Inilah mee sotong Hammed Pata.
Gambar ini tidak mewakili langsung rasa dan pengalaman menikmati mee sotong di foodcourt yang agak “cokia” di tepi Fort Cornwallis, Penang.
Bagi aku, mee sotong ini bukanlah tentang rasa kerana kalau nak bercakap pasal sedap atau tidak, mana mungkin mee ini dapat bertahan lebih dari 40 tahun.
Yer inilah sejenis makanan yang dari kecil aku pernah makan dan sampai dah besar dan kacak ini aku masih boleh cari di tempat yang sama dengan bau dan rasa yang masih sama.
Bagi aku, mee ini lebih kepada memori dan nostalgia manis aku di zaman kanak-kanak bersama abah, emak dan adik. Setiap kali aku bau mee ini terus perasaan aku terbuai-buai mengenang zaman di mana hidup ini adalah sangat mudah.
Makan, minum, main dan tidur.
Setiap suapan buat aku rindukan abah dan emak. Rindukan bunyi-bunyi ayam dan burung di sekeliling rumah. Rindu pada musim anginnya kuat menampar-nampar pipi lalu menerbangkan layang setinggi langit.
Abah akan belikan mee ini jika dia ke Penang.
Abah tak pernah lupa akan apa sahaja yang digemari anaknya ini.
Menulis ini sahaja buatkan mata berkaca rindukan abah dan mak. Rindukan zaman kanak-kanak di mana tiada apa yang dapat menghalang aku dari bergembira usai menikmati mee goreng berlaukkan sotong ini.
Hanya rotan, tali pinggang atau batang ubi yang dipatahkan emak bila menyuruh pulang sahaja yang mampu tamatkan kegembiraan hari-hari sewaktu kecil aku.
Inilah sebabnya aku suka mee ini.
Bukan sebab rasanya. Memang sedap, sama seperti dulu. Namun sepinggan mee ini datangnya bersama kisah klasik yang dipenuhi nostalgia.
Rindu.
Rindu pada layang-layang yang rangkanya diraut dari buluh ataupun lidi, rindu pada lastik yang dibuat dari kayu pohon jambu, rindu pada sungai dan ikan serta pucuk paku yang rimbun menghijau di tebingnya.
Rindu pada jerit pekik kawan-kawan ajak bermain. Rindu pada pokok getah dan bau sekerap yang tengik dan juga rindu pada lembu kambing yang berkeliaran di seluruh kampung tanpa pedoman.
Paling rindu adalah pada dua tubuh tua di kampung yang semakin hari semakin dimamah usia.
Alangkah baiknya jika dapat terbang pulang untuk mengucup dan memeluk keduanya.
Biar terlerai semua rasa.