Teringat kenangan disajikan sandwich babi ketika di dalam keretapi dari Bangkok ke Kanchanaburi. Ketika itu saya bersama dua orang rakan sedang melakukan trip jelajah Indo-China pada tahun 1996.
Dari Haatyai lagi saya sudah ditawarkan sandwich babi oleh “pramugari” yang bertugas di gerabak kelas dua yang saya naiki. Agak kagum pada mulanya melihat bagaimana seorang wanita kecil melayan hampir ratusan orang di dalam sebuah gerabak keretapi petang menuju ke Bangkok.
Ketika menghampiri saya, beliau menghulurkan sehelai selimut, sebotol air dan juga pek sandwich. Saya bertanya, “Sandwich apakah ini” di dalam bahasa Inggeris. Beliau menjawab “Sandwich”. Saya bertanya lagi “Yer sandwich apa? Apa di dalamnya?” dan kali ini beliau tersenyum faham dan menjawab “Pig, pig, pig” sebanyak 3 kali.
Kembang tekak saya mendengarnya dan saya memulangkan kembali sanwich tersebut kepadanya.
Setelah lebih 18 jam di atas keretapi kami tiba di Bangkok hampir tengahari keesokan harinya.
Selang 2 hari selepas itu kami menaiki pula keretapi dari Bangkok ke Kanchanaburi. Sekali lagi cuba disajikan sandwich babi. Cuma kali ini agak berbeza sedikit. Saya menggunakan skrip pertanyaan yang sama seperti sebelum ini. Namun kali ini setelah jelas dan faham pertanyaan saya, pelayan tersebut membuka sandwich tadi dan membuang isi “ham” atau babi tersebut dan diberikan semula roti sandwich bersama sedikit sayur dan mayonis tadi kembali kepada saya.
Kembang tekak sekali lagi.
Setelah 3 hari tak makan nasi dan sebelum meneruskan perjalanan ke negara seterusnya, kami menyewa sebuah kereta kecil dan menyusuri jalan kampung untuk ke Ayutthaya dan terjumpa sebuah gerai kecil dengan tulisan Bismillah.
Segera berhenti dan memberi salam. Selepas salam dijawab rupanya orang kampung tersebut beragama Islam dan bercakap Melayu loghat utara. Apa lagi kami pun bantai makan nasi dengan segala jenis lauk-pauk yang ada sehingga puas.
Kali ini perut yang kembang.
Keh keh keh.







Leave A Reply