“Menurut jurucakap polis, kejadian menyebabkan beberapa mangsa tercampak keluar dan lima mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.” Harian Metro, Ahad 11 Disember 2016.
Sangat sedih apabila setiap kali membaca berita seperti ini. Setiap kali kemalangan maut, pasti ada mangsanya tercampak keluar. Paling tragis bilamana mangsa tersebut adalah anak-anak yang tidak berdosa.
Sebabnya?
Mudah sahaja.
Seatbelt yang dibeli bersama kereta dijadikan perhiasan. Anak-anak kecil dibiarkan bermain-main tanpa dikenakan seatbelt ataupun kerusi khas kanak-kanak.
“Bro, kau tak percaya kat Tuhan ke? Dah ajal diorang bro, kalau pakai seatbelt dan pandu kereta kebal pun mati jugak bro kalau ajal dah sampai” kata seorang pembaca kepada saya.
“Adakah tuhan suruh kita melemparkan atau meletakkan diri di dalam bahaya?. Tidakkah kau tahu atau buat-buat tidak tahu yang tidak memakai seatbelt itu adalah bahaya?” tanya saya.
“Alah bro, kadang-kadang, seatbelt tu yang mencekik mangsa sampai mati” balasnya lagi.
Hmmmm…saya kelu.
Kenderaan moden dicipta dengan segala jenis ciri keselamatan. Namun “disclaimer” atau penafian dari pengeluar kenderaan mensyaratkan seatbelt haruslah dipakai bagi membolehkan semua beg udara (airbag) berfungsi dengan sempurna dan mengurangkan impak kecederaan sekaligus berpotensi bagi menyelamatkan nyawa.
Tapi kita tak endahkan semua tu.
Kita masuk kereta, baca “Bismillah” maka kita pun tawakkal dan berserah.
Kita lupa yang sebelum bertawakkal itu kita harus mempersiapkan diri. Pastikan kenderaan kita itu berkeadaan baik, pastikan semua penumpang memakai seatbelt, pastikan anak-anak kecil berada di dalam carseat mereka dan memandu mengikut peraturan.
Selepas itu maka kita bertawakkal.
Hati saya cemas dan sayu acapkali melihat anak-anak kecil sampai 2-3 orang sekali bermain di tempat duduk hadapan dan si ibu di belakang meriba adik kecil ketika si ayah memandu di lebuhraya.
Kalau kereta Viva atau Proton Saga lama membawa seisi keluarga, saya faham mungkin faktor kewangan membebankan mereka untuk membeli carseat. Namun pemakaian seatbelt wajib dikenakan juga. Saya hanya mampu doakan semoga perjalanan mereka selamat.
Namun bila melihat kereta Myvi bersportrim cantik, atau Honda bertinted gelap atau kereta yang agak mahal namun si ayah membiarkan anak-anak kecil yang tidak tahu apa-apa melainkan keseronokan duduk melompat di hadapan adalah sesuatu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.
Anak amanah Tuhan kepada kita. Kalau kau boleh pakai seatbelt untuk menjamin keselamatan diri kenapa dibiarkan anak berlompat kegirangan di dalam kereta?
Kalau kau mampu tukar sportrim yang berharga ribuan ringgit, kenapa carseat untuk anak-anak yang berharga paling murah sekitar RM150 pun tidak sanggup dibeli?
Selagi kita tidak ubah sikap sebegini, selagi itulah akan terpampang di dada akhbar mereka yang tercampak keluar dan maut setiap kali kemalangan berlaku.
Dan kita sentiasa yakin yang ianya tidak akan terjadi kepada kita.







Leave A Reply