Setiap kali berada di luar negara, inilah perkara yang paling saya takuti. Kesihatan anak-anak. Walaupun ubatan anak-anak sentiasa dibawa sebagai persediaan namun ada sakit yang tidak diduga.
Mujur kami jenis “tahu jalan” dan tidak mudah menggelabah.
Pagi tadi seawal jam 4.30 saya keluar rumah, turun ke lobi dan cari teksi untuk ke hospital berdekatan kerana anak saya Khaleel diserang lelah. Ini penyakit baru yang kami tak bersedia untuknya.
“Kami tak ada Pediatrician kat sini lah encik. Boleh tak encik pergi ke Sukhumvit Hospital, di sana diorang ada paed on standby.” Maklum seorang petugas unit kecemasan hospital di Khlong Tan kepada saya.
“Baiklah, boleh dapatkan teksi untuk saya?” Mohon saya pada beliau.
Sebuah teksi berwarna pink tiba di ruang kecemasan lalu membawa saya dan Khaleel ke Sukhumvit. Jam dah hampir menunjukkan 5 pagi namun teksi ni pulak macam kehilangan arah.
Rupanya beliau tak tahu hospital kat mana. Dah la tak boleh berbahasa Inggeris, saya pulak hanya tahu 3 patah sahaja bahasa Siam ni.
Akhirnya saya minta beliau berhenti dan tanya orang dan barulah jumpa jalan. Selesai, akhirnya kami sampai di hospital dan Khaleel telah diberi rawatan untuk lelah beliau.
Mujur teksi di Bangkok ni murah. Semua pakai meter. Untuk setiap perjalanan sekitar 2-3km kos sekitar RM5-6 sahaja. Sangat mampu bayar.
Semuanya berakhir dengan baik. Caj hospital premium pun hanya sekitar RM250++ dan juga mampu bayar. Kalau kena admit kami caj kad kredit dan claim insurans.
Begitulah.
Jadi, bagi yang nak travel dengan anak-anak, terutama yang masih kecil seperti anak-anak saya. Bersedialah sedikit dengan ilmu pengetahuan, tentang penyakit, tentang ubatan, rawatan awal dan nombor kecemasan.
Sentiasa buat carian dan simpan nombor-nombor hospital berdekatan hotel atau tempat penginapan anda. Buat carian juga di Google Maps tentang jarak ke hospital, kos pengangkutan, kos hospital dan sebagainya.
Jadi bila anak sakit di tengah malam atau jam 3 pagi seperti saya, kita tidak hilang arah dan punca. Kita tahu bagaimana untuk bertindak.
Di sini saya senaraikan pengalaman persiapan kami untuk manfaat bersama. Kalau yang ada pengalaman dan tips lain sila tambah di bahagian komen.
1. First Aid Kit – Kit ubatan anak-anak dan dewasa juga. Perlu ada termometer dan ubatan asas seperti sirap paracetamol, supp paracetamol, ubat batuk, selsema, diarrhea dan sebagainya yang sesuai atau yang biasa digunakan untuk anak. Sediakan juga plaster luka, iodin dan bandage.
2. Ubatan Berpriskripsi – jika anak ada mengambil ubatan yang khas atau perlu preskripsi, sila bawa bersama perskripsi tersebut. Dapatkan nama generic ubat tersebut dan bukan nama brand. Sebagai contoh, generic name bagi ubat diabetes Glucophage adalah Metformin, ubat yang sama tetapi brand berbeza adalah Lopressor. So jika kita tahu generic name, pergi negara mana pun kita boleh tanya kat farmasi generic name bagi ubat tersebut. Taklah kita bergantung pada satu brand sahaja.
3. Dapatkan insurans – kalau takde life insurans, dapatkan travel insurans. Kita tak tahu bila benda nak jadi. Kita bersedia dan kemudian bertawakal.
4. Buat research tentang hospital atau klinik terdekat dengan hotel atau tempat yang akan anda tinggal. Servis apa yang disediakan, ada bahagian kecemasan tak, buka 24 jam tak. Catat semua detail termasuk nombor telefon termasuk cara paling cepat dan mudah nak ke hospital atau klinik tersebut. Catat nama kawasan, nama jalan di mana kedudukan hospital atau klinik tu.
5. Bantuan awal – buat research tentang menghadapi jenis-jenis sakit yang berpotensi untuk kena pada anak kita. Contohnya kalau diarrhea, apa perlu dibuat sementara nak ke hospital. Kalau demam atau kena serangan asma, apa perlu buat dulu dan sebagainya.
6. Grab bag – sediakan grab bag atau beg kecil yang senang dan mudah dicapai untuk kegunaan kecemasan. Beg ini mengandungi passport anak dan anda, rekod kesihatan anak, bekalan pampers, wet wipes, alamat dan nombor telefon hotel atau homestay. Sediakan juga minuman dan snek untuk anak dan kita juga di dalamnya.
7. Line telefon – pastikan sentiasa ada, samada anda roaming atau beli simkad di negara tersebut, pastikan anda talian untuk membuat dan menerima panggilan. Ini kerana dalam keadaan kecemasan anda kadangkala perlu terpisah di antara suami-isteri. Suami perlu bawa anak ke hospital, isteri perlu ada dengan anak lain di hotel. Jadi perlu ada nombor untuk berhubung dan update status. Kalau tak salah seorang akan jadi sangat risau sebab tiada update.
8. Komunikasi asas – belajar dan hafal beberapa perkataan asas di negara yang anda akan lawati kalau bahasanya bukan Inggeris, seperti, tolong, di mana, hospital, emergency, ke kiri, ke kanan, tunggu dan sebagainya yang mungkin ada perlukan ketika kecemasan nanti. In case line internet takde, jenuh tak boleh nak translate.
9. Kesihatan Diri – mak bapak pun kena ada ubat, kena jaga kesihatan. Nanti kalau anak sakit, mak bapak pun sakit juga memang kacau bilaulah jadinya.
10. Kewangan – ini paling kritikal. Kalau bawa anak-anak travel maka duit kena sedia lebih sikit. Kalau sakit dan nak kena pergi klinik atau hospital maka caj mungkin minimum sahaja, kalau ke hospital swasta mungkin lebih lagi. Paling takut kalau kena admit, lagi belanja besar. Waktu-waktu beginilah pentingnya ada cash extra dan juga kad kredit. Sila ambil maklum yang kebanyakan syarikat insurans hanya akan membayar imbuhan balik selepas pulang. Jadi anda kena bayar dulu segala kos dan balik baru boleh claim. Jadi sediakan sekurang-kurangnya RM500 tunai sebagai backup dan kad kredit untuk standby.
…….
Itulah 10 perkara asas yang perlu kita sediakan sekiranya travel dengan anak terutamanya yang masih kecil. InshaAllah, kalau ada persediaan sebegitu maka tidak akan terasa sangat bila anak jatuh sakit bila kita di luar negara.
Buatlah perancangan dan persediaan kemudian barulah bertawakal. Kita sentiasa doakan yang agar perjalanan kita dipermudahkan dan kita sekeluarga sentiasa diberikan kesihatan yang baik.
Dan tips paling penting, sentiasa tolong, bantu dan permudahkan kerja orang setiap hari kerana apabila kita di dalam kesulitan nanti pasti Allah akan hantar orang lain untuk membantu dan memudahkan urusan kita.
Percayalah.
#imabackpackerfamily
#Imabackpackergermany
#Imabackpackereurope
#traveltips







Leave A Reply