Kau kalau ke Eropah, orang tak berapa nak cakap Inggeris dengan kau. Walaupun muka kau Melayu atau Asia dan orang tau kau ni pelancong, orang tetap nak cakap bahasa mereka sendiri dengan kau.
Kalau kau dengar mereka bercakap sesama sendiri pun amat jarang sekali kau dengar perkataan Inggeris keluar dari mulut mereka.
Kau pergi Jerman pun begitu, dia bukan tak tau dari gaya kau dan laki kau tu yang kau berdua adalah pelancong atau pelawat yang singgah ke kafe tu nak minum secawan kopi dan teh sahaja, tapi dia tetap nak layan kau dan bercakap dalam bahasa dia.
Bangga sangat dengan bahasa dia.
Bila kau dah terkebil-kebil tak faham sepatah selepas beberapa kali dia tanya ada tak kau nak makan apa-apa maka barulah dia gunakan bahasa Inggeris agar kau dapat jawab.
Mereka ni bukannya tak tahu berbahasa Inggeris, namun kebanyakannya tidak betah menggunakannya kalau tiada keperluan. Di khalayak ramai, kau akan dapat lihat orang Cina sesama mereka bercakap Jerman, orang India sesama mereka bercakap Jerman juga, orang Siam sesama mereka pun begitu.
Dengan satu bahasa, mereka bersatu. Semangat penyatuan dan kekitaan wujud bila mereka bercakap dalam satu bahasa yang sama. Mereka bersatu, mereka kuat dan mereka maju.
Kita ni pula asal nampak sahaja “mat salleh” maka terus “berabuk” lah kita “speaking”.
Bukan mengata orang, tetapi kepada diri saya sendiri.
Ada sekali tu, ada seorang “mat salleh” membantu saya menutup paip mandian di tepi sebuah kolam renang ketika saya sedang mendukung anak. Beliau perasan yang saya tidak menang tangan ketika itu terus membantu saya.
Dengan banggannya saya berkata “Thank you” dan dengan selamba sahaja beliau membalas “Sama-sama, perkara kecil sahaja”.
Saya terus malu sendiri.
Saya juga sedih dengan diri sendiri kerana tidak dapat menggunakan bahasa ibunda saya dengan baik. Saya bercakap pun guna bahasa yang bercampur aduk Melayu dan Inggeris.
Apalah nasib bahasa ibunda saya gamaknya.
Sudahlah anak muda sekarang ni habis dilacurkan bahasa dengan menulis dengan bahasa baru yang dicipta sendiri, bercampur aduk dan sukar difahami.
Hmmm. Entahlah….
Hari ini Hari Malaysia.
Hari ini hari penyatuan di mana negeri-negeri “bersatu” menjadi sebuah negara yang berdaulat. Kita ada bahasa rasmi yang menjadi asas kepada penyatuan kita.
Namun kita lebih berbangga dengan bahasa asing. Bukannya menafikan kepentingan bahasa Inggeris, namun bahasa tersebut menjadi jurang pemisah antara kaum serta taraf sosio-ekonomi masyarakat kita.
Semangat penyatuan dan kekitaan menjurang kerana instrumen penyatuan yang paling asas iaitu bahasa telah kita pinggirkan.
Sedih bila melihat pak-pak menteri lebih gemar bercakap di dalam bahasa inggeris ketika berucap atau ditemuramah agar mereka kelihatan lebih bijak dan berpelajaran tinggi berbanding bercakap atau memberi ulasan di dalam bahasa kebangsaan.
Kau boleh dengar orang Jerman bercakap tak kira di pentas antarabangsa atau sesama mereka tanpa menyelitkan perkataan Inggeris pun dan mereka maju dan hebat. Mereka kuat kerana bersatu padu dalam satu bahasa.
Walaupun Angela Merkel fasih berbahasa Inggeris dan Russia manakala Vladimir Putin turut boleh berbahasa Inggeris dan Jerman, mereka memilih untuk berucap dan bersoal jawab di dalam bahasa ibunda masing-masing ketika upacara rasmi.
Padahal boleh sahaja mereka memilih untuk berkomunikasi di dalam satu bahasa antarabangsa sahaja iaitu bahasa Inggeris, namun mereka tidak. Pernah kau dengar Putin atau Merkel cakap Inggeris? Sangat jarang bukan?
Kita bagaimana?
Hari ini saya menjadi lebih patriotik daripada biasa. Jika kau mengembara melihat dunia, maka rasa kecintaan kepada negara kau akan menjadi lebih kuat. Bila kau tengok orang lain sayang dan bangga dengan bahasa mereka maka kau akan rasa sedih dengan bahasa sendiri yang kau pinggirkan.
Selamat Hari Malaysia dan selamat bercuti buat semua.
Semoga kita semua lebih berbangga dan bersatu di dalam sebuah negara yang bernama Malaysia yang sangat bertuah ini.







Leave A Reply