• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Hari Ini Aku Mengenang. Betapa 2 Tahun Telah Berlalu Tanpa Sedar.

01/08/2020

Kesian Khaleel bila dia asyik membayangkan yang satu hari nanti mak dia akan balik.

Dia bayangkan satu hari nanti bila ke pusara dia dapat gali kubur dan jemput pulang mommy dia.  Selalu dia bercerita dengan si abang dan abang akan jawab “It’s impossible, mommy die and it is forever.”

Lalu dia akan senyap dan akur, sebelum terus sambung bermain.

2 tahun dulu, aku tak bawa mereka bertiga ke hospital semasa ibu mereka terbaring kaku di katil ICU.  Nurse ada bertanya mana anak-anaknya, bawalah untuk jenguk ibu mereka.

Ya Allah, aku tidak punya sekecil zarah kekuatan untuk melihat anak-anak yang akan terpinga melihat ibu mereka kaku di katil berselirat dengan tiub dan wayar.

Aku tak punya kekuatan melihat ibu mereka dijemput pergi di hadapan mata mereka.  Aku tidak tahu bagaimana untuk melalui detik-detik tersebut.  Dan aku tidak mahu detik begitu terpahat dalam memori aku.

Aku tahu ini hari yang terakhir.  Biar aku sahaja lalui detik sukar ini.  Biar anak-anak dihidang dengan memori yang manis dan indah tentang ibu mereka, bukannya yang ini.

Biar aku sahaja yang laluinya.  Cukuplah.

Kau tahu, betapa remuknya hati dan jiwa aku bila garis lurus (flatline) muncul di mesin dengan bunyi beep yang panjang.  Betapa aku tahu saat aku masih memegang dan mengusap tangan orang yang membahagiakan aku dan anak-anak itu telah terhenti dengup jantungnya dan telah pergi meninggalkan buat selamanya.

Luluh.

Terbayang tiga wajah anak kecil yang masih bersama guru dan dikelilingi rakan di sekolah yang pasti akan datang sekejap lagi.  Bagaimanalah harus aku ceritakan pada ketiganya.  Apalah ayat yang paling sesuai untuk mereka faham yang ibu mereka telah pergi selamanya.

Sukar.

Sangat sukar.

Anak-anak dibawa datang hanya ketika ibu mereka dikafankan.  Dada aku bergetar laju usai nampak ketiganya didukung keluar dari kereta.  Aku rasa mahu hempas sahaja tubuh ini biar berkecai agar aku tak perlu lalui detik ini.  Namun itu bukanlah pilihan.

Aku hela nafas dalam dan panjang agar terus kuat berdiri.  Brace for the impact.

Kau tahu, saat menunjukkan pada anak ibunya yang telah terbaring kaku dilitupi kain putih itu adalah saat yang tidak pernah aku lupa dalam hidup ini.  Betapa berat jiwa aku menghadapinya, tiada kata dan perasaan untuk aku ungkapkannya.  Betapa masih aku terbayang wajah mereka bertiga ketika itu.

Khaleef 4 tahun dan Khaleel 2 tahun ketika itu kebingungan, hanya menurut apa yang diarahkan.  Namun Khaleed yang ketika itu baru berusia 7 bulan terpinga melihat orang yang ramai mengelilingi ibunya.  Ibu yang sudah 3 hari tidak memeluk tidurnya dan tidak lagi menyusunya.

Bagaimana rindu anak sekecil itu terhadap ibunya tiada siapa yang tahu.

Yang paling kecil itulah yang paling meruntun jiwa aku, mendukung bayi kecil sambil menunjukkan wajah ibunya telah pergi langsung menggelapkan jiwa dan dunia aku.

Aku longlai.

Aku rebah.

Rebah dan disambut rakan di sebelah.

Sudah 3 hari sebelumnya aku sangat kuat melalui semuanya.  Aku reda apa yang berlaku.  Aku masih gagah berdiri, aku masih senyum melayan ratusan tetamu yang berbaris di hadapan ICU.

Namun hari ini, genap 2 tahun yang lalu, aku rebah ketika masih mendukung si kecil itu.  Gelap dunia ini buat si kecil itu tanpa ibunya.

Namun, aku bangun dan kuat demi mencerahkan kembali dunia mereka bertiga.

Hari ini aku mengenang.

Betapa 2 tahun telah berlalu tanpa sedar.

Aku besarkan 3 anak kecil itu sebaik mungkin.  Apa sahaja pesan, hajat dan keinginan arwah isteri terhadap anak-anaknya, aku telah dan sedang cuba tunaikan sebaiknya.

Aku harap dia tersenyum melihat anak-anaknya membesar sihat, cukup makan pakai dan segalanya.  Semoga dia bahagia mengetahui yang kami ini baik-baik sahaja.

Jam 11.53 pagi hari ini genaplah 2 tahun dia pergi meninggalkan seorang suami dan 3 anak kecil yang sentiasa menyayangi dan merindui dia selamanya.

Semoga berjumpa lagi.

Al-Fatihah buat Almarhumah Marleena Binti Abdul Manaff.

#Superdaddy

Share

Blog  / Nostalgia  / Parenting

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved