• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Ketiadaannya Menyukarkan Segala

02/12/2019

Semalam, aku memeluk anak yang merekot menahan sakit perutnya dengan genangan dan esakan.

Alangkah baiknya kalau ibu kau masih hidup.  Dia pasti dapat membisik ayat-ayat lembut bagi menenangkan kau yang dalam kesakitan.  Tak sama dengan aku, kehangatan dari usapan tangan dan pujukan halus suara ibu pasti lebih meredakan.

Bukan aku tak mampu menenang dan merawat, tapi tidak sama.  Bukan aku menafikan takdir tapi aku juga rindu.  Aku juga sakit, aku juga penat, aku juga mahu diusap dan ditenteramkan oleh tangan lembut itu.

Aku sedar dalam hidup ni, isteri adalah insan yang sanggup mati demi suami dan anak-anaknya selain mak atau ayah yang melahirkan kita.  Seorang isteri atau ibu sanggup meredah apa sahaja demi keluarganya.

Isteri adalah tempat bergantungnya seorang suami dalam menelusuri hidup berkeluarga.  Betapa suapan atau sentuhan seorang isteri atau ibu itu dapat meredakan setahun kesakitan atau menghilang sejuta kegusaran.

Betapa seorang isteri itu dicipta untuk membahagiakan isi rumahtangganya.  Dengan masakannya, dengan kekemasan lipatan pakaiannya, dengan segala barangan yang disusun atur olehnya, dengan lembut halus suaranya, dengan senyum manis dan gelak tawanya.

Betapa seorang isteri itu bila ketiadaannya akan porak perandalah isi rumah tangganya.  Akan kucar-kacir segala susun aturnya, akan berselerak segala pakaiannya, akan dicari segala bau masakannya dan pasti akan dirindu senyum dan gelak tawanya.

Seperti aku kini yang sedang merindu sosok yang sanggup bersengkang mata tanpa hirau sakit dan lelahnya, demi untuk aku dan anak-anaknya.  Aku rindu suara yang dapat menghapus segala resah yang ada di dada.  Aku rindu segala ketidaksempurnaan yang ada pada dirinya.

Ketiadaannya menyukarkan segalanya.

Buat para suami, hargailah insan yang bergelar isteri yang akan menemanmu hingga ke hujung usia.  Yang membesarkan anak-anakmu dengan penuh daya dan usahanya.  Yang sanggup berkorban menukar nyawa demi kehidupan anak dan suaminya.

Jangan sampai terlambat, jangan sampai menyesal bila dia pergi meninggalkan.

Sayangilah dia, cintailah dia, bantulah dia dan bahagiakanlah dia seperti yang pernah kau berjanji ketika mengambil dia dari ayah dan ibunya.

Sesungguhnya kau memerlukan dia.

Khairul Abdullah
Dari Katil Hospital

Share

Blog  / Nostalgia  / Parenting

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Comment


zuraidah bt ahmad zaiti
03/12/2019 at 2:59 pm
Login to Reply

Sad to read this..May Allah heal your son/daughter fast..and ease and heal your pain too



Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved