lagi.
“Adik, nah uncle belanja. Adik makan sate puas-puas yer” kata saya sambil cepat-cepat beredar meninggalkan mereka 4 beranak.
Kedengaran sayup-sayup ucapan terima kasih dari kejauhan.
Begitulah.
Kita ni bernasib baik. Nak makan sate kita boleh petik berapa sahaja kita nak. Kadang-kadang sampai berlebihan. Ada orang lain, nak merasa sate pun harus mencongak kira berapa yang mampu dibelanja.
Insaf.
Allah hadirkan orang-orang sebegini untuk mengingatkan tentang asal-usul saya dan kita semua.







Leave A Reply