Terdengar tangisan si adik.
“Kenapa adik? Siapa buat tu?”
“Baby buat…waaaaaa”
Selang seketika kemudian terdengar tangisan lagi. Kali ini si abangnya pulak. Jawapannya sama, baby yang buat. Biasanya dia akan tolak abang-abang sampai jatuh dan buat gerakan smack down.
Si Khaleed ni adalah “troublemaker” di dalam rumah. Setiap tangisan selalunya berpunca dari dia. Setiap barang-barang yang koyak, pecah berderai termasuk telefon saya juga berpunca dari dia.
Kalau dia menangis pun berpunca dari dia jugak. Biasanya dia terjun sofa, terlanggar meja, tersepit jari di laci atau pintu kabinet dan sebagainya.
Paling banyak buat saya naik darah pun dia lah.
Semalam dia ambil air dari atas meja dan tuang di atas sofa. Semalam juga nasi yang dimakan diluahkan di atas karpet lalu dilumur-lumur sampai ke sofa. Hari apa entah, dia buka Pampers dan pergi kencing atas karpet.
Sebentar tadi skrin telefon saya pula retak, mujur tak berderai seperti telefon sebelum ini.
Boleh dia pergi cabut telefon yang tengah caj tu dan datang hempas depan saya. Fuhhh, saya mampu “alaaaaa” sahaja dan beri memberi tenungan yang paling tajam sambil menarik nafas dalam-dalam. Lepas tu pot-pet lah sekejap.
Abang-abang dia kerap jadi mangsa.
Kalau dia marah, abang-abang dia pasti lari. Garang ya ampun. Dia akan tumbuk, cakar, cubit, tarik rambut dan paling ekstrem dia akan gigit. Maka menangis meraung si abang.
Tengah tidur malam pun dia terjaga boleh pergi gigit si abang. Menangis lah hamba Allah tu kesakitan dan tak tahu apa salah yang dia buat kat adik dia.
Saya ni kadang-kadang rasa macam nak lempang pun ada. Sungguh. Kalau tak kerana saya sudah belajar bersabar, bertenang maka saya kawal. Saya duduk dan tarik nafas dalam-dalam. Kalau saya langgar maka ada yang kena pelempang.
Kadang-kadang terlepas juga jerkahan berdentum-dentum ketika marah meluap-luap. Namun bila nampak dia senyum macam tak bersalah jer terus hilang segala marah tu.
Pergi peluk dan cium jer lah sambil berfikir jenuhlah nak lap sofa atau mop lantai atau mengenang skrin telefon yang retak tu.







Leave A Reply