Mungkin rezeki aku, untuk menemani isteri sehingga ke hujung nyawa.
Ketika tetamu masih ramai beratur untuk berziarah, aku dipanggil masuk seketika ke bilik ICU. Aku mohon diberikan masa untuk aku bersama isteri.
Pada ketika itu juga masa seakan terhenti.
Aku pegang dan belai tangannya yang dirasakan semakin kaku, sejuk dan kebiruan. Aku bisikkan syahadah di telinganya dan aku mohon semoga Allah permudahkan untuknya.
Aku bermonolog saat kami mula bertemu dan saat-saat kedukaan serta kebahagiaan kami. Aku bisikkan yang aku amat mencintainya.
Aku berjanji akan menjaga amanahnya dan anak-anak. Aku akan berikan yang terbaik seperti yang dimahukannya. Aku mohon maaf atas semua kesilapan yang aku lakukan selama hampir 20 tahun kami bersama, dari zaman bercinta hingga ke alam rumah tangga.
Aku juga maafkan dan halalkan segalanya. Aku berdoa agar kami diketemukan lagi.
Akhirnya aku ucapkan selamat tinggal.
“I sayang you sangat-sangat. Anak-anak sangat rindukan you, I juga sangat rindukan you”
“Tapi I reda dan pasrah. I kena lepaskan you pergi”
“Pergilah sayang, pergilah. Jangan risaukan kami”
“Selamat tinggal sayang, selamat tinggal”
Bisik aku dalam penuh getar dan esakan.
Suasana senyap dan kaku. Dada aku bagaikan ingin meletup.
Alarm monitor berbunyi tiba-tiba dan di skrin, garisan rata (flatline) muncul dengan bunyi beep yang panjang. Seperti sahaja adegan dalam sebuah drama TV atau filem.
Dia telah pun pergi menghadap Tuhannya.
Aku hilang.
Tenggelam dalam nostalgia serta bayangan 3 anak kecil yang sedang menunggu ibunya.
***
Seorang isteri dan ibu kepada 3 anak kecil, Marleena Abdul Manaff telah meninggal dunia pada 1 Ogos 2018 jam 11.58 pagi di Hospital Putrajaya akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ.
Beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 Putrajaya.
Genap setahun pemergiannya hari ini.
Hanya doa dari seorang suami dan 3 jiwa kecil yang sering merindui menjadi hadiah setiap hari.
Al-Fatihah.







Leave A Reply