Abang sekarang kerap juga ke klinik dan juga hospital. Maklumlah sejak ada anak kecil ni, ada waktu tertentu kerana sakit demam, ada masanya kerana pemeriksaan berkala ataupun untuk cucuk vaksin.
Ketika mula-mula balik dulu, abang kerap juga ke hospital/klinik swasta dengan niat kononnya nak berikan rawatan yang terbaik untuk anak-anak.
Akan tetapi setelah beberapa ketika, abang dapati tak ada bezanya rawatan yang diterima dari segi perkhidmatan dan juga rawatan itu sendiri berbanding klinik atau hospital kerajaan.
Dan abang akui yang abang lebih gembira untuk membawa anak ke hospital kerajaan kerana layanan yang baik dan juga kos rawatan yang hampir percuma.
Bukan kerana kedekut tetapi sakit hati oleh layanan yang diterima di hospital swasta. Bayar mahal, servis acah-acah bagus tetapi tidak. Tempoh menunggu pun makan jam juga.
Apapun hospital kerajaan memang best. Walaupun sesak gila, beribu karenah pesakit, doktor dan nurse masih cool. Abang respek!
Apa yang abang nak cerita kali ini bukan pasal hospital tetapi sikap pesakit atau pelanggan hospital.
Kenapa?
Hospital atau klinik kerajaan kan sesak. Ramai orang ya Robbi. Tempat duduk yang disediakan juga terhad. Jadi pandai-pandailah kita berkongsi menggunakan kemudahan yang terhad tu, ye tak?
Awak yang gagah perkasa, isteri baru mengandung 2 bulan, biarlah isteri tu duduk dan awak berdiri sudahlah. Bagi tempat duduk tu kepada orang lain yang lebih memerlukan.
Ini tidak, disitulah awak nak bermanja-manja, mencari nama anak, Google mainan untuk baby, diskas nak beli baju warna apa dan sebagainya dan tidak hiraukan orang lain yang berdiri di sebelah anda.
Takkan setiap kali abang nak kena pergi tegur dik.
“Boleh tak bagi seat ni kat kakak tu, kesian dia sorang-sorang, nampak macam mengandung dah 8-9 bulan tu” ujar abang.
Lalu awak pun bangun dengan muka masam heret bini awak sekali dan beredar sambil jeling kat abang.
Aisehman..dia jeling lah.
Ada pulak sorang kakak tu duduk kaku acah-acah baca buku sambil disebelahnya berdiri seorang kakak yang sedang mendukung bayi dengan disandang pula sebuah beg yang nampak berat.
Abang perhatikan sahaja. Kakak tu berkali-kali mengalih posisi dukungan anaknya mungkin kerana lenguh. Yang adik sorang ni duduk buat bodoh jer. Padahal sebelah dia jer pun.
Abang yang gagah berotot ni pun bukan main lenguh dukung Khaleef yang tak berapa berat ni, apatah lagi kakak yang kecil molek tu.
“Dik, boleh kot bagi seat kat kakak ni?” tegur abang.
Lalu adik tu pun pandang kakak tu atas bawah dan terus bangun beredar.
Marah kat abang kot.
Entahlah…abang pun tak tahu.
Kalaulah abang takde kerja, maunya setiap hari abang bawak rotan dan berlegar di ruang menunggu hospital dan rotan saja orang-orang yang takde sifat belas ihsan kat orang lain ni.
Ingat dik, bantulah mereka yang lebih memerlukan. Kita yang sihat dan masih mampu, gunakan kemampuan kita yer. Jangan nanti kita dah tak mampu dan orang buat balik kat kita macam tu, barulah kita rasa.
Taknak sampai macam tu yer dik. Bertimbang rasalah.
Bukan sahaja di hospital, tetapi di mana-mana sahaja.







Leave A Reply