• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Selamat Hari raya Aidilfitri

22/06/2017

Acara tahunan akan berulang, bila ramai yang sudah kembali pulang.  Kampung halaman bakal ceria, dengan anak rantau yang balik beraya.

Dapat berjumpa orang tua, dapat berjumpa sanak saudara.  Dapat berjumpa sahabat sejati, dapat menjeling pada bekas kekasih hati.

Keriuhan suasana dengan dentuman meriam dan mercun bola, kilauan bunga api cap Kucing juga menambah ceria.  Semburan bunga api kaler merah yang asapnya banyak sampai naik pening, letupan manja mercun pop-pop memang kau dah tak ambil pusing.

Berjumpa kembali sahabat lama dan bergossip tentang politik semasa, siapa orang kampung yang sudah tiada, siapa yang sudah menduda dan siapa yang berkahwin janda dan siapa yang bermenantu kaya.

Yang tersontot skim MLM bakal diduga, bila bersembang dengan kawan-kawan lama.  Kawan dulu dah pesan jangan, namun hang kata depa takde impian nak jadi jutawan.

Siapa yang masuk jel dan siapa yang lompat parti turut jadi bahan ketawa.  Imam di masjid juga menjadi bahan cerita kononnya bacaan ketika terawih sendu sahaja dan di pagi raya nanti panjang khutbahnya.

Aktiviti mengilatkan kereta sambil bertanya tentang siapa punya yang lebih lawa, yang punya lebih kuasa kuda, yang mana mampu memikat anak dara.  Kereta siapa yang sound systemnya gempak sekali mahupun yang ekzosnya meletup-letup macam nak makan penampar sekejap lagi.

Itu belum berborak topik FGV, maklumlah anak-anak Felda memang cenggini.  Prihatin terhadap kelangsungan generasi, sedih bila dikudakan menteri.  Khabarnya, bila sudah berhenti di FGV, dibagi pula jawatan yang tinggi sekali lagi.  Aduhh jahanamlah macam ni.

Berteman secawan kopi Pak Tua bercerita.  Katanya kampung sunyi bagai dilanggar geroda.  Yang muda lebih gemar hijrah ke kota.  Yang tua ramai dah kembali bertemu Pencipta dan tinggal sedikit lagi yang dipanjangkan usia.

Jadi, marilah kita bersama-sama, gunakanlah kesempatan raya dengan sepenuhnya.  Menyambung silaturahim dan berbaik sangka.  Yang tua dan muda seiya sekata.  Maaf dipohon menghapus dosa, sebelum mereka pergi meninggalkan kita.

Bukan sekadar menayang handphone atau kereta yang laju, juga gelang emas siapa yang banyak sampai ke siku, juga tudung siapa yang ada kristal Swarovski palsu.  Tayanglah adab dan santun yang indah, bila bertamu dari rumah ke rumah.

Bila bersedia nak balik raya, helmet dan talipinggang keledar jangan dilupa.  Memanglah kalau dah sampai ajal, berhelmet bagai pun mati juga.  Namun kita haruslah berusaha sebelum bertawakal dan mematuhi segalanya sebelum berserah sahaja.

Semoga semuanya selamat ke destinasi, semoga semuanya berjumpa dengan yang dinanti. Semoga Syawal tahun ini memberi erti, kepada semua saudara dan saudari.

Hari raya hari yang mulia, penuh bererti kepada kita.  Tua, muda, miskin dan kaya, menyambutnya dengan gembira.  Berhati-hati di jalanraya, semoga anda selamat tiba.  Kunjungi teman sanak saudara, bersama gembira di hari raya.

Ehh.. tertulis lirik lagu raya pula.

Selamat Hari raya Aidilfitri buat semua.

Maaf, zahir batin.

Yang ikhlas,
KHAIRUL ABDULLAH,
Budak Felda Lubuk Merbau, Kedah.

Share

Blog  / Peoples

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved