• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

10 Tips Menjadi Seorang Yang Ohsem

08/03/2016

Nak jadi ohsem tak? Jom abang kongsikan sikit tips-tips untuk kita semua amalkan. Bermula dari keluar rumah hendak ke shopping complex sehinggalah selesai balik ke rumah.

Jom pakat-pakat baca.

1. Memandu atau merempit.

Bawak kereta ke, motor ke, elok-elok dik. Jangan langgar lampu merah, jangan potong que dan sila bagi signal ketika nak membelok atau memotong. Korang faham-faham sendiri lah yer, abang nak cerita panjang pun tak guna.

Yang naik komuter ke, lrt ke pulak sila perhatikan sekeliling. Beri keutamaan kepada orang yang lebih memerlukan. Jangan ko jeling jer atau buat-buat tidor bila nampak akak mengandung berdiri depan ko.

Perangai jamban tu simpan kat rumah yer.

2. Parking

Bila dah sampai shopping complex atau supermarket tu parking lah elok-elok dik. Jangan sebarang bedal jer. Kat petak OKU, kat garisan atau petak kuning, kat belakang kereta lain, kat laluan pejalan kaki semua tu hak pengguna lain.

Bila ko parking tempat OKU atau ko parking atas laluan pejalan kaki kiranya ko dah ambik hak orang lain dik. Ko dah aniaya orang. Rasa-rasa berdosa tak?

Bila nak masuk parking tu cer letak kereta elok-elok sikit, biarlah masuk petak ngam-ngam, jangan makan banyak sebelah kiri ke kanan ke, nanti orang sebelah nak bukak pintu payah. Tambahan pulak keluarga yang bawak baby car seat, stroller dan sebagainya.

Kalau kat tempat yang tak boleh tu parking la rapat sikit ke tepi jangan sampai halang atau susah kereta lain nak lalu.

Ladies parking tu jangan lah ko ambik, jadi gentelman sikit lah dik. Jangan malukan kaum lelaki. Petak parking keluarga untuk kereta yang bawak anak dengan stroller bagai pun ko nak belasah jugak ke?

Punahhh!

3. Pejalan kaki

Jangan awak vroom vroom dalam kawasan parking, maklumlah ekzos besar ada turbo dan bunyi macam lori. Awak rasa sedap, orang lain dengar rasa macam nak kasik penampar dik.

Tengok lah kiri kanan, ada abang tengah tolak stroller ada baby tengah tidur ke, ada makcik atas kerusi roda yang tengah sakit ke. Jangan main bedal jer. Kalau kat lintasan pejalan kaki tu, hormat lah orang yg berjalan. Bagi diorang jalan dulu.

Kalaupun di lintasan yang ada lampu dan giliran awak untuk bergerak, sabar sekejap, bagi orang berjalan habis dahulu. Ini tidak, asal hijau jer awak terus tekan minyak menderum2 dan berselerak lari pejalan kaki tu.

Sedih tau tengok pakcik dan makcik yang dah tua serta abang dan kakak yang tolak stroller tu berlari.

Tunggu ko ada anak esok ko tahu lah!

4. Naik Lif

Dah sampai dan masuk shopping complex atau supermarket tu dik, awak yang sihat walafiat tu, jalan lah sikit dan naik eskalator. Ataupun kalau setakat setingkat dua tu naiklah tangga. Jangan lah malas sangat dik.

Yang ko sibuk nak naik lif berasak dengan orang lain yang ada anak kecil, ada stroller, ada wheelchair dan sebagainya tu kenapa?

Kadang-kadang tu orang yang pakai wheelchair atau keluarga yg ada stroller ni tercongok menunggu nak naik lif, asal pintu terbuka jer yang sihat walafiat ni serbu masuk.

Kot yer pun, bagilah orang yang memerlukan tu masuk dulu kalaupun dia datang kemudian. Jadi gentleman sikitlah dik. Baru hensem.

Kalau yang tunggu lif di antara atau tengah-tengah tingkat ni lagi susah. Asal pintu terbuka jer penuh manusia. Asal buka jer penuh manusia yang sihat walafiat dan kapel yang baru acah-acah nak berkeluarga panggil mama dan papa tengok saja orang yang kurang upaya ni nak naik lif tapi tak muat dah.

Kot nak keluar dan bagi orang yang lebih memerlukan tu masuk, jangan harap lah. Awak tu muda dan sihat, boleh naik eskalator dik.

Tunjukkanlah kat girlfren tu yang awak ni orang yang hebat, ada sifat kasih sayang dan saling membantu, hormat orang tua dan lebih memerlukan, barulah boleh jadi calon suami mithali.

Mana sifat hormat atau kasih sayang terhadap orang yang lebih susah dan memerlukan dik? Kat lif tu terbentang papantanda tulis keutamaan kepada orang berkerusi roda, stroller, troli dan sebagainya, tapi..ko buat bodo jer.

Ker ko buta huruf dik?

5. Naik eskalator

Asal naik eskalator jer nak pegang tangan, asal nak pegang tangan jer naik eskalator. Adehh…. Kat negara lain seperti Jepun, orang naik eskalator semua akan rapat ke kiri dan ruang sebelah kanan biar kosong. Di Jerman pula semua orang rapat sebelah kanan dan sebelah kiri biar kosong. Kat Amerika nun pun sama.

Kenapa?

Sebab, diorang tak pentingkan diri sendiri dik. Diorang tinggalkan sebelah kanan atau kiri tu adalah untuk orang yang perlu naik atau turun lebih cepat. Kalau ada yang dah tak tahan nak ke tandas akan dapat naik eskalator dengan lajunya dan sempat sampai ke destinasi bagi melepaskan hajat.

Macam-macam alasan orang yang nak cepat ni dik. Nak terberak, nak terkencing, nak terberanak, anak hilang, handphone tertinggal kat McD, beg tertinggal kat KFC dan sebagainya.

Jadi bila ko naik eskalator tu dik tak payah lah nak romantik sangat. Suruh papa duduk anak tangga atas dan mama duduk anak tangga bawah, jadi ruang sebelah kanan tu kosongkan kot-kot kejap lagi ada orang nak terberak atau nak terberanak.

Paham ke idok?

6. Makan minum.

Bab makan ni abang nampak dah baik sikit. Dah kurang bersepahnya sebab ramai dah baca artikel abang yang viral 2-3 hari tentang sikap kemas meja apabila sudah makan. Jadi ramai yang dah buat atau praktikkan. Tapi masih ada 2-3 kerat lagi yang tak reti bahasa.

Jaga adab lah kot yer pun kan. Jangan lah bersepah sangat, jangan banyak sisa seeloknya makan sampai habis. Jangan membazir. Lepas tu kemaskan meja. Bukan suruh hantar pergi dapur pun, kemas meja sendiri, kutip sisa dan lap tumpahan. Itu jer. Kalau kat foodcourt atau fastfood ada disediakan tempat pemulangan tray tu maka hantarlah ke situ.

“Alah bang, kedai tu kena gst dan servis caj kot. Biarlah diorang yang buat” kata seorang adik tukang komen.

Abang boleh senyum kelat jer dengan ko dik. Tak terjawab abang.

Senangkan kerja orang dik, nanti Tuhan senangkan kerja ko.

7. Tandas

Aduhhhh, macamana nak cerita ni. Taknak cerita boleh? Alaa boleh lah yer. Kita paham-paham sendiri lah yer.

Kat negara lain yang dah maju lah yer, kita rasa macam nak duduk bersila atas lantai tandas tu. Kering dan bersih.

“Alahhh diorang tu berak tak basuh, memang la kering” kata seorang tukang komen.

Meh saya nak tanya, awak berak basuh bontot ke atau basuh mangkuk tandas yang sampai banjir tu?? Dah la banjir, ada sisa melekat pekat dan terapung. Uweekkk macamana lah abang boleh tulis ayat ni. Geli oiiiii!

Ko tak reti pam ke dik? Takkan tu pun nak abang ajarkan.

8. Ucapan

Terima kasih? woiiii payah benor nak dengar ni dik. Terutama di kaunter pembayaran supermarket. Maklumlah ramai orang, yang pelanggan pun letih dan cashier pun letih. Maka kedua-kedua pelanggan dan cashier pun bermasam muka sampai mereput.

Ko bila nak bayar dik, nampak kakak atau abang cashier tu ko tegurlah Assalamualaikum ke, Selamat Tengahari ke kemudian senyum sikit. Pastu ko tengok dia jawab tak. Mesti dia jawab punya.

Lepas tu bila dah selesai ko cakap lah terima kasih, walaupun kakak cashier tu tak cakap apa-apa dan buat muka selamba derk jer. Takpelah, nanti-nanti letih dia hilang dia akan jawab lah.

Kalau ko tahu betapa ucapan atau salam dan terima kasih itu sangat dituntut, ko pasti tak lekang nak ucapkannya dik. Biarlah orang tak jawab ke, buat bodo ke atau sepatutnya cashier tegur dulu ke seperti yang dipraktikkan di negara maju yang lain, biarlah. Biar kita yang mulakan dulu yer.

Boleh?

Kat Jepun best woii bab shopping ni dik. Ucapan hello dan terima kasih tak lekang. Siap senyum dan tunduk-tunduk lagi, tak kira siang atau malam, hujan atau panas, ribut atau taufan, penat atau lelah, ucapan tersebut sentiasa kedengaran di mana-mana.

9. Beri laluan.

Ko kalau jumpa kawan ke, pakwe lama ke, bekas boss ke, jiran sebelah ke, awek sekampung ke, janganlah dok terpacak bersembang tengah jalan atau laluan tu. Ko ketepilah sikit dik, orang lain nak lalu, orang lain pun nak jalan kat situ kot-kot terjumpa jugak pakwe lama, bekas boss, jiran sebelah dan sebagainya juga.

Lepas tu kalau nak masuk melalui pintu yang kena bukak sendiri, ko gentleman lah sikit dik. Pegang pintu tu kalau ada orang lain yang nak masuk jugak. Lebih-lebih lagi kalau ko nampak ada orang bawak stroller baby, bawak wheelchair, orang bertongkat ke, OKU dsb.

Kalau ko buat macam tu dik, ko lah orang paling hensem dan cun di Malaya ni dik.

10. Troli

Ini kalau nak cerita mau empat hari empat malam tak habis. Gerammmm jer dibuatnya. Kot yer pun kat situ takde tempat letak troli, jangan lah ko gi letak belakang bontot atau depan kereta orang dik.

Carilah tempat yang tak menggangu lalulintas atau menghalang pejalan kaki dan letaklah kat situ. Takde orang nak marah pun. Ini tidak, ko bedal jer sesuka hati, asalkan ko lepas sudah, orang lain pandai-pandailah diorang.

Jamban benar tu dik.

——————————————————————

Abang yakin semua kita sedang berubah ke arah yang lebih baik. Tidak semua bersikap seperti yang abang ceritakan di atas. Namun masih ramai yang abang dapati berbuat demikian.

Kita semua nak hidup di dalam masyarakat yang aman bahagia dik. Jadi kita semua kena berkerjasama dan bertolak ansur sambil saling sayang menyayangi tak kira bangsa dan agama.

Ingatlah, seperti yang abang selalu pesan, kita permudahkanlah urusan orang lain dan pasti urusan kita juga turut dipermudahkan nanti. Jadilah manusia yang baik kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia yang lain.

Tuhan sayang orang yang macam ni dik.

Ini adalah pesanan khidmat masyarakat dari abang, untuk diri abang sendiri dan semua adik-adik abang yang membaca tulisan ini.

Semoga kita semua menjadi lebih ohsem.

Nak jadi ohsem tak dik?

Entahlah..abang dont know.

#mentalitijamban
#khairulabdullah
#entahlahidontknow

Share

Blog  / Complaints  / Lifestyle  / Peoples  / Tips

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved