Ketika saya di Kangar dan Jitra dua hari lepas, saya sempat berjumpa 8 orang rakan sekolah saya dahulu. Terus mengimbau kembali banyak kenangan yang saya rancang untuk dibukukan.
Cerita bagaimana kami dibuli ketika di tingkatan satu. Ditampar, ditumbuk, diterajang itu semuanya perkara biasa. Belum bab buli mental, jadi buruh kasar dan sebagainya.
Cerita bagaimana bila dah besar sikit mula pandai bergaduh dan bertumbuk. Pecah masuk dewan makan, masuk kantin, masuk bilik guru, masuk asrama puteri dan bermacam-macam lagi.
Cerita bagaimana kami semua belajar merokok, belajar membalut rokok dan juga paling penting belajar menjual rokok dengan untung 300%.
Cerita bagaimana lompat pagar atau “fly” juga adalah kepakaran kami di dalam berusaha mendapatkan bekalan rokok. Terjun sungai, taliair, bersembunyi atas pokok dan di dalam longkang juga adalah biasa bila melarikan diri dari pak guard.
Cerita ditangkap merokok, disuruh menghisap rokok secekak sekaligus pun pernah. Bila dah hisap terus dapat pelempang. Sudahnya kena makan rokok tu sampai muntah hijau.
Cerita bagaimana untuk mengelakkan dirotan ketika sedang berlari ke perhimpunan pagi, dirotan secara rasmi di bilik warden sehingga dah lupa bilangannya juga biasa. Dirotan di perhimpunan pagi sekolah sehingga awek pun meminta putus juga perkara biasa.
Cerita bagaimana semua jenis rotan yang ada di bilik warden yang biasa kami rasa, sampai dah tahu nak pilih yang mana yang kurang sakit dan kurang meninggalkan kesan.
Cerita bagaimana berdebarnya kami setiap kali ada pengumuman melalui pembesar suara di sekolah. Apabila ada pengumuman meminta pelajar untuk datang ke bilik warden maka nama-nama kami pasti akan disebut.
Cerita bagaimana aktiviti “shopping” di dewan makan dilakukan dengan membawa baldi sebagai shopping cart dan habis dibedal segala roti, sardin, tembikai, nenas, labu dan sebagainya. Asalkan boleh dikunyah bagi menghilangkan kelaparan, kami angkut.
Cerita bagaimana kami tackle dan bercinta monyet dengan junior, mengorat akak matriks untuk dijadikan kakak angkat juga sungguh menyeronokkan.
Cerita bagaimana kami diangkut dengan van polis ke balai pun memori yang menakutkan dan juga menyeronokkan. Hampir terkencing disergah pegawai polis ketika disoal-siasat dengan kabel besi di atas meja yang kononnya digunakan untuk memukul jari jemari hingga terkulai membuatkan air mata mula menitik.
Cerita bagaimana berbaris di dalam bilik bercermin untuk sesi kawad cam juga sangat mendebarkan. Maklumlah macam dalam cerita orang putih tu, mana tahu si penuduh tu tiba-tiba pilih awak sebagai penjenayah yang sedang dicari polis.
Cerita tentang rakan yang terpaksa duduk di lokap separuh bogel pun sangat lawak rasanya.
Cerita bagaimana masuk asrama puteri curi spender dan bra untuk majlis lelongan di bilik asrama dan bagi yang tidak laku akan digantung atau dilekatkan di setiap pokok di tepi laluan ke sekolah.
Cerita bagaimana ponteng solat, ponteng puasa, kena tangkap, ketuk ketampi sampai tak boleh berjalan dan merangkak ke bilik juga sangat lawak penyudahnya.
Cerita bagaimana masak megi ramai-ramai di dalam sebuah baldi dengan menggunakan air sejuk. Rendam megi pukul 8 malam, nanti balik prep pukul 10 malam boleh makan.
Cerita bagaimana kami membuli cikgu pun ada juga. Kesian cikgu.
Cerita bagaimana kami disumpah oleh pengetua yang kami adalah orang yang akan mendapat keputusan paling teruk di dalam SPM dan akan membusukkan nama sekolah, walhal kami semuanya dapat Pangkat 1 di dalam peperiksaan tersebut.
Dan cerita bagaimana persahabatan tersebut dijalin rapi sampai ada yang sanggup dibuang sekolah demi menyelamatkan ramai rakan lain dari menerima hukuman yang sama.
Dan seribu satu kisah yang saya akan bawa ke akhir hayat saya.
Moga-moga rancangan saya akan menjadi kenyataan.
Aminn.







Leave A Reply