Artikel ini adalah untuk mereka yang di bawah umur sahaja!
—————————————————————————————-
Untuk kesekian kalinya abang nak mengomel pasal membaca dan menulis. Kepada adik-adik di luar sana, tolonglah baca. Bukan suruh baca blog abang atau artikel abang yang best-best tu, tetapi bacalah apa sahaja artikel, coretan, post samada di blog, FB, Twitter, akhbar, majalah dan sebagainya. Jangan baca tajuk dan ringkasan sahaja. Baca sehabisnya, fahamkan dan hadamkan. Kemudian barulah komen, barulah bertanya atau barulah bagi pendapat.
Bagi yang baca blog atau artikel abang – sila baca, fahamkan dan hadamkan artikel yang berkaitan keperluan adik-adik. Kalau adik tak baca dan faham, adik akan bertanya soalan yang pelik-pelik. Letih tau abang nak menjawab persoalan adik di email maupun di private message FB ini.
Kebanyakan artikel yang berbentuk maklumat telah abang ceritakan secara agak terperinci dan banyak lagi maklumat lain yang boleh didapati di ruangan komen atau soal jawab, kalau adik rajin scroll down komen-komen tu.
Apa yang adik-adik perlu buat adalah baca, baca dan baca. Jangan malas. Bukannya abang tidak mahu menjawab pertanyaan adik, namun semua pertanyaan yang diajukan sudah ada jawapan yang mana abang sudah tulis dengan jelas. Jadi abang andaikan adik baca tajuk sahaja kemudian simpulkan yang abang yang hensem ni boleh bantu anda dari A-Z maka adik tak perlu baca dan terus tanya sahaja.
Kalau adik dah baca, fahamkan dan masih belum berjumpa jawapan maka adik tanyalah. Abang pasti akan jawab, cumanya nak bertanya tu ada adabnya juga. Nak bertanya biarlah jelas.
Ada adik yang menghantar email sepatah perkataan “Hi” sahaja. Errr..abang dah kawin dik.
Ada adik yang menghantar email sebaris ayat “i want work at Austaria” Errr…kat mana “Austaria” pun abang pun tak tahu. Mungkin Australia ataupun Austria, entahlah. Abang bukanlah ejen pekerjaan yang boleh carikan pekerjaan untuk semua orang dik oi.
Ada yang bertanya “berapa harga pakej travel ke eropah?” abang manalah tahu, abang bukannya travel agent. Abang cuma berkongsi maklumat untuk orang yang nak travel sendiri.
Ada yang bertanya abang “boleh tak nak suruh abang jadi travel guide” Abang dah tulis dengan jelas kat artikel abang yang adik baca dan komen tu, abang tak boleh jadi tour guide, tak ada masa. Siapa nak jaga anak abang? Siapa nak masak? Abang kan masterchef, nanti kebulur anak bini abang.
Ada yang email abang “saya ada banyak botol untuk dijual, macamana yer?” Err…abang ni ada rupa tokey botol ke dik? Adik baca artikel abang pasal botol kitar semula dan adik baca tajuk sahaja dan terus agak yang abang hensem ni tokey botol.
Ada yang bertanya “berapa kos sewa rumah kat sana” Kat sana tu di mana? Rumah apa? Rumah teres ke banglo? Tengah bandar ke dalam kampung? Abang pun bukan ejen hartanah, tapi kalau adik tanya betul-betul pasti abang dapatkan jawapan untuk adik.
Ada yang bertanya “pakaian apa yang sesuai untuk anak saya untuk ke eropah?” Manalah saya tahu apa yang sesuai kak, kalau bila akak nak pergi pun saya tak tau. Anak akak umur berapa? Akak nak pergi musim apa? Bulan berapa? Nanti saya kata tak perlu jaket sebab waktu akak tanya tu musim panas, tetapi rupanya akak nak pergi musim sejuk..kesiannnn anak akak, jadi tugu ais.
Ada yang pm saya “Encik kerja apa?” Abang dah tulis jelas kat blog abang dik, di bahagian about me. Bacalah, dan adik akan tahu kerja abang yang sebenarnya.
Ada yang pm abang “slm kt sn blh x kje ply tk uma gtew” Seriously?? Ada sesiapa yang pandai tolong translate dekat abang boleh? Dia tulis Arab daaaa.
Dan bermacam-macam jenis lagi email atau pm yang abang terima setiap hari. Kadang-kadang seronok bila baca yang tulisannya lengkap dan jelas, kadang-kadang nak tergelak, kadang-kadang abang teremosi dan selebihnya abang baca sambil menangis.
Adik-adik semua, abang ada keluarga, ada anak ada bini dan juga ada kerja. Abang habiskan sekitar 2 jam sehari untuk balas segala email atau pm adik-adik semua. Abang tak mintak duit pun, cuma mintak tolong adik-adik tulis dengan jelas sahaja. Guna bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Mandarin ataupun French pun tak apa, abang faham kesemuanya sebab selain masterchef abang ni MC atau Master of Ceremony, macam Mahadir Lokman tu, pandai 10 bahasa dan abang akan jawab kesemuanya kalau ditulis dengan lengkap dan jelas, inshaAllah.
Sila angkat tangan siapa yang pernah mesej atau email abang tetapi tidak berbalas? Ada tak? Kalau ada sila bagitau dan abang akan belanja Nasi Kandar Zainul kat PJ.
Adik-adik marah ke abang tegur ni?
Entahlah…I Dont Know. Jangan marah yer dik.







Leave A Reply