• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Uncle Mabuk

20/02/2016

Ada satu hari tu saya ke sebuah restoran untuk membeli makanan. Ketika menunggu makanan siap, saya yang ketika itu sedang mendukung anak yang sedang tidur berjalan ke kereta untuk mengambil sesuatu.

Nun di hujung restoran kelihatan seorang lelaki tua berbangsa India sedang duduk di meja paling akhir di restoran tersebut. Kebetulan kereta saya parkir berhampiran beliau.

Ketika saya lalu bersebelahan beliau saya lemparkan sebuah senyuman tanda ramah kepada beliau dan dibalas dengan isyarat tangan seperti menyuap makanan dan juga menunjukkan tanda 2 seperti yang sering dilakukan oleh Ayu di dalam filem Bujang Lapok ketika meminta upah 20 sen dari kakaknya.

Saya terus faham yang beliau inginkan sedikit wang atau setepatnya RM2 dari saya untuk membeli makanan.

“Uncle belum makan?” tanya saya tanpa prejudis.

Beliau tidak menjawab namun tangannya masih menunjukkan isyarat seperti menyuapkan makanan. Jadi saya yakin yang beliau belum makan lalu saya hulurkan padanya sedikit wang, cukup untuk beliau makan minum selama dua hari.

Terus uncle tadi ucapkan terima kasih sambil berkata yang isterinya mati tahun lepas. Itu sahaja yang dapat saya tangkap maksud percakapannya. Seterusnya pelbagai lagi butiran yang keluar dari mulut beliau yang saya langsung tidak faham.

Saya mengangkat tangan kepada beliau sambil memberi isyarat untuk beredar ke kereta namun beliau terus bercerita yang langsung saya tidak faham hujung pangkalnya.

Saya beredar dari situ.

Seketika kemudian, pesanan saya sudah siap dan usai membuat pembayaran saya meninggalkan kaunter restoran untuk ke kereta. Kali ini uncle tadi bingkas bangun dari kerusi ketika saya menghampiri beliau sambil menuturkan sesuatu kepada saya di dalam bahasa Melayu namun saya tidak faham.

Sambil bercerita beliau berjalan ke arah kaunter restoran.

“Nak pergi order makanan kot” getus hati saya. Saya terus ke kereta sambil mata terus memerhatikan gelagat beliau.

Namun selepas uncle tadi mula berjalan dengan terhuyung hayang dan mulutnya masih kumat kamit menuturkan perkatan yang sukar difahami barulah saya sedar yang uncle tadi tengah mabuk.

Alahai uncle. Ku sangkakan kau lapar, rupanya kau mabuk.

Apalah gamaknya yang nak dibeli dengan duit yang saya berikan tadi tu yer?

Harap-harap beliau guna untuk beli nasi ataupun roti dan bukannya todi ataupun brandi.

Namun jika diamati langkah kakinya yang terhuyung hayang berjalan ke kedai runcit berdekatan, harapan saya terkubur.

Ahhhhh..tak mungkin dia beli nasi.

Entahlah…I dont know!

Share

Blog  / Complaints  / Experience  / Foods  / Lifestyle  / Peoples

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved