Okeh, banyak kali dah aku share resipi martabak ni. Kalau nak puas hati memang kena buat sendiri, baru mewah inti dia.
Jom, Martabak Daging Homemade.
Ni dia bahan-bahan untuk 4 biji murtabak.
200-300 gm daging cincang – of coz kalau daging wagyu lagi sedap.
1 biji kentang saiz besar dipotong dadu kecil.
1 biji bawang besar atau bawang holland lagi cun – dipotong dadu kecil.
1 ulas bawang putih untuk menumis. Kalau kau tak suka tak payah pun tak apa.
2 sudu besar rempah kari daging cap yang paling kau suka.
1 tangkai daun sup. Bukan daun ketumbar yer, ingat.
3 helai daun kari, jangan berlebihan (amalan syaitan).
1 sudu kecil garam. Kalau suka manis letaklah sikit gula.
3 biji telur yang telah dibasuh dan dilap sekering-keringnya. Kalau kau tak basuh dulu nanti kena kecam okeh.
4 keping kulit popiah segera saiz paling besar. Tanya mak kalau kau tak tau macamana rupa dia.
Cara Pembikinannya.
1. Lembutkan kulit popiah dengan meletakkan kain lembap (tea towel) di atasnya. Lembap yer bukan basah menitis.
2. Untuk intinya, tumis bawang putih dan sebahagian bawang yang telah didadu kemudian masukkan 2-3 helai daun kari dan bila dah naik bau masukkan rempah kari dan tumis sampai pecah minyak dan masukkan daging cincang.
3. Kacau sekejap daging tu biar masak kemudian masukkan ubi kentang yang telah didadu bersama sedikit air dan masukkan garam.
4. Tunggu sehingga ubi empuk lalu angkat dan sejukkan. Kena sejuk dulu yer, kalau tak kau pecah telur nanti dia terus masak pulak.
5. Di dalam bekas lain – masukkan inti yang telah sejuk dan pecahkan 3 biji telur tadi ke dalamnya bersama sebahagian bawang besar lagi dan kacau rata. Jangan kacau kuat-kuat sangat bulan puasa ni yer.
6. Cedokkan sekitar 4 sudu besar inti tadi ke atas kulit popiah yang sudah lembut dan lipat seperti bentuk murtabak. Kalau kau tak suka bentuk segiempat tu kau boleh buat bentuk tigasegi atau bintang kalau kau pandai.
7. Goreng di atas kuali leper bersama sedikit minyak sehingga keperangan.
8. Dah perang dan cantik kejadiannya, segeralah angkat dan jangan ditengok sahaja. Takut hangit pulak yer.
Siappp. Hidangkanlah bersama kari atau bawang jeruk. Pilihlah mana yang kau suka.
Kalau nak buat bawang jeruk tu begini.
Hiris nipis bawang besar, masukkan 4-5 sudu cuka makan dan sesudu gula dan secubit garam. Tambahkan pewarna merah.
Dah settle.
Kau tambahlah cili ke serbuk cili ke cili padi ke dalam inti tu kalau kau suka pedas. Kalau perut kau manja-manja macam perut sikpek abang kau ni, resepi di atas tu kau jangan derhaka.
Sekian.






