• Home
  • About
  • Tips Kembara
  • Resepi
  • Facebook
  • Contact

Air Wudhu Segayung Kecil

23/11/2016

Saya perhati sahaja brader tu. Paip air dibuka kecil dan usai titisan perlahan air mula mengalir cepat-cepat ditadah airnya dengan sebelah tangan sahaja kemudian bila mulai penuh maka ditutup kembali paip tersebut.

Dengan air tadahan cekupan sebelah tangan tadi beliau membasuh kedua tangannya dan diulang lagi. Kemudian mukanya pula, diulang lagi seterusnya lengannya pula.

Begitulah seterusnya sehingga selesai wudhunya.

Itulah yang dilakukan oleh seorang lelaki berbangsa asing ketika mengambil wudhu di sebuah masjid yang agak mewah dan senibina yang indah serta deretan kereta yang juga cantik dan mewah.

Lelaki itu melakukan semuanya dengan cukup tertib. Tidak langsung beliau cuba membazir walau setitik air ketika berwudhu.

Masya Allah.

Dikala ada tempat yang tiada air, ramai juga yang bermewah-mewah dengan air, berwudhu seperti mahu mandi dengan paip dibuka sekuat dan sederas yang mungkin sampaikan airnya terpercik-percik kepada orang sebelah.

Lelaki ini pula dengan tenang berwudhu tanpa membazir.

Saya terpukul ketika menyaksikannya.

Saya ingat saya sudah cukup berjimat dengan bukaan air paip yang paling kecil, rupanya ada orang lagi berjimat dengan menutup air setiap kali melaksanakan rukun wudhu agar air tidak terus mengalir dan terbazir.

Masya Allah.

Saya yakin air yang digunakan oleh brader tersebut tak sampai segayung kecil pun atau hanya memenuhi saiz segelas jus tembikai di kedai tomyam. Inilah jenis manusia dan hamba Allah yang tahu menghargai dan mensyukuri nikmat Tuhan serta mengamalkan ajaran Islam sebaik yang mungkin.

Kita bagaimana?

Adakah kita menghargai dan mensyukuri nikmatnya? Kenapa kita bermewah-mewah dengan nikmat air yang diberikan sehingga tanpa sedar kita melakukan pembaziran.

Terlalu banyak bentuk pembaziran lain yang kita lakukan di dalam kehidupan kita seharian dan membazir air melalui wudhu adalah salah satunya.

Ini adalah antara sebahagian sikap-sikap yang telah sebati dan menjadi budaya di dalam masyarakat yang pernah saya tulis dan kupas di dalam buku saya “Mentaliti Jamban”.

Semoga kisah ini menjadi tauladan kepada diri saya dan kita semua agar lebih menghargai sumber dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.

Jika anda juga seorang yang berwudhu dengan air yang sangat banyak, maka belajarlah untuk kurangkan. Buka paip dengan kecil dan perlahan cukuplah. Usahlah kita terus membazir dan mengikut amalan syaitan.

Nauzubillahiminzalik.

KHAIRUL ABDULLAH
Berikrar untuk mengurangkan pembaziran.

Share

Believe It or Not  / Blog  / Lesson  / Peoples

Khairul Abdullah
Seorang suami yang hensem dan ayah yang kool. Menulis adalah kerja sepenuh masa dan mengembara adalah minat yang dipupuk sekian lama. Ikuti cerita-cerita lain yang sedap dan juga mengancam di Facebook Page beliau.

Leave A Reply


Leave a Reply Cancel reply

You must be logged in to post a comment.



    • Beli TV Online Tanpa Kecewa
    • DIY Kolam Ikan Dengan Shopee
    • Kenapa beg sekolah anak aku berat?
    • Aku dah hantar dia ke sekolah yang betul
    • Birthday KA dan KA
  • My Gallery

© Copyright Khairul Abdullah 2022. All rights reserved