Pedoman bagi mereka yang nak renovate rumah.
……………………
Jiran sebelah kanan rumah saya hendak berpindah masuk. Maka dibawalah kontraktor untuk pecah sana-pecah sini tukar itu tukar ini selama hampir 2 bulan juga lamanya.
Tidak sepatah pun menegur ataupun memberitahu.
Maka bertabahlah saya sekeluarga terutama bayi kecil yang baru lahir ketika itu. Bising jangan cakaplah. Habuk tebal memenuhi ruang hadapan rumah dari atas bumbung kereta hingga ke rak kasut, grill dan semuanya.
Mujur saya angkut famili outstation ke Bangkok lama juga maka tak terasa sangat. Bila dah balik baru sedar perubahan besar yang berlaku terhadap “common wall” yang dikongsi bersama.
Sepanjang berjiran saya ada sekali menyapa untuk berkenalan ketika beliau datang bersama kontraktor berbincang tentang pengubahsuaian.
Tetapi responnya sangat tidak acuh maka saya biarkan sahaja sehingga ke hari ini.
Minggu lepas jiran sebelah kiri pula nak berpindah masuk.
“Ahhh sudah” getus hati saya.
Seorang lelaki datang mengetuk pintu rumah dan memperkenalkan diri.
“Bang, esok saya bawa kontraktor masuk nak buat renovation rumahlah” cerita beliau terang dan jelas.
Katanya nak pecah situ nak pecah sini dan akan sangat bising, mengganggu dan menyakitkan hati.
Jadi, beliau datang untuk memaklumkan pada saya dan memohon maaf “in advance” di atas ketidakselesaan yang bakal berlaku.
Turut juga dipesan sekiranya ada rasa kurang selesa atau tidak seronok maka telefonlah beliau dan beliau akan pastikan semuanya ok.
Saya tersenyum bahagia.
Inilah jiran yang akan saya sayang.
Memang ada bunyi bisinglah ketika kerja namun tak kisahlah sebab tiada orang di rumah pun. Cumanya minggu lepas dua orang anak demam maka semua ada di rumah jadi bunyi bising ketukan memecahkan dinding buat mereka menangis.
Saya telefon dan maklumkan padanya. Cuma untuk sehari dua ini saya minta beliau maklumkan pada kontraktor untuk tangguhkan sekejap kerja-kerja berat yang bising.
Memang senyap sunyi lepas tu.
Bahagia baqhang.
Memang setiap kali beliau datang melihat rumahnya beliau pasti akan cari saya dan bertanya jika ada lagi kerja-kerja yang mengganggu ketenteraman keluarga saya dan apa yang boleh di lakukan bagi mengurangkan ketidakselesaan tersebut.
Lain sungguh sikap jiran sebelah kiri berbanding sebelah kanan tu yang mana macam-macam perkara yang menganggu kehidupan berjiran ni dari parking kereta sehinggalah buang sampah serta pencemaran bau.
Mujur ada 2 jiran di sebelah kiri ni best-best belaka, cuma dua jiran sebelah kanan agak tak boleh blah. Itulah kau, lain kali jangan tersepit di tengah-tengah.
Untuk dua keluarga jiran sebelah kiri, saya yakin, walaupun kita berbeza segalanya, kita pasti boleh jadi jiran dan rakan yang sangat baik.
Terima kasih jiran.
…………
Bagi korang yang nak buat renovation tu mohon ikut perangai jiran sebelah kiri saya ni yer. Jadilah jiran yang terbaik.







Leave A Reply