Aku dulu mula belajar hisap rokok “tembak” dengan kawan aku Min dan Paq bawah pokok kecil tepi sungai. Kenapa rokok tembak? Sebab kat kotak rokok jenama “Rough Rider” tu ada gambar orang naik kuda sambil pegang senapang dalam posisi hendak menembak.
Tengah acah-acah merokok (asap dihembus-hembus tanpa dihisap) ternampak seekor ular kecil bergayut di dahan betul-betul di atas kepala kami. Bertempiaran lari baqhang. Lepas tu taubat dah tak nak hisap rokok, di tepi sungai.
Itu kisah sewaktu di darjah 6.
Beberapa tahun kemudian, aku mula merokok secara serius di tingkatan 3. Siap jadi tauke rokok ketika di tingkatan 5. Selalu ada kes pasal rokok, selalu kena rotan atau penampar pasal rokok. Pernah hendak digantung sekolah pasal rokok, pernah dijatuhkan saham ketika dirotan di perhimpunan pagi juga pasal rokok.
Rokok ni merupakan manifestasi kebebasan hidup aku ketika remaja dan menjadi sebahagian daripada keperluan hidup ketika dewasa.
Beberapa kali juga aku cuba berhenti merokok, namun paling lama cumalah setahun lebih sebelum aku kembali meneruskan tabiat tersebut.
Namun pada tahun 2014, aku berhenti sepenuhnya selepas 26 tahun bermula. Sudah hampir 5 tahun aku berhenti merokok.
Tak susah ke nak berhenti?
Takde benda senang dalam dunia ni. Nak berhenti merokok ni adalah benda yang terpayah. Kau hanya akan boleh berhenti jika kau ada “willpower” yakni keazaman yang cukup tinggi.
Bagaimana aku berhenti?
Mudah sahaja.
Ada satu malam aku berfikir panjang, aku kini sudah punya anak. Budak-budak tak elok kena asap rokok. Tak elok juga aku tunjuk contoh yang tidak baik. Jadi aku nekad, esok aku nak berhenti.
Esoknya, aku terus berhenti sehinggalah ke hari ini.
Namun, tidak semudah yang aku sebut. Setiap kali sampainya waktu merokok terutamanya selepas makan atau semasa hendak membuat pelaburan, resah gelisah dan pelbagai perasaan yang sukar digambarkan.
Aku bayang wajah comel anak. I wanted to change, I need this, Allah please help me. Maka berlalulah satu episod ketagihan. Datang lagi rasa itu maka aku ulang lagi langkah di atas. Maka ia berlalu pergi.
Untuk melepasi tahap pertama iaitu 40 hari ianya macam ayam berak kapur dah jadinya. Aku elakkan kerja lewat malam, aku elakkan bersendirian selepas makan. Banyakkan masa dengan anak. Elakkan juga berlama-lama ketika di tandas.
Elakkan pegang, belek, cium, hidu, ambik bau hatta melihat kotak rokok sekalipun. Paling penting, aku elakkan sesi teh tarik bersama rakan perokok di dalam tempoh 40 hari yang pertama.
Selepas tempoh 40 hari, ianya menjadi lebih mudah. Cuma perlu istiqomah sahaja. Selepas 3-4 bulan maka ketagihan tersebut macam hilang terus.
Cuma, cuma jangan mudah terpengaruh lagi.
Kawan-kawan aku pun banyak juga spesis tak suka bila geng perokok dia dah kurang. Dia akan offer untuk aku ambik sepam dua sahaja. Alahh, ambik hati kawan, takkan nak hisap balik kot setakat sepam dua jer.
Aku taknak terpengaruh lagi.
Kalau aku ambik jugak lepas tu aku akan rasa, alah takpe kot, sepam dua jer. Lepas tu aku mula balik, alah sebatang jer pun sekali-sekala bila jumpa kawan. Lepas tu alah sekotak jer kot sebulan, no hal lah. Kemudian kembali kepada sekotak sehari.
Jadi, kalau kau yang ada hasrat nak berhenti merokok macam aku, kau kena buat 2 benda sahaja.
Pertama, kau cari sebab. Kenapa kau nak berhenti. Demi kesihatan? Demi anak isteri? Demi keluarga? Demi agama sebab rokok difatwakan haram? Atau demi Allah?
Kedua, istiqomah. Kau kena berjaya lepas fasa 40 hari tu dulu. Kau tahan diri cukup-cukup dalam tempoh tu. Elakkan bersendirian, elakkan jumpa kawan perokok, elakkan berak lama-lama dan sebagainya. Tak lama, 40 hari sahaja.
Itu sahaja. Terus istiqomah, terus berusaha dan berdoa.
Selepas 2-3 bulan kau dah bebas dari rokok sepenuhnya sehinggalah kau membuat keputusan untuk sedut sepam dua rokok kawan kau, yang akhirnya memusnahkan segalanya.
Jangan begitu.
Ingat, sekarang ni waktu terbaik nak belajar berhenti sebab kat port lepak semua dah tak boleh hisap rokok.
Selamat berhenti semuanya.
P/s: Para isteri, jangan paksa laki berhenti rokok. Depa jenis tak suka kena suruh atau paksa. Depa ada 12 ribu alasan untuk depa terus merokok. Nak berhenti ni kena dari hati sendiri, kena dia sendiri yang nak, kena ikhlas. Korang pandailah ejas, jangan paksa sahaja.







Leave A Reply