Berusahalah kerana setiap usaha pasti ada ganjarannya dan bersabarlah kerana kesabaran itu pasti ada hikmahnya.
Abang menunggu hampir 30 tahun sebelum menerima pingat pertama di dalam sukan kegemaran abang iaitu badminton dan pingpong serentak. Mula main sejak sekolah rendah, tapi tak pandai sampai ke tua maka pandailah sikit sebab dekat berpuluh tahun main. Akhirnya dapat peluang wakil Frankfurt lawan Berlin. Dapatlah pingat Emas acara sukan pertama abang dan beberapa emas lagi saban tahun selepas itu.
Abang mengidam dan menunggu hampir 25 tahun untuk mendapatkan sebuah alat muzik impian abang. Sejak tahu bermain muzik di sekolah, abang menyimpan impian untuk memilikinya. Dah tua baru dapat…dan dapat…dan dapat.
Abang berangan dan menunggu hampir 15 tahun sebelum berjaya menjejakkan kaki ke kota-kota impian abang. Dari kecil tengok globe, tengok peta, baca buku dan belajar geografi tentang kota-kota besar di dunia. Alhamdulillah tercapai kesemuanya. Namun angan-angan abang untuk mengembara merentas Laluan Sutera yang dipendam sejak 18 tahun lalu masih belum kesampaian.
Abang menunggu hampir 6 tahun sebelum dikenali dan dilamar oleh penerbit untuk menerbitkan tulisan abang di dalam bentuk buku. Kemudian dilamar lagi untuk buku ke-2 dan ke-3. Alhamdulillah. Pastinya tahun hadapan akan ada tiga buku abang di pasaran, InshaAllah.
Paling syahdu,
Abang bersabar dan menunggu hampir 10 tahun untuk menimang cahayamata yang pertama. Alhamdulillah. Itulah penantian abang yang paling berbaloi. Yang kedua bakal menyusul kelak.
Bukan abang nak menunjuk.
Cuma nak bagi semangat kepada Adam dan adik-adik lain yang baru nak up.
Jangan cepat mengeluh, jangan cepat putus harap.
Jangan ingat hari ni grad, minggu depan boleh terus dapat kerja.
Jangan ingat bulan ni kahwin, bulan depan terus mengandung.
Jangan ingat hari ni kita susah takde duit, bulan depan pun kita susah dan takde duit.
Jangan ingat hari ni kita tak berpeluang ke mana-mana sebab kekangan kewangan dan sebagainya maka akan datang kita masih tak dapat ke mana-mana.
Jangan ingat hari ni kita duduk di kerusi roda maka tahun depan kita masih di atas kerusi roda yang sama.
Berusahalah dengan gigih dan bersabarlah, pasti adik semua akan kecapi nikmatnya.
———————————————————-
Untuk Adam, abang ucapkan selamat maju jaya. Terima kasih kerana menghubungi abang, melayan abang berborak dan membebel berjam-jam. Adik adalah insan yang istimewa dan abang pasti segala apa yang adik cita-citakan pasti akan termakbul satu hari nanti. Jangan lupa janji adik kat abang yer.
Untuk Pn Wan Mahani Wan Abdullah, yang sedang merancang program bersama Adam, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana memberi peluang kepada insan OKU. Semoga ALLAH membalas jasa baik puan.
Aminn Ya Robbal Al-Amin.
P/S: Adik Hasrullah atau lebih mesra dipanggil Adam adalah seorang pelajar OKU (tanpa kaki) di dalam bidang komunikasi UIA. Baru-baru ini kisah beliau mendaki Bukit Tabur dengan bantuan rakan-rakannya menjadi viral. Tahun depan dia nak panjat bukit kat Jerman pulak selepas terpengaruh dengan cadangan abang ![]()







Leave A Reply