Bagaimana nak tahu sama ada anak kita itu normal atau ada ciri-ciri Autism atau ADHD?
Memandangkan ramai yang pm bertanya itu ini, biar saya ceritakan bagaimana jika ada ibu bapa yang ingin membuat ujian saringan awal seperti yang saya lakukan untuk anak saya.
Saya buat ni bila merasakan yang dia ni agak berbeza dari rakan sebayanya. Kat buku biru atau pink anak-anak ada ujian MCHAT (Modified Checklist for Autism in Toddlers).
Anak saya ni takde buku biru, jadi tiada saringan autism di peringkat awal di klinik kesihatan.
Ini langkah-langkah yang saya buat.
1. Buat ujian saringan Autism dan ADHD secara online.
Saya google “mchat test online”, “autism test online” dan “adhd test online” lalu buka segala jenis website yang ada ujian saringan percuma ini.
Saya cuma perlu jawab soalan secara jujur antara 15-50 soalan bergantung kepada laman web tersebut. Saya cuba kesemuanya.
Link untuk ujian ada diruangan komen bagi yang mahu mencuba.
2. Terima jawapan awal dengan hati terbuka.
Semua hasil ujian yang saya buat mengandaikan yang anak saya ada ciri-ciri autism. Hampir kesemuanya memberikan jawapan yang sama iaitu ada kemungkinan anak saya mempunyai HFA (High Functioning Autism) dan disarankan agar berjumpa pakar.
Saya terima dan reda terlebih dahulu. Embrace it, don’t deny it. Ia bukannya jawapan yang sahih, tidak semudah itu untuk terus mengesahkan anak kita tu ada autism. Tetapi ciri-ciri tersebut ada.
3. Hubungi klinik kesihatan atau hospital terdekat.
Ada rakan mencadangkan agar saya terus ke pakar swasta sebab tak perlu menunggu giliran dengan lama. Jadi saya telefon dan tetapkan appoinment di UKM Specialist Centre. Dalam masa 2 minggu saya telah dapat berjumpa pakar. Bayarannya RM300++ seingat saya.
Bagi yang kurang mampu, boleh terus ke klinik kesihatan berhampiran dan maklumkan kepada mereka tentang anak dan tentang ujian Mchat yang telah dilakukan. Mereka akan refer kes tersebut ke hospital berdekatan.
Boleh juga telefon terus ke hospital yang ada unit psikiatri, ceritakan tentang masalah anak kita serta ujian yang telah kita buat dan minta appoinment untuk berjumpa pakar.
4. Saringan oleh Pakar.
Doktor pakar akan menemuramah ibu bapa dengan kehadiran anak sekali. Anak-anak dibiarkan bermain dan beraktiviti. Sesi pertama saya berlangsung selama 2 jam.
Selepas menilai semua jawapan saya dan memerhati tingkah laku anak saya maka doktor menyatakan yang dia ada ciri-ciri HFA atau juga Asperger.
Doktor menyarankan agar anak dibawa ke unit perkembangan kanak-kanak untuk menjalani Speech Therapy dan juga Occupational Therapy. Seterusnya perlu juga ke Child Psiciatrist untuk pemerhatian serta menjalani ujian IQ.
5. Sessi Terapi dan juga Penilaian
Seterusnya ini yang memakan masa. Setiap bulan harus berulang-alik ke hospital untuk anak menjalani semua terapi serta ujian yang diperlukan. Kena berkorban masa ni.
Disamping itu, doktor juga akan berikan borang soal jawab (questionnaire) untuk dijawab oleh ibu bapa dan juga cikgu sekolah atau tadika.
6. Keputusan.
Selepas semua sesi terapi dan ujian dijalankan dan semua penilaian dari borang soal jawab atau questionnaire tadi telah dibuat maka barulah pengesahan akan dibuat samada anak kita tadi normal atau istimewa. Proses ni mengambil masa sekitar 7-12 bulan.
Bila dah tahu keputusan maka lebih mudah untuk kita merancang dan bertindak seiring dengan keperluan anak kita.
***
Jadi, untuk ibu bapa yang rasa anaknya ada ciri-ciri tak macam anak lain maka cubalah buat ujian saringan tersebut dahulu. Jika keputusannya memaklumkan yang anda perlu berjumpa pakar maka pergilah demi masa depan anak tersebut.
Jangan disebabkan takut atau fobia dengan gelaran “OKU” maka anak-anak dinafikan rawatannya dan juga haknya untuk mendapat pendidikan serta layanan sesuai dengan statusnya.
Semoga bermanfaat.
P/s: Proses tersebut adalah berdasarkan kes anak saya. Kes orang lain mungkin berbeza prosedurnya.
Leave A Reply